Selasa, 16 Disember 2014

CARA MENUKAR SETTING JAHITAN KE JAHITAN NARROW/ ROLLED HEM BAGI MESIN BROTHER 3034D

Teks : Zuriati Zubir
Photo : Koleksi sendiri


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt


            Hari ini saya nak kongsikan satu tutorial mudah bagaimana untuk menukar setting mesin jahit Brother 3034D dari setting biasa kepada setting Narrow Overlock/ Rolled Hemming Stitches. Setting ini kita gunakan untuk menjahit tepi tudung atau sebagai kemasan hujung lengan atau kemasan hujung baju.



Untuk jenis jahitan ini kita akan hanya menggunakan satu jarum iaitu jarum sebelah kanan dan menggunakan 3 benang sahaja. 

Ikuti langkah berikut :

1) Buka jarum sebelah kiri dengan menggunakan alat pembuka skru halus seperti dalam gambar 1.


2) Alihkan atau keluarkan 'stitch finger' (gambar 2).



3) Naikkan pengangkat (lever) tapak jahit (gambar 3).

4) Buka penutup depan mesin (gambar 4).

5) Pusingkan pemutar tangan (handwheel) (gambar 5) sehingga kedudukan 'upper looper' (gambar 6) paling bawah.




6) Tarik 'stitch finger'  ke kanan dan keluarkannya dari kedudukannya di mesin (gambar 7).

7) Simpan 'stitch finger' ke tempat yang disediakan pada penutup depan mesin (gambar 8).

9) Laraskan 'pemutar lebar jahitan" ke kedudukan 5R (pemutar terletak di bahagian bawah tapak jahit) (gambar 9).

10) Laraskan pemutar yang terletak di bawah pengangkat tapak jahit ke kedudukan R (Gambar 10).



11) Laraskan 'differential feed' ke kedudukan 0.7 untuk menjahit kain chiffon, georgette dan  seumpamanya (gambar 11). Bagi kain lycra laraskannya di kedudukan 1.0 (gambar 13).



12) Laraskan 'tension adjustment dial' ke kedudukan 4,5,7 bagi kain chiffon, georgette dan seumpamanya (gambar 12)  dan ke kedudukan 5,5,7 bagi kain lycra dan seumpamanya (gambar 14).

13)  Selamat menjahit !

14) Hasil jahitan bagi kain lycra (gambar 15) dan kain chiffon (gambar 16).



Salam ceria !

"Erti hidup pada memberi"

Isnin, 20 Oktober 2014

SEPETANG DI PUSAT AKUATIK

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Alhamdulillah, hari Ahad lepas saya diberi kesempatan masa oleh Allah SWT untuk membawa anak-anak saya beriadah di Pusat Akuatik, Wisma Belia, Kuantan, Pahang. 


Banyak perubahan telah dilakukan di Pusat Akuatik ini. Dahulunya ia dikenali sebagai Kolam Renang MPK. Setelah Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2006 di mana Kuantan dipilih sebagai tuan rumah, renovasi besar-besaran dijalankan ke atas Kolam Renang MPK ini yang akhirnya membawa kepada nama Pusat Akuatik Kuantan.

Pusat Akuatik ini dibahagikan kepada dua bahagian di mana bahagian kolam untuk kanak-kanak dan tempat latihan renang untuk kanak-kanak dan orang dewasa diletakkan di bahagian terbuka tanpa atap. Bahagian kolam dengan kedalaman 18 kaki untuk terjunan dan kolam renang berlorong untuk digunakan semasa pertandingan di bahagian beratap.


Yuran masuk ialah RM5.00 bagi seorang dewasa (mandi atau tidak mandi tetap dikenakan bayaran) dan RM3.00 bagi seorang kanak-kanak.

Sebenarnya Pusat Akuatik atau Kolam Renang MPK ini bukanlah tempat yang asing bagi saya. Dahulu, kira-kira 9 tahun lepas, di sinilah saya dan suami menunggu arwah anak saya selama sejam lebih pada setiap sesi latihan berenang, 2 kali seminggu, setiap minggu. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan dedikasi gurunya, Cikgu Alias, arwah Faris akhirnya pandai dan mahir berenang. Pada ketika itu usianya baru 7 tahun. Di platform tinggi seperti yang kelihatan di dalam gambar di atas, arwah anak saya akan melakukan terjunan di kedalaman kolam 18 kaki pada setiap sesi latihan renangnya. Setiap kali arwah melakukan terjunannya, setiap kali itu jugalah lutut saya akan menggigil dan dada saya terasa sesak sehinggalah arwah timbul semula di permukaan kolam!

Semuanya kini tinggal kenangan. Apapun, saya bersyukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan oleh Yang Maha Esa untuk menikmati semula saat-saat indah ini bersama anak-anak dan suami walau tanpa arwah Faris di sisi.

Pembaca yang budiman, ruang dan kesempatan waktu yang kita miliki sesungguhnya bukan milik kita. Ianya milik Yang Memiliki Masa. Segala perasaan, yang sedih, gembira dan semuanya juga adalah dari Nya. Kita tidak pernah memiliki apapun, hanya diberi pinjam oleh Illahi. Hargailah apa jua pinjaman dari Nya dan sentiasa bersyukur dengan apa jua yang diberikan Nya.

Salam ceria.

"Erti hidup pada memberi"


Isnin, 13 Oktober 2014

PROJEK JAHIT DRESS

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Dress Princess Cut si kakak. Alhamdulillah. Saya suka dan saya seronok. Rasa sangat berpuas hati sebab dapat jahit sendiri baju anakanda saya, Nur Khadeejah Soleha mengikut permintaannya untuk dipakai pada Hari Raya Aidil Adha yang lalu. Ya, temanya adalah Queen Elsa dari filem Frozen; filam animasi dari Walt Disney yang telah berjaya menambat hati jutaan kanak-kanak di seluruh dunia.


Fabrik lycra di bahagian atas dress ini berkilau-kilauan. Di bahagian bawahnya pula fabrik lycra kosong. Fabrik dipilih sendiri oleh kakak. Saya dapatkan fabrik ini di Jakel Trading Shah Alam. Ya, agak jauh lokasinya bagi saya yang tinggal di Kuantan, Pahang ini. Tetapi kerana saya sudah biasa berjalan jauh dan tambahan pula Jakel Trading ini sudah lama menjadi lokasi ulangan saya ketika saya berniaga kain pada penghujung tahun 1990 an yang lalu. Ketika itu Jakel Trading masih di Segamat, Johor. 


Ya, saya pernah berniaga kain suatu waktu dahulu. Kini, saya masih lagi bergelumang dengan fabrik. Tetapi, kali ini saya menjahit pula. Saya akui, fabrik membuatkan saya menjadi tidak keruan. Melihat lambakan fabrik di pasaran online menjadikan saya rambang mata, apatah lagi apabila berkunjung sendiri ke kedai fabrik. 

Saya ada membuka kelas jahitan di Kuantan dan juga di mana-mana daerah di dalam negeri Pahang. Sekiranya ada yang ingin belajar menjahit dress, jubah, blaus fishtail, skirt dan seluar palazo di sekitar negeri Pahang saya sedia untuk mengajar. Buat masa ini kelas saya banyak dijalankan di Kemaman, Terengganu. Panggilan rezeki dari arah Terengganu. 

Hubungi saya samada secara terus/ sms/whatsapp di 019-936 7898 untuk tempahan kelas belajar menjahit di tempat anda.

Baiklah, sekian dahulu perkongsian saya buat kali ini.

Salam ceria !

"Erti hidup pada memberi"

Jumaat, 10 Oktober 2014

DUNIA TERSEMBUNYI KU

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Bidang jahitan sebenarnya amat dekat di hati saya. Selain emak saya dan saya yang menjahit secara sambilan, nenek saya serta tok lelaki saya juga pada suatu masa dahulu adalah sepasang suami isteri yang bekerja sebagai tukang jahit. Pada awalnya saya tidak langsung pandai menjahit pakaian, hatta menggunakan mesin jahit. Minat menjahit hanya timbul ketika saya berumur dalam lingkungan dua puluhan. Itupun setelah diajak beberapa rakan sekerja untuk belajar menjahit baju kurung di kelas menjahit yang tidak berapa jauh dari pejabat saya. Kami berjalan kaki sambil membawa beg yang berisi peralatan menjahit kami. Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan kelas menjahit dan berjaya membuat baju kurung sendiri, baju melayu untuk suami dan anak lelaki saya. 

Melihatkan kesungguhan saya belajar menjahit dan kemudiannya menjahit baju, emak saya telah meminjamkan mesin jahit Singernya kepada saya. Mesin ini sudah agak lama tetapi masih boleh digunakan. Pada asalnya mesin ini digunakan secara manual, kemudian emak saya menggantikan pengayuh kaki kepada motor elektrik. Sayangnya mesin ini telah rosak teruk semasa banjir besar yang melanda kediaman saya pada tahun 2001.

Saya kemudiannya meningkatkan lagi kemahiran jahitan saya dengan menghadiri kelas jahitan langsir pelbagai paten, jahitan cadar, gebar selesa, kusyen dan pelbagai lagi. Sekali lagi kerana kesungguhan dan minat saya, emak menghadiahkan saya sebuah mesin jahit lurus industri jenama Juki. Alhamdulillah, dengan kemahiran baru dan mesin baru tersebut saya dapat menjahit langsir untuk kedua-dua rumah emak dan emak mertua saya serta rumah bapa saudara. 

Masa berlalu, saya agak kesuntukan masa untuk menjahit. Tambahan pula anak saya semakin membesar dan telah mula bersekolah. Dek kerana kekangan masa saya terpaksa meninggalkan sementara keinginan menjahit saya dan membiarkan sahaja ianya dimamah oleh waktu. 


Keinginan dan peluang menjahit ini timbul semula setelah saya melalui beberapa fasa dalam hidup dan terkini saya pula yang mengajar menjahit pakaian. Jika difikirkan semula agak lucu. Tidak tergambar di fikiran saya bahawa satu hari nanti saya akan menjahit pakaian dan mengajar menjahit dalam masa yang sama. Saya bertemu semula dunia saya yang telah lama terkurung dan tersimpan. Menjahit memberikan kepuasan kepada perasaan saya. Siapa tahu, anda juga mungkin sama dengan saya. Saya doakan anda temui dunia anda yang lama terpendam tersebut.

Selamat mengeksplorasi diri.

"Erti hidup pada memberi"

Khamis, 9 Oktober 2014

PUDING ROTI BERLAUK PERIUK AJAIB

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri
Rujukan : Resepimyriz Rizmohd



Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Agak lama saya menyepi dari menulis di blog saya ini. Rasanya tidak perlu saya memberikan sebarang penjelasan, yang penting perkongsian apa dari saya pada hari ini?

Hari ini saya ingin berkongsi lagi tentang masakan yang mudah, ringkas dan lazat. Oh ya, sudah pasti dengan menggunakan periuk ajaib saya. Hari ini saya akan berkongsi resepi Puding Roti Berlauk. 



Baiklah, bahan-bahan yang diperlukan :

Bahan dasar roti

8 keping roti - potong 4 
# 2 cawan susu segar
# 1 biji telur
# 1 sudu besar tepung gandum
# sedikit garam
Gaul rata bahan-bahan bertanda # di dalam satu bekas terlebih dahulu.


Bahan inti

1 tin cendawan butang (cendawan dalam tin) - hiriskan
1/4 biji lada benggala (capsicum) merah & hijau - hiriskan
1 labu bawang besar - potong dadu
1 ulas bawang putih - cincang
100 gm daging ayam potong dadu/ daging cincang
sedikit keju mozarella (untuk ditaburkan di bahagian atas puding)
minyak dan garam secukup rasa


Cara memasak :

1. Tekan butang 'stir/fry', kemudian tekan butang 'ON'. 
2. Panaskan minyak (jangan terlalu banyak). Tumiskan bawang dan masukkan ayam/ daging. Masak sehingga naik bau.
3. Masukkan hirisan cendawan dan lada benggala. Masukkan garam (seenak rasa). Masakkan sebentar.
4. Kemudian tekan butang 'OFF'. Keluarkan inti dari periuk dan letakkan ke dalam tapis untuk menyejatkan air dari inti yang dimasak tadi.
5. Susunkan roti yang telah dipotong empat tadi ke dalam periuk. (tidak perlu membasuh periuk, memadai hanya dilap bahagian dalamnya. Sisa masakan tadi tidak melekat di dasar periuk).
6. Masukkan bahan bertanda #. Tekan-tekankan sedikit roti tadi supaya lapisan roti terendam di dalam campuran bahan-bahan bertanda #. 
7. Letakkan inti yang telah dimasak tadi di atas lapisan roti. 
8. Akhir sekali, taburkan keju mozarella ke atas inti tadi. 
9. Tutupkan penutup periuk dan halakan tombol ke 'steam'. Tetapkan butang 'steam' pada tempoh 20 minit dan tekan butang 'ON'. Setelah masak, tekan butang 'OFF'.
10. Biarkan puding sejuk sedikit sebelum dikeluarkan dari periuk. 





Anda boleh menikmati puding berlauk ini bersama sos cili atau sambal berlada seperti sambal nasi ayam.


Selamat mencuba.


Salam penuh kasih sayang.


"Erti hidup pada memberi".


Jumaat, 15 Ogos 2014

SERONOKNYA MENGENAL TOKOH ISLAM

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt

Memang seronok membaca buku ini, "101 Info Seronoknya Mengenal Tokoh Islam". Buku ini ditulis oleh saudara Ridwan Abqary. Ilustrasi yang dipaparkan juga cantik dan menarik perhatian, karya Kharisma. Buku ini saya dan suami belikan buat anakanda saya Nur Khadeejah Soleha yang akan mencapai usia 6 tahun pada bulan November nanti. Oleh kerana beliau sudah boleh membaca dan menunjukkan minat untuk membaca, maka saya dan suami membelikan beberapa buah buku buatnya termasuklah buku 101 Info Seronoknya Mengenal Tokoh Islam ini.



Antara yang dipaparkan di dalam buku edaran PTS Publications & Distributions Sdn Bhd ini adalah info-info yang mungkin kita sendiri sebagai muslim yang dewasa tidak sedar dan tidak mengetahui akan kewujudannya. Melalui buku ini, banyak yang boleh kita pelajari dan banyak pengetahuan yang dapat kita tambah khususnya berkenaan dengan tokoh-tokoh dan ilmuan Islam.

Saya selitkan sedikit antara fakta yang boleh kita dapati di dalam buku ini :-

1)  Apakah ada tercatat dalam sejarah berkenaan ilmuwan dan pencipta dalam kalangan orang Islam?

Sudah tentu ada. Orang Islam adalah bangsa yang pintar. Sejak zaman dahulu hingga kini, ramai ilmuwan dan pencipta yang berasal daripada kalangan orang Islam. Nabi Muhammad saw sendiri adalah seorang ilmuwan dan pencipta yang terkenal di dunia.

2) Apakah yang dicipta oleh Nabi Muhammad saw?

Baginda adalah pencipta konsep pengurusan perniagaan moden. Sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul, beliau adalah peniaga yang berjaya. Baginda sudah menceburi bidang perniagaan sejak kecil. Sedangkan negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika baru mengenal konsep ini pada abad ke-9.

3) Apakah rahsia kejayaan Nabi Muhammad saw dalam bidang perniagaan?

Baginda sentiasa menerapkan sifat jujur dan amanah. Oleh kerana itu, baginda digelar sebagai al-Amin, iaitu orang yang dipercayai dan amanah oleh kawan-kawannya. Baginda sentiasa membina hubungan baik dengan pelanggannya. Baginda juga sering mendapat banyak keuntungan dan tidak pernah rugi.

Begitulah antara yang terkandung di dalam buku ini. Anda akan berkenal-kenalan dengan ramai lagi tokoh-tokoh Islam yang lain, antaranya Ibnu Al-Haitham, Muhammad Al-Karaji, Ibnu Bajjah, Az-Zahrawi, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al-Khawarizmi, Al-Biruni, Abu Al-Wafa, Al-Farghani, Ibnu Majid, Jabir bin Hayyan, Ibnu Rusyd, Al-Jazari, Umar Khayyam, Al-Kindi dan ramai lagi.

Dengan pelaburan kecil berjumlah RM9.50, banyak ilmu dapat dicedok dari sebuah buku yang ringkas ini. Sebagai seorang Islam, amat wajar bagi kita mengenali dan mengetahui siapakah tokoh-tokoh hebat ini dan apakah sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan dunia.

Selamat membaca.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Jumaat penuh barakah.

Khamis, 14 Ogos 2014

NASI GORENG PERIUK AJAIB

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt

Periuk ajaib lagi? Ya. Catatan hari ini tentang periuk ajaib lagi. Kenapa? Kerana saya rasa seronok untuk berkongsi kelebihan yang ada pada periuk ajaib tekanan tinggi ini. Sebab? Saya tetap dapat menghidangkan makanan yang saya masak sendiri walaupun terputus bekalan gas memasak.

Saya sedang menyediakan masakan malam apabila menyedari gas memasak habis. Tong gas ringan apabila diangkat. Ya, saya tidak menyediakan tong gas simpanan. Dari dahulu saya memang tidak pernah ada tong gas kedua. Ahli keluarga saya bilangannya kecil. Kebiasaannya, satu tong gas penuh akan memakan masa lebih dari tiga bulan baru habis. Saya cuma memasak untuk makan malam dan sesekali untuk sarapan pagi. 

Oleh kerana hari telah malam jadi saya ambil keputusan untuk meneruskan memasak dengan periuk ajaib tekanan tinggi saya. Alhamdulillah, masak lemak ikan masin talang, ikan talapia bakar cicah air asam, sup kentang dan sedikit hirisan daging berjaya disiapkan dalam masa kurang dari sejam. Memasak menjadi mudah. Apa yang lebih penting, perut yang kosong dapat diisi dengan makanan yang dimasak sendiri, dijamin kebersihan dan keenakannya disamping dimasak secara sihat kerana kurang penggunaan minyak masak dan tidak dimasak dalam tempoh yang lama.

Pagi ini pula, anak-anak dan suami dihidangkan dengan sarapan pagi nasi goreng enak dimasak dengan periuk ajaib tekanan tinggi saya. Nasi goreng dimasak dari beras menjadi nasi yang siap digoreng. Mudah. Hanya dalam masa kurang dari lima belas minit, dari beras bertukar menjadi nasi goreng yang lazat dan enak.


Tak percaya ? Anda boleh cuba sendiri. Boleh email saya di zuriatizubir@gmail.com atau sms / whatsapp saya di 019-936 7898 untuk keterangan lanjut. Ada skim ansuran bulanan tanpa faedah untuk pelaburan anda pada periuk ajaib ini. Pastinya berbaloi !