Jumaat, 30 Mei 2014

Benih Kehidupan

Teks : Zuriati binti Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Catatan dari Islam Itu Indah, Radio IKIM fm & Koleksi Sendiri

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

          Setiap perkataan bermula dengan fikiran. Kita bertanggungjawab atas apa yang berlaku terhadap diri kita samada dari segi kesihatan, kekayaan dan kebahagiaan. Kita tidak boleh menyalahkan orang lain, perkara lain, keadaan lain, cuaca dan sebagainya.

Sistem kepercayaan dan sistem nilai kita membentuk sistem luaran.

Doa Saidina Ali karamullahiwajha :

"Ya Allah jadikan orang memandang tinggi kepadaku, tetapi aku tetap memandang rendah kepada diriku".

Untuk mengubah sistem kepercayaan lama yang tidak baik di dalam hidup kita :-

SEBUT (ucapkan/nyatakan), EMOSI (libatkan perasaan) , BAYANGKAN (visualisasikan) sistem kepercayaan yang baru dan kepercayaan yang positif dalam diri kita.


Buat SKRIP KEHIDUPAN kita setiap hari seperti berikut :-

  • BUAT skrip, SEBUT, EMOSI, BAYANGkan. 
  • Buat selepas solat. Kenapa ? Kerana pada ketika ini (selepas solat), gelombang  (wave) otak sedang aktif.
  • Buat skrip yang BAIK-BAIK SAHAJA.
  • LAKUKAN/BUAT skrip ini dalam tempoh selama 20 minit setiap kali.
  • Otak akan dirangsangkan dengan cara senaman otak dalam (INNERCISE). 
  • BAYANGkan IMEJ DIRI YANG BAIK. (Kita menjadi seperti apa yang kita sentiasa fikirkan)
Apakah yang kita nampak mengenai diri kita sendiri pada pandangan mata hati kita?

Bila imej yang kita lihat pada diri kita adalah imej yang positif, maka hasilnya diri kita akan membentuk diri dan perangai (tindak balas diri) ke arah yang positif.

Nyatakan kepada diri anda :-
"SAYA SEORANG YANG BAIK, SAYA TAHU SAYA SEORANG YANG BAIK, SAYA TAHU KENAPA SAYA SEORANG YANG BAIK" - InshaAllah kita akan menjadi orang yang baik.
 
Fikiran mengawal emosi, jadi kawal fikiran supaya emosi terkawal.

Fakta : 75% penyakit berasal dari minda.

Minda kita seperti taman, apa yang disemai itulah yang akan tumbuh.

Satu perkara yang kita buat berulang-ulang  selama 21 hari akan menyebabkan neuron-neuron di otak membuka laluan. Kesan dari pembukaan laluan oleh neuron-neuron di otak ini akan mengakibatkan perbuatan tersebut menjadi tabiat secara automatik.

Oleh itu, sentiasa buat yang terbaik, bercakap yang baik dan berfikir yang baik-baik sentiasa pada bila-bila masa untuk selamanya.

ANDA IALAH APA YANG ANDA FIKIRKAN.


Semoga bermanfaat. Salam Jumaat penuh barakah.


"Erti hidup pada memberi".


Khamis, 22 Mei 2014

Bisnes Kuih Raya

Teks : Zuriati binti Zubir
Foto : Koleksi sendiri

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Menghitung detik kedatangan bulan Ramadhan yang hanya tinggal 38 hari sahaja lagi. Pada ketika inilah peniaga-peniaga sedang bersiap-sedia dan telah siap siaga dengan stok barangan masing-masing. Stok barangan berupa pakaian raya seperti baju kurung tradisional, baju kurung moden, jubah, dress, baju melayu lelaki baik untuk dewasa mahupun kanak-kanak, kain tudung yang beraneka fesyen dan jenis, aksesori yang pelbagai baik untuk wanita mahupun lelaki, kelengkapan dan perhiasan rumah, makanan dan minuman samada untuk juadah berbuka atau makanan kering, basah mahupun sejuk beku, kuih-muih untuk dihidangkan pada Hari Raya mahupun dimakan sebelum Hari Raya. 

Begitu juga saya. Tidak mahu ketinggalan bersama kafilah-kafilah peniaga ini dan tentunya berlumba-lumba melaksanakan antara sunnah Nabi SAW iaitu berniaga. Ramadhan kali ini saya memilih untuk berniaga kuih raya. Stok telah tersedia sejak awal lagi bagi memastikan tiada hati yang terkilan dan tiada perasaan yang kecewa. 


InshaAllah, kuih-muih yang bakal berada di atas meja pelanggan yang saya kasihi sekalian dan bakal dijamu kepada para tamu ini BERKUALITI PREMIUM dan 100% BUATAN MUSLIM dan paling penting kuih-muih ini semuanya SEDAP belaka. Saya sudah menjamah kesemua kuih-muih ini dan ikhlas dari hati, ianya berbaloi untuk dimiliki

Selain dari bentuk dan warna-warna kuih yang menarik dan menggamit rasa, kuih-kuih ini dipersembahkan di dalam bekas yang lutsinar, telus pandang, tiada yang tersembunyi. Ianya diletakkan tarikh luput agar hilang rasa gelisah di hati para pelanggan yang dikasihi. InshaAllah, mudah untuk memantau kuih-muih ini agar tidak terhidang kuih- muih yang telah tamat tempoh untuk dimakan.



Jemputlah menjamu mata dengan kuih-muih raya ini, jika ada yang berkenan di hati atau sudah terasa keenakannya di tekak dan hingga terbawa-bawa pula ke dalam mimpi, hubungi saya tanpa segan-silu. Saya sedia membantu. Samada kita berjemaah dalam satu kafilah berniaga kuih raya, atau tuan-tuan dan cik puan juga boleh dapatkannya untuk dinikmati segera.

Untuk makluman semua, kuih-muih raya ini dijual beserta dengan pahala sedekah yang infiniti. Kerana setiap RM2.00 dari jualan  sebekas kuih-muih ini akan didermakan kepada tabung Persatuan Pemulihan Orang Kurang Upaya Pahang. Mari kita ceriakan suasana Hari Raya dengan rasa penuh kegembiraan dan kesyukuran di hati kerana mengetahui setiap kuih raya yang dibeli ada selitan pahala disampingnya. Ada insan lain yang turut tumpang ceria dek kemurahan hati kita. Selamat menjamu mata.

"Erti hidup pada memberi"

Salam selemak dan seenak kuih raya.

Rabu, 21 Mei 2014

Tips Mudah Untuk Menjadi Orang Kaya

Teks : Zuriati Binti Zubir
Foto : Carian Google, khairulbariyahmasrakin.blogspot.com
Sumber : koleksi sendiri, fiqh-sunnah.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wmt.

KAYA. Ramai orang berimpian, bercita-cita, berharap dan berkeinginan untuk menjadi kaya. Kaya yang menjadi dambaan semua adalah kaya harta. Definasi kaya ini boleh diperluaskan lagi. Ianya tidak terhad kepada material sahaja tetapi juga kepada spiritual, emosi, rohani dan jiwa.

Saya ingin menurunkan beberapa tips atau petua yang saya perolehi dari beberapa seminar, bengkel dan kursus yang pernah saya hadiri yang ada kaitannya dengan kaya. Antara tips atau petuanya :

1) SENYUM.



Apabila kita senyum, tubuh badan kita akan menghasilkan tindakbalas kimia yang positif iaitu serotonin. Kimia serotonin di dalam tubuh kita ini berfungsi  sebagai neurotransmitter. Serotonin akan berpadu membentuk elektromagnet yang positif di dalam tubuh. Keadaan ini amat baik untuk kita kerana tubuh yang positif bermaksud kita membawa aura yang positif. Perkara yang positif akan menarik perkara, unsur, orang dan persekitaran yang positif  dan baik kepada kita. Senyum yang ikhlas, tempoh minimanya ialah sepuluh saat. Pastikan senyuman anda melebihi sepuluh saat.
 
Senyum itu juga adalah sedekah. "The more you give, the more you get".  Biasa dengar ungkapan ini bukan? Begitulah hukum kehidupan, semakin banyak kita memberi, lebih banyak lagi yang akan kita terima. Beri banyak sedekah, terima pula banyak timbal baliknya. Tidak percaya? Di dalam Islam, Allah SWT menyatakan hukum mudah ini. Lihat gambarajah di bawah. Matematik mudah pengiraan sedekah. Contoh kiraan ini adalah bagi sedekah berbentuk wang ringgit.


Senyum adalah bentuk sedekah yang paling mudah, murah, tiada caj tambahan, tiada caj tersembunyi. Yang penting berikan senyuman manis penuh keikhlasan tanpa mengharapkan balasan. Hasilnya = infiniti.

2) Perbanyakkan ISTIGHFAR.

Istighfar membuka pintu rezeki.






Dalam al-Quran terdapat banyak petunjuk yang menunjukkan bahawa rezeki Allah diturunkan kepada orang-orang yang sentisa beristighfar. Di antara petunjuk di dalam al-Quran seperti di dalam surah Nuh ayat 10-12 :


فَقُل فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (١١) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
“Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Surah Nuh, 71: 10-12)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H)menjelaskan ayat ini dalam tafsir:
أي: إذا تبتم إلى الله واستغفرتموه وأطعتموه، كثر الرزق عليكم، وأسقاكم من بركات السماء، وأنبت لكم من بركات الأرض، وأنبت لكم الزرع، وَأَدَرَّ لكم الضرع، وأمدكم بأموال وبنين، أي: أعطاكم الأموال والأولاد، وجعل لكم جنات فيها أنواع الثمار، وخللها بالأنهار الجارية بينها
“Maksudnya apabila kamu semua bertaubat kepada Allah, beristighfar (memohon ampun) kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan memperbanyakkan rezeki ke atas kamu, menurunkan kepada kamu hujan yang barakah, mengeluarkan untuk kamu keberkahan dari bumi, menumbuhkan untuk kamu tumbuh-tumbuhan, mengalirkan (melimpahkan) untuk kamu susu-susu perahan, dan melengkapkan untuk kamu harta dan anak-anak. Maksudnya Dia akan memberi kamu dengan harta kekayaan dan anak-anak serta memberi kepada kamu kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan yang di dalamnya mengalir sungai-sungai.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/233).

Rasulullah saw telah bersabda : 
 
"Barangsiapa yang banyak membaca istighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar bagi setiap kesusahannya dan menjadikan kelapangan bagi setiap kesempitannya"

Oleh yang demikian, beristighfarlah sentiasa untuk memasuki pintu gerbang kekayaan.

3)  BERSYUKUR





Bersyukur sentiasa di dalam kehidupan kita. Bersyukur atas segala nikmat yang kita perolehi, nikmati dan kecapi. Bersyukur membawa energi atau tenaga yang positif di dalam kehidupan kita. Walau dalam apa keadaan sekalipun, kita mesti bersyukur. Gunakan kesyukuran untuk menukar energi anda. Sebagai contoh, apabila ditimpa musibah, ucapkan alhamdulillah kullihal, yang membawa maksud kita bersyukur atas setiap hal yang menimpa kita. Boleh jadi hal tersebut sebenarnya mendatangkan kebaikan dalam hidup kita. mungkin ketika musibah itu menimpa kita, kita tidak dapat menerima keadaan tersebut. Latih diri untuk ucapkan alhamdulillah kullihal ini sentiasa dan lihat apa yang berlaku seterusnya. 

Apabila kita meletakkan semua energi dalam kesyukuran, kita akan lihat keajaiban mengambil tempat dalam kehidupan kita. Syukur membawa energi yang positif kepada kita. Untuk mengubah sesuatu dengan cepat, tuliskan 100 benda atau perkara yang harus kita syukuri setiap hari dengan penuh perasaan. Kuasa adalah dalam perasaan yang kita letakkan dalam kata-kata kesyukuran kita itu. Lakukan hari ini dan hari-hari seterusnya dan lihat perubahan yang mula berlaku dalam kehidupan anda. Kini anda benar-benar menempatkan diri anda dalam lingkungan KAYA.

Sekian dahulu perkongsian tips dari saya hari ini. Semoga ianya memberi manfaat kepada anda yang membaca.

'Erti hidup pada memberi"

Salam sukses,kaya dan berjaya dunia dan akhirat.

 
 


 

 


 

Selasa, 20 Mei 2014

Tapak Jahit Kelim 1" & Tapak Jahit Gathering Adjustable

Teks : ZURIATI BINTI ZUBIR

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Alhamdulillah, tapak jahit yang dipesan telah selamat sampai ke tangan saya. Tapak jahit ni saya kira ianya menjadi keperluan kepada tukang jahit (saya belum menjadi tukang jahit sepenuh masa). Agak lama juga saya mencari tapak jahit ini, akhirnya saya temui di Facebook. Begitulah keadaannya sekarang ini. Membeli-belah hanya melalui internet, tanpa perlu berpanas dan berpeluh berjalan dari kedai ke kedai. Beginilah rupanya tapak jahit yang diterima semalam.




Terima kasih saya kepada saudari Rohayu binti Ali di atas kecekapannya dalam menjalankan urusniaga secara online. Dalam masa sehari selepas tempahan dan bayaran, tapak jahit tersebut sampai ke tangan saya. Hilang rasa gundah gulana kerana sebelum ini saya belum pernah berurusan dengan beliau. Beliau boleh ditemui di sini ya. Boleh dapatkan tapak jahit seperti foto di atas dan di bawah. 


 Boleh lihat cara tapak jahit ini digunakan di sini.

Bagi tapak kelim 1" ini, kegunaanya untuk membuat kelim tepi yang bersaiz 1". Kebiasaannya kelim 1" ini dibuat di bahagian tepi kain langsir atau kelim tepi untuk alas meja, kain seperah dan pelbagai lagi kegunaan. Tapak ini akan memudahkan kerja dan hasil jahitan kelimnya nanti akan kelihatan sama besar dan kemas.
 
Tapak jahit kedua yang saya terima semalam ialah tapak jahit 'gathering adjustable' atau tapak kedut boleh laras. Beginilah rupanya.



Tapak ini digunakan untuk membuat kedutan seperti contoh di bawah :


Saya belum berkesempatan untuk menggunakan tapak-tapak jahitan ini. InshaAllah, saya akan paparkan hasil jahitan menggunakan tapak-tapak ini nanti.

Sekian dahulu perkongsian saya pada kali ini. 

"Erti hidup pada memberi"

Salam penuh kasih sayang.


Isnin, 19 Mei 2014

Seminar FB Ads Missing Chapter 2014

Bismilllahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wmt.

Alhamdulillah, hari Sabtu lepas, 17 Mei 2014 saya diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menghadirkan diri ke Seminar FBads Missing Chapter 2014 yang dikendalikan oleh Sifufbads Tuan Jamaluddin Bin Bahari atau lebih dikenali dengan Sifu Jamal. Seminar berlangsung di Dewan MCA, Jalan Ampang bermula pada jam 9.00 pagi hingga jam 5.00 petang. 



Seminar ini berkisar mengenai tujuh tajuk "The Missing Chapter" atau "Bab Yang Hilang" di dalam perniagan secara online khususnya di Facebook iaitu :-
1) The missing product
2) The missing prospect
3) The missing image
4) The missing copy/copywriting
5) The missing traffic
6) The missing Conversion Rate / ROI / net profit
7) The missing money

Sesi pertama bermula tepat jam 9.00 pagi dengan penampilan Sifu Jamal yang penuh bertenaga dalam menyampaikan ilmu secara santai tetapi penuh padat dengan tip-tip dan nasihat kepada peserta. Apa yang menarik dalam sesi ini ialah  perihal pentingnya peniaga-peniaga secara dalam talian atau bisnes online ini untuk memastikan  perkara-perkara berikut jika hendak berbisnes secara online, antaranya ialah :
1) Margin keuntungan mestilah melebihi RM30.00. Sekiranya kurang daripada RM30.00, peniaga hendaklah membuat jualan secara pakej, membuat upsell dan memastikan pembeli membuat ulangan tempahan.
2) Memastikan kitaran hayat (product cycle) barangan yang dijual secara online mestilah melebihi enam bulan. Ini bagi memastikan barangan yang dijual tetap ada permintaan dan tidak mudah lapuk.

Sifu Jamal meneruskan bab pertama iaitu "The missing product" dengan memberikan kategori produk-produk yang terlaris yang diniagakan secara atas talian iaitu :
1) Barangan bayi - apa sahaja yang berkaitan dengan bayi, kelahiran, penjagaan bayi, pakaian bayi, peralatan menyusu dan sebagainya.
2) Barangan dapur - antaranya kuali pemanggang, pisau, periuk dan apa sahaja barangan berkaitan dapur daripada peralatan hingga ke gajet-gajet yang digunakan di dapur.
3) Barangan gajet - antaranya ialah powerbank, jam azan dan lain-lain.
4) Produk kecantikan.
5) Produk pakaian.
6) Produk kesihatan.
7) Produk makanan.

Peserta-peserta juga diajar bagaimana untuk memilih produk-produk yang berpotensi untuk dijual secara online atau di Facebook.

Dalam bab seterusnya iaitu "The Missing Prospect" peserta  diterangkan tentang prospek atau di dalam bisnes di Facebook, prospek ini dikenali sebagai audiens. Terdapat 9 kategori audiens iaitu Fans, Custom Audiens, Web Custom Audiens, Fans Pesaing/Sama niche/Brand, Lookalike Custom Audiens, Lookalike Web Custom Audiens, Lookalike Page Audiens, Fren of Fans dan Open Audiens. Peserta-peserta telah diterangkan secara terperinci tentang sembilan kategori audiens ini, bagaimana untuk menyasarkan jualan kepada audiens-audiens ini, audiens apa yang bersesuaian dengan perniagaan yang kita jalankan dan langkah demi langkah kaedah untuk menjual kepada prospek-prospek ini di Facebook.

Dalam bab "The Missing Image" Sifu Jamal memberikan tip-tip yang sangat berguna kepada peserta-peserta tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan apabila hendak beriklan di Facebook, bagaimana untuk membuat pemilihan gambar atau imej yang sesuai, teknik-teknik yang boleh dibuat dan tidak boleh dibuat hinggalah kepada pemilihan model, latarbelakang imej, dan pemilihan susunan imej dan warna yang bersesuaian untuk membuat iklan.

Bab keempat iaitu "The missing copy/copywriting", Sifu Jamal menekankan tentang pemilihan kata-kata yang sesuai apabila membuat iklan di Facebook, kerana menurutnya, "85% keputusan untuk membeli disebabkan oleh emosi dan hanya 15% sahaja keputusan membeli dibuat berdasarkan logik". Ini membawa maksud bahawa ayat yang digunakan untuk menjual di Facebook mestilah yang 'memukau emosi' bakal pelanggan. Antara tip-tip yang dikongsikan Sifu Jamal di dalam bab keempat ini ialah iklan yang ditulis atau copywriting ini mestilah ditulis dengan memasukkan ayat-ayat yang menjentik emosi audiens, berdasarkan ciri-ciri dan minat audiens yang dipilih antaranya masalah audiens, apa yang ditakuti (fear), inspirasi/motivasi dan impian mereka. Iklan juga ditulis berdasarkan gambar yang dipilih, berbentuk ayat 'bual' dan dengan jalan cerita yang tersusun.

Peserta-peserta diajar bagaimana untuk membuat copywriting untuk iklan di telefon pintar dan juga di  komputer / desktop.  Ayat apa yang perlu ditulis, imej apa yang perlu dipaparkan dan pada barisan perkataan yang ke berapa ayat CTA (Call To Action) atau Panggilan Tindakan dimasukkan. Peserta-peserta juga didedahkan tentang 4 Teknik Terbaik Copywriting.

Dalam bab kelima, " The Missing Traffic",  peserta diajar bagaimana untuk mendapatkan "traffic" yang banyak dan berkualiti dengan kata lain audiens yang akan LIKE page kita di Facebook, menjadi fans dan prospek pembeli produk kita. Melalui bab ini, peserta didedahkan dengan TEKNIK REMPIT 24 JAM, TEKNIK HITAM, TEKNIK HANTU, TEKNIK SAKA dan TEKNIK GERILLA. Peserta-peserta juga didedahkan secara terperinci tentang teknik membuat bidding dan kaedah pengiklanan apakah yang bersesuaian untuk produk kita samada secara CPC (Cost Per Click), CPM (Cost Per Imressions), OCPM (Optimized Cost Per Impressions) dan Boost Post.

Peserta-peserta diterangkan bagaimana untuk mendapatkan CR (Conversion Rate) atau Kadar Tukaran, ROI (Return On Investment) atau pulangan atas pelaburan, dan Net Profit atau Untung Bersih di dalam Bab Keenam dan Ketujuh.

Seminar yang saya kira nilainya melebihi dari yuran yang dibayar ini berakhir pada jam 5.00 petang. Terima kasih kepada Sifu Jamal atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat.
 
Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa seminar ini amat baik, penuh informasi dan padat dengan tip-tip dan info terkini. Alhamdulillah, saya dapat mencedok sedikit-sebanyak ilmu di dalam seminar ini. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan seminar ini di http://www.facebook.com/sifufesbukads atau di www.sifufbads.com

Sekian dahulu perkongsian saya buat kali ini. Diharap ianya memberi manfaat buat anda yang membaca.

"Erti hidup pada memberi".

Salam penuh kasih sayang.



 


Isnin, 12 Mei 2014

Bismillahirrahmanirrahiim.

Dengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Salam dan selawat kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad saw, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Assalamualaikum warahmatullah.

Salam perkenalan dan salam ukhwah. Nama saya Zuriati binti Zubir. Dilahirkan 40 tahun dahulu pada tanggal 9 April 1974 di Daerah Bentong, Pahang Darul Makmur. Bersekolah sehingga tingkatan 3 di Sekolah Menengah Rendah Jenis Kebangsaan Ketari, Bentong. Kemudian melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4 hingga tingkatan 5 dan mengambil SPM di Sekolah Menengah Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), Kuantan, Pahang. Seterusnya saya melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di Institut Teknologi MARA (ITM), Shah Alam, Selangor pada tahun 1993 dan memperoleh Diploma Analisa Pelaburan dari ITM pada Disember 1995. Hasrat hati ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di luar negara terpaksa saya kuburkan kerana pada ketika itu keadaan ekonomi negara dan keluarga yang tidak berapa memberangsangkan walaupun saya telah lulus peperiksaan Bahasa Inggeris untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Saya memulakan kerjaya saya yang pertama di sebuah syarikat yang menyediakan kelas belajar komputer dan menjual peralatan yang berkaitan dengan komputer pada tahun 1996. Tugas saya adalah membantu Pengurus kedai komputer menjaga kedai, membuat catatan jual beli, mengurus kelas-kelas komputer dan yang berkaitan. Walaupun gaji yang diperolehi pada ketika itu tidak mencecah empat angka, tetapi pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi di syarikat komputer tersebut amat berguna dan bermanfaat kepada saya.

Kerjaya saya yang kedua dan hingga kini ialah di sebuah syarikat pengurusan amanah saham negeri di daerah Kuantan, Pahang. Saya bermula sebagai Eksekutif Pelaburan. Kerjaya saya pada ketika itu berkaitan dengan pelaburan yang dijalankan oleh syarikat tersebut di Bursa Saham, penempatan dana di syarikat-syarikat kewangan dan firma brokerage. Menganalisa data-data syarikat yang berpotensi untuk dibeli sahamnya, membuat analisa teknikal dan bacaan teknikal pergerakan saham syarikat yang dipilih juga pelbagai lagi yang berkaitan dengan penyelenggaraan  laporan-laporan kewangan, syarikat dan sebagainya.

Bermula pada tahun 1999 saya telah ditukarkan ke bahagian Projek Khas - Dokumentasi Syarikat di mana saya ditugaskan untuk menyiapkan Manual Kerja bagi setiap Jabatan di syarikat. Tugas saya sebagai Eksekutif Khas (Dokumentasi) adalah merangka, membina, menyediakan prosidur kerja, carta aliran kerja dan perincian kerja dalam bentuk bertulis dan dijadikan Manual Kerja untuk panduan semua kakitangan di setiap jabatan. Tugas ini agak mencabar pada mulanya kerana saya hilang arah dan tidak tahu bagaimana untuk bermula. Alhamdulillah, dengan rahmat dan hidayah Allah SWT, pelbagai bantuan dititipkan kepada saya melalui insan-insan yang baik budi yang akhirnya memungkinkan saya untuk menyudahkan kesemua Manual Kerja seperti yang diarahkan.

Saya dilantik sebagai Eksekutif Pentadbiran bermula pada tahun 2002 sehingga kini. Tugas saya berkaitan dengan hal-ehwal pentadbiran syarikat seperti pembelian stok barangan pejabat, aset syarikat, penyelenggaraan harian, bulanan dan tahunan dan segala yang berkaitan dengan syarikat seperti kenderaan syarikat, keselamatan dan keselesaan kakitangan, penyelenggaraan premis kerja dan bangunan pejabat termasuk tandas, bilik minum dan surau kakitangan, peralatan pejabat, kelengkapan pejabat dan pelbagai lagi. Alhamdulillah, saya masih mampu melaksanakan kesemua tugasan yang diamanahkan kepada saya hingga kini. Alhamdulillah juga kerana di syarikat inilah saya bertemu jodoh dengan suami tercinta, Mohd Khairul Azmi bin Mohd Taib dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Perniagaan adalah sunnah Nabi saw. Nabi saw adalah seorang ahli perniagaan yang sangat berjaya sebelum Baginda dilantik sebagai Rasulullah saw. Sebagai umat Nabi saw, saya juga tidak mahu ketinggalan dalam melaksanakan sunnah Nabi saw dalam kehidupan seharian saya. Saya bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan secara sampingan. Karton pertama sabun samak Taharah yang saya dapatkan daripada pengeluar dan pengilangnya sendiri habis dijual dalam masa sehari. Satu karton ada seratus biji sabun. Saya terinspirasi dan terdorong untuk terus berniaga impak dari kejayaan dalam usaha perniagaan saya tersebut. Alhamdulillah, sehingga kini saya masih menjual sabun samak Taharah ini.

Pelbagai perniagaan saya jalankan disamping berniaga sabun samak ini. Saya juga ada menjual kain tudung pelbagai corak dan fesyen, kain pasang, pemasaran pelbagai tingkat (MLM), projek penanaman serai, produk kecantikan, penganjuran seminar-seminar dan majlis-majlis ilmu. Antaranya, penganjuran Bengkel Kuasa Minda bersama Prof Dr Muhaya Muhamad, Bengkel Mukmin Profesional bersama Ustaz Pahrol Juoi, Bengkel Transformasi Diri Menjadi Warga Kerja Terbilang bersama Datuk Dr Fadzillah Kamsah, Bengkel Perlatihan Solat Khusyuk dan banyak lagi. Terkini, dengan hampir menjelmanya Ramadhan dan Aidil Fitri, saya menjual kuih-kuih raya dan sebelum raya yang berkualiti premium dan sememangnya sedap.

Saya tidak pandai berniaga semasa saya belajar di ITM atau semasa saya bersekolah. Saya terkenang pada zaman pengajian saya di ITM dahulu, saya membeli sebatang gincu bibir dari rakan sekolej pada harga RM5.00 sebatang. Walhal, gincu tersebut boleh didapatkan secara percuma dari stokis jualan sekiranya kita mendaftar sebagai agen jualan. Minat di dalam bisnes ini saya pupuk dan lebih-lebih lagi ia menjadi segar dan tumbuh apabila saya meniatkan menjalankan perniagaan kerana mengikut sunnah Nabi saw. Indahnya terasa apabila kita kaitkan ia dengan kepuasan rohani selain dari kepuasan dan imbuhan material.   

Selain membaca dan mentelaah, minat saya juga tertumpah kepada bidang jahitan pakaian dan langsir, sulaman, hiasan dalaman, memasak dan apa-apa yang berkaitan dengan meningkatkan kemahiran dan produktiviti dan juga potensi dan keupayaan diri serta otak seperti kemahiran menggunakan otak tengah dan kanan, motivasi diri dan juga ilmu yang berkaitan dengan spiritual dan keagamaan, seni, kraftangan dan lukisan. Saya juga minat berkebun, menanam pokok bunga dan pokok herba.

Saya berkemahiran dalam pengurusan acara samada seminar, bengkel-bengkel dan kursus-kursus pelatihan sehari, menjahit pakaian wanita seperti baju kurung, blaus, jubah moden, jubah tradisional, jubah menyusu, dress potongan princess, dress potongan empire, seluar palazo dan menjahit tudung (saya ada mengambil tempahan jahitan bagi jenis-jenis pakaian yang dinyatakan). Saya juga mahir menjahit langsir potongan biasa, royal scallop, box pleat dan lain-lain. Saya mahir membuat kertas kerja, memasak nasi arab, membuat kuih batik dan juga menggubah bunga. Saya seronok melakukan semua perkara ini kerana semuanya adalah minat dan kecenderungan saya.

Kitab Al-Quran adalah bahan bacaan utama saya. Saya akan memastikan saya membaca Al Quran walaupun satu wakaf samada di waktu pagi, tengahari atau malam. Al Quran adalah sumber kekuatan rohani dan jasmani. Kata ulama, sekiranya kita ingin mendengar bicara Allah SWT, bacalah Al Quran. Sekiranya kita ingin Allah SWT mendengar bicara dan keluh kesah kita, solatlah. Selain Al Quran saya juga suka membaca buku-buku keagamaan, buku-buku yang menyentuh tentang meningkatkan kefahaman dalam agama, nilai diri, buku-buku motivasi, majalah-majalah seperti Al Islam, Nur, Impiana, Dapur, langganan email daripada Brian Tracy, Dharma Rose, Productive Muslim.com dan juga bahan bacaan yang boleh meningkatkan taraf pemikiran, pengetahuan dalam bisnes, pengurusan hidup, psaikologi, pembangunan minda anak-anak, bacaan dari beberapa blog, kisah misteri dan juga dakwah. Dugaan buat saya, pada tahun 2001 dan penghujung tahun 2013 rumah saya dilanda musibah banjir. Banyak koleksi buku-buku dan bahan-bahan bacaan ilmiah dan pelbagai koleksi majalah rosak dan musnah. Kini, saya masih tetap meneruskan mengumpul buku-buku dan bahan bacaan untuk koleksi dan rujukan saya. 

Alhamdulillah, pada tahun 2014 ini saya ditemukan dengan Puan Aishah Hussein, puan Masayu Ahmad dan warga Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) di alam maya dalam penerokaan saya mencari dan menambahbaik ilmu berkaitan blog dan bisnes secara dalam talian. Semoga ini menjadi titik tolak kepada saya untuk mencapai tujuan dan matlamat dalam menyeimbangkan kehidupan dunia dan akhirat, memberi sumbangan serba sedikit dari segi ilmu dan kemahiran yang dimiliki kepada yang memerlukan dan mencapai puncak segala tujuan iaitu mencari redha Illahi dalam meneruskan saki baki kehidupan di dunia ini, insyaAllah. Amiin.

"Erti hidup pada memberi"

Salam penuh kasih sayang.