Isnin, 20 Oktober 2014

SEPETANG DI PUSAT AKUATIK

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Alhamdulillah, hari Ahad lepas saya diberi kesempatan masa oleh Allah SWT untuk membawa anak-anak saya beriadah di Pusat Akuatik, Wisma Belia, Kuantan, Pahang. 


Banyak perubahan telah dilakukan di Pusat Akuatik ini. Dahulunya ia dikenali sebagai Kolam Renang MPK. Setelah Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2006 di mana Kuantan dipilih sebagai tuan rumah, renovasi besar-besaran dijalankan ke atas Kolam Renang MPK ini yang akhirnya membawa kepada nama Pusat Akuatik Kuantan.

Pusat Akuatik ini dibahagikan kepada dua bahagian di mana bahagian kolam untuk kanak-kanak dan tempat latihan renang untuk kanak-kanak dan orang dewasa diletakkan di bahagian terbuka tanpa atap. Bahagian kolam dengan kedalaman 18 kaki untuk terjunan dan kolam renang berlorong untuk digunakan semasa pertandingan di bahagian beratap.


Yuran masuk ialah RM5.00 bagi seorang dewasa (mandi atau tidak mandi tetap dikenakan bayaran) dan RM3.00 bagi seorang kanak-kanak.

Sebenarnya Pusat Akuatik atau Kolam Renang MPK ini bukanlah tempat yang asing bagi saya. Dahulu, kira-kira 9 tahun lepas, di sinilah saya dan suami menunggu arwah anak saya selama sejam lebih pada setiap sesi latihan berenang, 2 kali seminggu, setiap minggu. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan dedikasi gurunya, Cikgu Alias, arwah Faris akhirnya pandai dan mahir berenang. Pada ketika itu usianya baru 7 tahun. Di platform tinggi seperti yang kelihatan di dalam gambar di atas, arwah anak saya akan melakukan terjunan di kedalaman kolam 18 kaki pada setiap sesi latihan renangnya. Setiap kali arwah melakukan terjunannya, setiap kali itu jugalah lutut saya akan menggigil dan dada saya terasa sesak sehinggalah arwah timbul semula di permukaan kolam!

Semuanya kini tinggal kenangan. Apapun, saya bersyukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan oleh Yang Maha Esa untuk menikmati semula saat-saat indah ini bersama anak-anak dan suami walau tanpa arwah Faris di sisi.

Pembaca yang budiman, ruang dan kesempatan waktu yang kita miliki sesungguhnya bukan milik kita. Ianya milik Yang Memiliki Masa. Segala perasaan, yang sedih, gembira dan semuanya juga adalah dari Nya. Kita tidak pernah memiliki apapun, hanya diberi pinjam oleh Illahi. Hargailah apa jua pinjaman dari Nya dan sentiasa bersyukur dengan apa jua yang diberikan Nya.

Salam ceria.

"Erti hidup pada memberi"


Isnin, 13 Oktober 2014

PROJEK JAHIT DRESS

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Dress Princess Cut si kakak. Alhamdulillah. Saya suka dan saya seronok. Rasa sangat berpuas hati sebab dapat jahit sendiri baju anakanda saya, Nur Khadeejah Soleha mengikut permintaannya untuk dipakai pada Hari Raya Aidil Adha yang lalu. Ya, temanya adalah Queen Elsa dari filem Frozen; filam animasi dari Walt Disney yang telah berjaya menambat hati jutaan kanak-kanak di seluruh dunia.


Fabrik lycra di bahagian atas dress ini berkilau-kilauan. Di bahagian bawahnya pula fabrik lycra kosong. Fabrik dipilih sendiri oleh kakak. Saya dapatkan fabrik ini di Jakel Trading Shah Alam. Ya, agak jauh lokasinya bagi saya yang tinggal di Kuantan, Pahang ini. Tetapi kerana saya sudah biasa berjalan jauh dan tambahan pula Jakel Trading ini sudah lama menjadi lokasi ulangan saya ketika saya berniaga kain pada penghujung tahun 1990 an yang lalu. Ketika itu Jakel Trading masih di Segamat, Johor. 


Ya, saya pernah berniaga kain suatu waktu dahulu. Kini, saya masih lagi bergelumang dengan fabrik. Tetapi, kali ini saya menjahit pula. Saya akui, fabrik membuatkan saya menjadi tidak keruan. Melihat lambakan fabrik di pasaran online menjadikan saya rambang mata, apatah lagi apabila berkunjung sendiri ke kedai fabrik. 

Saya ada membuka kelas jahitan di Kuantan dan juga di mana-mana daerah di dalam negeri Pahang. Sekiranya ada yang ingin belajar menjahit dress, jubah, blaus fishtail, skirt dan seluar palazo di sekitar negeri Pahang saya sedia untuk mengajar. Buat masa ini kelas saya banyak dijalankan di Kemaman, Terengganu. Panggilan rezeki dari arah Terengganu. 

Hubungi saya samada secara terus/ sms/whatsapp di 019-936 7898 untuk tempahan kelas belajar menjahit di tempat anda.

Baiklah, sekian dahulu perkongsian saya buat kali ini.

Salam ceria !

"Erti hidup pada memberi"

Jumaat, 10 Oktober 2014

DUNIA TERSEMBUNYI KU

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Bidang jahitan sebenarnya amat dekat di hati saya. Selain emak saya dan saya yang menjahit secara sambilan, nenek saya serta tok lelaki saya juga pada suatu masa dahulu adalah sepasang suami isteri yang bekerja sebagai tukang jahit. Pada awalnya saya tidak langsung pandai menjahit pakaian, hatta menggunakan mesin jahit. Minat menjahit hanya timbul ketika saya berumur dalam lingkungan dua puluhan. Itupun setelah diajak beberapa rakan sekerja untuk belajar menjahit baju kurung di kelas menjahit yang tidak berapa jauh dari pejabat saya. Kami berjalan kaki sambil membawa beg yang berisi peralatan menjahit kami. Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan kelas menjahit dan berjaya membuat baju kurung sendiri, baju melayu untuk suami dan anak lelaki saya. 

Melihatkan kesungguhan saya belajar menjahit dan kemudiannya menjahit baju, emak saya telah meminjamkan mesin jahit Singernya kepada saya. Mesin ini sudah agak lama tetapi masih boleh digunakan. Pada asalnya mesin ini digunakan secara manual, kemudian emak saya menggantikan pengayuh kaki kepada motor elektrik. Sayangnya mesin ini telah rosak teruk semasa banjir besar yang melanda kediaman saya pada tahun 2001.

Saya kemudiannya meningkatkan lagi kemahiran jahitan saya dengan menghadiri kelas jahitan langsir pelbagai paten, jahitan cadar, gebar selesa, kusyen dan pelbagai lagi. Sekali lagi kerana kesungguhan dan minat saya, emak menghadiahkan saya sebuah mesin jahit lurus industri jenama Juki. Alhamdulillah, dengan kemahiran baru dan mesin baru tersebut saya dapat menjahit langsir untuk kedua-dua rumah emak dan emak mertua saya serta rumah bapa saudara. 

Masa berlalu, saya agak kesuntukan masa untuk menjahit. Tambahan pula anak saya semakin membesar dan telah mula bersekolah. Dek kerana kekangan masa saya terpaksa meninggalkan sementara keinginan menjahit saya dan membiarkan sahaja ianya dimamah oleh waktu. 


Keinginan dan peluang menjahit ini timbul semula setelah saya melalui beberapa fasa dalam hidup dan terkini saya pula yang mengajar menjahit pakaian. Jika difikirkan semula agak lucu. Tidak tergambar di fikiran saya bahawa satu hari nanti saya akan menjahit pakaian dan mengajar menjahit dalam masa yang sama. Saya bertemu semula dunia saya yang telah lama terkurung dan tersimpan. Menjahit memberikan kepuasan kepada perasaan saya. Siapa tahu, anda juga mungkin sama dengan saya. Saya doakan anda temui dunia anda yang lama terpendam tersebut.

Selamat mengeksplorasi diri.

"Erti hidup pada memberi"

Khamis, 9 Oktober 2014

PUDING ROTI BERLAUK PERIUK AJAIB

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri
Rujukan : Resepimyriz Rizmohd



Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Agak lama saya menyepi dari menulis di blog saya ini. Rasanya tidak perlu saya memberikan sebarang penjelasan, yang penting perkongsian apa dari saya pada hari ini?

Hari ini saya ingin berkongsi lagi tentang masakan yang mudah, ringkas dan lazat. Oh ya, sudah pasti dengan menggunakan periuk ajaib saya. Hari ini saya akan berkongsi resepi Puding Roti Berlauk. 



Baiklah, bahan-bahan yang diperlukan :

Bahan dasar roti

8 keping roti - potong 4 
# 2 cawan susu segar
# 1 biji telur
# 1 sudu besar tepung gandum
# sedikit garam
Gaul rata bahan-bahan bertanda # di dalam satu bekas terlebih dahulu.


Bahan inti

1 tin cendawan butang (cendawan dalam tin) - hiriskan
1/4 biji lada benggala (capsicum) merah & hijau - hiriskan
1 labu bawang besar - potong dadu
1 ulas bawang putih - cincang
100 gm daging ayam potong dadu/ daging cincang
sedikit keju mozarella (untuk ditaburkan di bahagian atas puding)
minyak dan garam secukup rasa


Cara memasak :

1. Tekan butang 'stir/fry', kemudian tekan butang 'ON'. 
2. Panaskan minyak (jangan terlalu banyak). Tumiskan bawang dan masukkan ayam/ daging. Masak sehingga naik bau.
3. Masukkan hirisan cendawan dan lada benggala. Masukkan garam (seenak rasa). Masakkan sebentar.
4. Kemudian tekan butang 'OFF'. Keluarkan inti dari periuk dan letakkan ke dalam tapis untuk menyejatkan air dari inti yang dimasak tadi.
5. Susunkan roti yang telah dipotong empat tadi ke dalam periuk. (tidak perlu membasuh periuk, memadai hanya dilap bahagian dalamnya. Sisa masakan tadi tidak melekat di dasar periuk).
6. Masukkan bahan bertanda #. Tekan-tekankan sedikit roti tadi supaya lapisan roti terendam di dalam campuran bahan-bahan bertanda #. 
7. Letakkan inti yang telah dimasak tadi di atas lapisan roti. 
8. Akhir sekali, taburkan keju mozarella ke atas inti tadi. 
9. Tutupkan penutup periuk dan halakan tombol ke 'steam'. Tetapkan butang 'steam' pada tempoh 20 minit dan tekan butang 'ON'. Setelah masak, tekan butang 'OFF'.
10. Biarkan puding sejuk sedikit sebelum dikeluarkan dari periuk. 





Anda boleh menikmati puding berlauk ini bersama sos cili atau sambal berlada seperti sambal nasi ayam.


Selamat mencuba.


Salam penuh kasih sayang.


"Erti hidup pada memberi".