Jumaat, 15 Ogos 2014

SERONOKNYA MENGENAL TOKOH ISLAM

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt

Memang seronok membaca buku ini, "101 Info Seronoknya Mengenal Tokoh Islam". Buku ini ditulis oleh saudara Ridwan Abqary. Ilustrasi yang dipaparkan juga cantik dan menarik perhatian, karya Kharisma. Buku ini saya dan suami belikan buat anakanda saya Nur Khadeejah Soleha yang akan mencapai usia 6 tahun pada bulan November nanti. Oleh kerana beliau sudah boleh membaca dan menunjukkan minat untuk membaca, maka saya dan suami membelikan beberapa buah buku buatnya termasuklah buku 101 Info Seronoknya Mengenal Tokoh Islam ini.



Antara yang dipaparkan di dalam buku edaran PTS Publications & Distributions Sdn Bhd ini adalah info-info yang mungkin kita sendiri sebagai muslim yang dewasa tidak sedar dan tidak mengetahui akan kewujudannya. Melalui buku ini, banyak yang boleh kita pelajari dan banyak pengetahuan yang dapat kita tambah khususnya berkenaan dengan tokoh-tokoh dan ilmuan Islam.

Saya selitkan sedikit antara fakta yang boleh kita dapati di dalam buku ini :-

1)  Apakah ada tercatat dalam sejarah berkenaan ilmuwan dan pencipta dalam kalangan orang Islam?

Sudah tentu ada. Orang Islam adalah bangsa yang pintar. Sejak zaman dahulu hingga kini, ramai ilmuwan dan pencipta yang berasal daripada kalangan orang Islam. Nabi Muhammad saw sendiri adalah seorang ilmuwan dan pencipta yang terkenal di dunia.

2) Apakah yang dicipta oleh Nabi Muhammad saw?

Baginda adalah pencipta konsep pengurusan perniagaan moden. Sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul, beliau adalah peniaga yang berjaya. Baginda sudah menceburi bidang perniagaan sejak kecil. Sedangkan negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika baru mengenal konsep ini pada abad ke-9.

3) Apakah rahsia kejayaan Nabi Muhammad saw dalam bidang perniagaan?

Baginda sentiasa menerapkan sifat jujur dan amanah. Oleh kerana itu, baginda digelar sebagai al-Amin, iaitu orang yang dipercayai dan amanah oleh kawan-kawannya. Baginda sentiasa membina hubungan baik dengan pelanggannya. Baginda juga sering mendapat banyak keuntungan dan tidak pernah rugi.

Begitulah antara yang terkandung di dalam buku ini. Anda akan berkenal-kenalan dengan ramai lagi tokoh-tokoh Islam yang lain, antaranya Ibnu Al-Haitham, Muhammad Al-Karaji, Ibnu Bajjah, Az-Zahrawi, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al-Khawarizmi, Al-Biruni, Abu Al-Wafa, Al-Farghani, Ibnu Majid, Jabir bin Hayyan, Ibnu Rusyd, Al-Jazari, Umar Khayyam, Al-Kindi dan ramai lagi.

Dengan pelaburan kecil berjumlah RM9.50, banyak ilmu dapat dicedok dari sebuah buku yang ringkas ini. Sebagai seorang Islam, amat wajar bagi kita mengenali dan mengetahui siapakah tokoh-tokoh hebat ini dan apakah sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan dunia.

Selamat membaca.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Jumaat penuh barakah.

Khamis, 14 Ogos 2014

NASI GORENG PERIUK AJAIB

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt

Periuk ajaib lagi? Ya. Catatan hari ini tentang periuk ajaib lagi. Kenapa? Kerana saya rasa seronok untuk berkongsi kelebihan yang ada pada periuk ajaib tekanan tinggi ini. Sebab? Saya tetap dapat menghidangkan makanan yang saya masak sendiri walaupun terputus bekalan gas memasak.

Saya sedang menyediakan masakan malam apabila menyedari gas memasak habis. Tong gas ringan apabila diangkat. Ya, saya tidak menyediakan tong gas simpanan. Dari dahulu saya memang tidak pernah ada tong gas kedua. Ahli keluarga saya bilangannya kecil. Kebiasaannya, satu tong gas penuh akan memakan masa lebih dari tiga bulan baru habis. Saya cuma memasak untuk makan malam dan sesekali untuk sarapan pagi. 

Oleh kerana hari telah malam jadi saya ambil keputusan untuk meneruskan memasak dengan periuk ajaib tekanan tinggi saya. Alhamdulillah, masak lemak ikan masin talang, ikan talapia bakar cicah air asam, sup kentang dan sedikit hirisan daging berjaya disiapkan dalam masa kurang dari sejam. Memasak menjadi mudah. Apa yang lebih penting, perut yang kosong dapat diisi dengan makanan yang dimasak sendiri, dijamin kebersihan dan keenakannya disamping dimasak secara sihat kerana kurang penggunaan minyak masak dan tidak dimasak dalam tempoh yang lama.

Pagi ini pula, anak-anak dan suami dihidangkan dengan sarapan pagi nasi goreng enak dimasak dengan periuk ajaib tekanan tinggi saya. Nasi goreng dimasak dari beras menjadi nasi yang siap digoreng. Mudah. Hanya dalam masa kurang dari lima belas minit, dari beras bertukar menjadi nasi goreng yang lazat dan enak.


Tak percaya ? Anda boleh cuba sendiri. Boleh email saya di zuriatizubir@gmail.com atau sms / whatsapp saya di 019-936 7898 untuk keterangan lanjut. Ada skim ansuran bulanan tanpa faedah untuk pelaburan anda pada periuk ajaib ini. Pastinya berbaloi !

Jumaat, 8 Ogos 2014

NASI DAGING & PERIUK AJAIB SAYA

Teks : Zuriati Zubir
Foto : koleksi Sendiri

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, mohon maaf atas keterlanjuran kata dan bicara di halaman Diari Online Suri ini. Agak lama saya menyepi. Kesuntukan masa dan idea. Di dalam minda, ada banyak perkara yang ingin dikongsikan, alhamdulillah, hari ini Allah SWT beri kesempatan masa buat saya untuk berkongsi cerita dengan pembaca budiman. 

Semasa cuti hari raya yang agak panjang baru-baru ini saya berkesempatan untuk memasak Nasi Daging yang agak lama saya ingin buat tetapi ada sahaja halangannya. Alhamdulillah, kali ini saya berjaya memasak dan menikmati Nasi Daging ini. Saya mengambil masa tidak sampai pun 1 jam untuk memasak Nasi Daging ini. Oh, kerana saya menggunakan periuk ajaib tekanan tinggi saya. Jimat masa dan kurang rasa penat. Baik, saya akan ajarkan cara-caranya. Sebelum tu, salin resepinya dulu ya.







NASI DAGING

bahan-bahan : untuk makan 4 orang.

bahan A :

3 pot kecil beras Basmathi (direndam 3 jam). Saya guna beras biasa, boleh juga ya.
250 g daging batang pinang dihiris nipis atau dipotong kiub. (Kalau guna periuk ajaib saya, boleh guna mana-mana bahagian daging, hatta urat daging dan lemak. Potong, dan campak sahaja ke dalam periuk ini, pasti empuk dan boleh dimakan.)
2 sudu makan serbuk rempah kurma (dibancuh dengan sedikit air)
2 helai daun pandan
80 ml susu cair
1 sudu makan puri tomato ( boleh juga guna sos tomato)
2 helai daun limau purut
garam secukupnya
1 sudu kecil gula
1 sudu besar minyak sapi atau boleh juga menggunakan mentega.

bahan B :
 
5 biji bawang merah (dikisar)
3 ulas bawang putih (dikisar)
1/2 inci halia (dikisar)
1 sudu kecil jintan manis
rempah 4 sekawan (kulit kayu manis, buah pelaga, cengkih dan bunga lawang)
1 batang serai (diketuk)

Cara-cara :
 
1.  Panaskan minyak sapi atau mentega di dalam periuk ajaib. Sila guna setting Stir & Fry. Tekan butang Stir & Fry kemudian tekan butang ON.
2.  Tumiskan bahan-bahan B hingga wangi.
3.  Masukkan pes kurma dan puri tomato. Tumis lagi hingga garing dan pecah minyak.
4.  Kemudian masukkan daging, daun pandan, garam dan gula. Kacau rata-rata.
5.  Masukkan air secukupnya agak-agak tenggelam semua daging iaitu airnya berada di atas paras daging. 

6. Tekan butang OFF. Tukar setting kepada High Pressure. Tetapkan masa selama 30 minit. Tekan butang ON. Tetapkan tombol pada tudung penutup periuk ke kedudukan Pressure. Sila rujuk foto di bawah.



7. Setelah cukup 30 minit, periuk akan mengeluarkan bunyi penggera menandakan makanan telah masak. Pusing tombol pada penutup periuk dari Pressure kepada Steam dan biarkan wapnya keluar. Pastikan semua wap telah habis keluar. Buka tudung periuk.
8. Keluarkan daging tadi. Biarkan air daging di dalam periuk. Masukkan beras. Masukkan susu cair dan daun limau purut. Kacau dengan senduk hingga rata dan sebati. Pastikan aras air melebihi satu setengah ruas jari dari aras beras bagi beras basmati dan satu setengah ke satu ruas jari dari paras beras bagi beras biasa.
9.  Tutup periuk. Pusing tombol pada penutup periuk ke kedudukan Pressure. Tekan butang High Pressure dan tetapkan masa selama 15 minit. Tekan butang ON. 
10. Setelah nasi masak, buka tutup periuk dan biarkan periuk di dalam fungsi Warm supaya nasi anda sentiasa dalam keadaan panas.
11.  Taburkan bawang goreng dan sedikit hirisan daun ketumbar pada nasi dan hidangkan bersama air asam serta lauk berkuah jika suka.


Bahan Air Asam

bahan-bahan : 4 orang makan
2 biji bawang merah (dihiris)
1/2 labu bawang besar (dihiris)
1 biji tomato (dihiris dadu)
8-10 biji cili padi (dihiris)
2 biji cili merah (dihiris)
1 cawan air asam jawa (-/+)
sedikit serbuk belacan atau belacan bakar
sedikit garam, gula dan jus limau nipis/kasturi

Cara-cara :
Satukan semua bahan dan kacau sebati.
Hidangkan bersama nasi daging
.

Nasi daging siap untuk dimakan dalam masa kurang dari sejam. Alhamdulillah, sejak saya menggunakan periuk ajaib saya ni, saya dapat jimatkan banyak masa. Tips : sediakan bahan-bahan untuk memasak pada sebelah malam atau pagi selepas subuh. Anda akan dapat jimat lebih banyak masa memasak terutama untuk makan malam. Bagi yang bekerja, setelah pulang pada petang hari, boleh terus memasak. Kurang dari satu jam, anda dan keluarga boleh menikmati hidangan makan malam yang enak, lazat, berkhasiat dan dimasak seperti  seorang chef yang hebat. 

Kalau anda berminat dengan periuk ni, boleh hubungi saya ya. SMS atau whatsapp saya : 019-936 7898, boleh juga email : zuriatizubir@gmail.com


 

Skim bayaran secara ansuran tanpa faedah ada disediakan. InshaAllah, saya akan kongsikan lagi resepi lain yang boleh kita masak secara cepat dan menjimatkan masa di samping kita dapat menjaga kesihatan kerana penggunaan minyak untuk menumis dan memasak yang amat sedikit. 

Salam hidup penuh keceriaan.

"Erti hidup pada memberi".

Khamis, 17 Julai 2014

ADA APA DENGAN PUASA ?

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Koleksi bacaan, Majalah Al Islam.



Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

" Rasulullah saw bersabda, " Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan Ar-Ryyan. Orang-orang yang berpuasa masuk melalui pintu itu pada hari kiamat, tidak seorang pun masuk melalui pintu itu selain mereka. Dikatakan, "Mana orang-orang yang berpuasa?" Maka mereka berdiri. Tidak ada seorang pun yang masuk melewati pintu itu selain mereka. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup dan tidak ada seorang pun yang masuk (lagi) melaluinya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Hari ini 19 Ramadhan 1435H. Bermakna hanya berbaki 10 hari lagi sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya. Alangkah indahnya jika kita tergolong di dalam golongan yang masuk melalui pintu Ar-Ryyan itu. Betapa bahagianya, betapa riangnya, betapa indahnya saat itu. Bagaimanakah puasa kita Ramadhan kali ini ? Adakah sama seperti tahun-tahun sebelum ini atau lebih parah lagi, puasa kita sama sahaja seperti puasa kita ketika di bangku sekolah rendah atau sekolah menengah. Layakkah kita melepasi pintu Ar-Ryyan ?

Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik kita lalui. Semoga sepanjang kita berada di madrasah Ramadhan ini, qalbu kita kembali suci, jiwa kita kembali kepada fitrah. Semoga segala amalan baik yang kita kerjakan sepanjang Ramadhan ini diterima Allah SWT sebagai amalan yang terpuji dan diangkat ke Illiyin sebagai catatan yang baik belaka. Aamiinn.



Ada apa dengan puasa ?

Mari kita tinjau antara kebaikan berpuasa yang dilihat dari sudut sains. Mengapa sains? Kerana kita hidup di zaman sains dan teknologi. Manusia di zaman ini inginkan sandaran kepada jawapan sesuatu pertanyaan. Manusia di zaman ini sering mahukan jawapan yang logik yang boleh diterima akal dan boleh diproses di dalam fikirannya. Tetapi, di dalam soal agama, logik akal tidak boleh selalu digunakan kerana ada beberapa perkara yang melangkaui logik akal seperti peristiwa perjalanan Nabi Muhammad saw Israk ke Baitul Maqdis dan Mikraj ke Sidratul Muntaha hanya dalam satu malam.

Baiklah, antara kebaikan berpuasa kepada manusia menurut kajian sains ialah :-

1) MEMBUNUH DAN MENYINGKIRKAN VIRUS

Menurut saintis, menahan diri daripada makan dan minum untuk satu jangka masa tertentu memberi peluang kepada sistem imun praktis menguatkan fungsinya. Ia juga untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh tubuh kerana pengambilan makanan berlebihan. Dan apabila puasa bermula sel dalam badan akan menyingkirkan semua timbunan toksik yang dikumpulkan sepanjang tahun. Hasilnya, kita akan lebih bertenaga, selesa dan kuat berbanding sebelumnya.

2) MENYEMBUHKAN DIABETES DAN MENGURANGKAN GEJALA SERANGAN JANTUNG

Kajian yang disiarkan di The American Magazine of Clinical Nutrition Science membuktikan puasa sekali-sekala sangat penting untuk merawat diabetes, jantung dan arteri. Ada satu lagi kajian yang disiarkan dalam The American Society of Animal Science, menunjukkan puasa berkala boleh meningkatkan kecekapan hormon Adiponectin. hormon tersebut terlibat dalam mengawal pengambilan gula tubuh dan metabolisme asid lemak kepada mamalia. Ia memainkan peranan untuk meningkatkan respons tisu terhadap insulin dengan mengawal pengambilan dan pemusnahan glukos dalam badan.

3) MENGURANGKAN PELUANG PERTUMBUHAN TUMOR

Pengkaji dari Grenoble Universiti, Perancis dalam satu kajian yang dilakukan mendapati puasa yang diamalkan secara berkala berperanan menurunkan peratusan  pertumbuhan lymphoid tumors. Menakjubkan! Hanya dengan berpuasa pertumbuhan tumor boleh dibantutkan hingga kosong peratus. Sementara itu dalam satu kajian yang lain pula, puasa boleh meningkatkan peluang hidup kepada pesakit yang mengalami kecederaan hati yang mana kecederaan tersebut berkemungkinan menjadi tumor pada masa akan datang.

4) AWET MUDA

Awet muda tanpa perlu suntikan botox yang membahayakan dan supplemen yang mencecah ratusan ringgit. Puasa bukan sekadar menyembuhkan penyakit kronik juga melambatkan proses penuaan sel otak.  Proses penuaan sel otak yang dilambatkan secara tidak langsung akan menjauhkan penyakit Alzheimer atau sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak di mana daya ingatan seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri. Alzheimer digolongkan ke dalam salah satu daripada jenis nyanyuk (dementia) yang dicirikan dengan melemahkan pertuturan, kewarasan, ingatan, pertimbangan, perubahan personaliti dan tingkah laku yang tidak terkawal. Oleh yang demikian, bersyukurlah kepada Allah SWT atas perintahNya yang ketiga ini di dalam Rukun Islam yang sewajarnya dilakukan oleh semua umat manusia.

5) MENGURANGKAN KEMUNGKINAN PERTUMBUHAN KANSER

Saintis dari California University, membuktikan puasa adalah perkara penting untuk menghentikan sel kanser daripada membahagi dan berkembang. Ini adalah berita baik bagi pengidap kanser. Menurut kajian mereka juga berpuasa adalah lebih berkesan daripada berdiet. 

6) MENCEGAH OBESITI

Kini, semua doktor di seluruh dunia percaya menahan diri daripada makanan adalah cara paling mudah dan murah untuk mengatasi obesiti. Jadi, tidak mustahillah jika dengan berpuasa hasrat untuk mengurangkan masalah obesiti akan tercapai. Di bulan Ramadhan inilah masanya untuk melaraskan ritma tubuh dan menyingkirkan lemak berlebihan. Berilah kesempatan kepada tubuh badan untuk menyusun semula tugas hormon dan sel darah supaya ia boleh menjalankan kerjanya untuk menguruskan sistem badan dan mengurangkan berat berlebihan. Puasa sesungguhnya menyihatkan!

7) MENYEMBUHKAN SAKIT SENDI

Ketika ini negara-negara barat sudah memanfaatkan terapi puasa untuk meyembuhkan artritis dan sakit belakang. Hasilnya amat positif. Puasa adalah proses 'ajaib', yang kelihatannya seperti tiada apa-apa tetapi kebolehannya untuk mengurus fungsi daripada sistem yang berbeza di dalam tubuh  amatlah hebat. Paling penting ia merawat kesakitan yang disebabkan pengecutan disc yang berkaitan masalah tulang belakang, leher atau kaki.

Senarai di atas hanya menyatakan 7 di antara kebaikan dan fadhilat berpuasa. Hakikatnya, tidak terhitung manfaat berpuasa kepada manusia. Betapa kasihnya Allah SWT kepada makhlukNya. Syukur Ya Allah. Alhamdulillah.

"Erti hidup pada memberi."

Salam Ramadhan Kareem.




Isnin, 14 Julai 2014

PETUA MENCUCI HATI

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Petua Mencuci Hati oleh Datuk Dr Haji Fadzilah Kamsah 


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.
Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu, dibawah ini ada beberapa cara
bagaimana hendak mencuci hati, diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah. Bagaimana untuk mencuci hati :-





1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan.  Semasa berdoa turut katakan: "Ya Allah, jadikan hatiku bersih."
       
2.  Selawat ke atas Nabi Muhammad saw paling minima 100 kali sebelum tidur. Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa di-ampunkan, otak kita akan tenang, rezeki akan bertambah murah, orang lain akan sayangkan kita dan selawat kepada Nabi akan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, solat taubat dapat mencuci hati dan menenangkan minda.
       
4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, Al-Quran juga menjadi penyembuh, penenang, dan terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" (surah al-Ikhlas) sebanyak 3 kali.

5. Bermaaf-maafan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan apakah kesalahan yang kita lakukan kepada kawan kita tersebut.
       
6. Bisikkan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, mengutuk diri sendiri dan merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. Katakan lah: "Aku sebenarnya.. ....(perkara yang elok-elok belaka).

7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata. Katakan didalam hati: "Ya Allah, cuci otak aku, cuci hatiku. Esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif." Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya - CUBALAH!!).

8. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa, kita akan terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa).

10.    Kekalkan wuduk.
 
11.    Bersedekah.

12.    Belanja orang makan.

13.   Jaga makanan - jangan makan makanan yang syubhat (was-was, tidak pasti samada halal atau tidak).

14.   Berkawan dengan ulama.

15.   Berkawan dengan orang miskin (menginsafi) .

16.   Pesan pada orang, jadi baik.

17.   Menjaga pancaindera (mata, telinga, mulut... dan sebagainya). Jangan dengar orang   mengumpat.





Tazkirah Ramadhan

Di riwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah saw sedang duduk bersama para sahabat. Kemudian datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid dengan menangis. Apabila Rasulullah saw melihat pemuda itu menangis, maka baginda pun berkata, "Wahai orang muda, kenapa kamu menangis?"

Maka berkata orang muda itu, "Ya Rasulullah saw, ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya." Lalu Rasulullah saw memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a. mendapati ayah orang muda itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam. Maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah saw, "Ya Rasulullah saw kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam."

Kemudian Rasulullah saw dan para sahabat pun pergi ke rumah orang muda itu dan baginda pun berdoa kepada Allah swt. Kemudian mayat itu pun bertukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah saw dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut. Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam. Maka Rasulullah saw pun bertanya kepada  pemuda itu, "Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dahulu?"

Berkata orang muda itu, "Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat." Kemudian Rasulullah saw bersabda, "Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Dihari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah S.W.T seperti babi hutan yang hitam."

Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyanginya, tiba-tiba kain kafan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kafan itu, mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat. Lalu mereka cuba membunuh ular itu.
Apabila mereka cuba untuk membunuh ular itu, maka berkata ular tersebut,
"Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, mengapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah S.W.T yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat."
Lalu para sahabat bertanya, "Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?" Berkata ular, "Dia telah melakukan tiga kesalahan, di antaranya;
1. Apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang.
2. Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.
3. Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama. Maka inilah balasannya".

Semoga bermanfaat.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan Kareem.

Jumaat, 11 Julai 2014

UNTUK WANITA : 2 TABIAT BAWA KE NERAKA

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Koleksi bacaan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Sebagai peringatan untuk para wanita dipaparkan suatu peristiwa di zaman Rasulullah saw ketika di suatu Eid, di mana seorang wakil telah dilantik dari kaum wanita untuk bertemu dengan Rasulullah saw untuk meminta baginda saw memberi ucapan khusus untuk kaum wanita. Baginda bersetuju dan menyuruh mereka berkumpul di Baabun Nisaa'. Setelah kaum wanita berkumpul, Bilal pergi memanggil Rasulullah saw. Baginda pun pergi ke sana, dan memberi salam dan tazkirah seperti berikut:

'Assalamualaikum, wahai kumpulan/kaum wanita. Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka'.


Seorang wanita lalu bangun bertanya, "Apakah yang menyebabkan yang demikian ?" Adakah sebab kami ini kufur ?" Rasulullah saw menjawab, "Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada 2 tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk/menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami.'


Kemudian baginda saw mengingatkan supaya :
1. Banyak beristighfar
2. Banyak bersedekah. 


Keterangan:
Yang dimaksudkan dengan mengutuk/menyumpah ialah seperti contoh di bawah:

Contoh 1

Katakan kita lama menunggu bas. Tetapi bas masih tidak kunjung tiba, akibat geram dan marah kita mungkin berkata, "Driver bas ni dah mampus agaknya." Perkataan mampus itu termasuk dalam erti kata menyumpah. Lisan wanita memang terlalu cepat menyumpah. Kadang-kadang pakaian, perkakas rumah, hatta suami pun kena sumpah.

Contoh 2

Tengah memasak gas habis. Kita mungkin berkata "Celaka punya gas. Masa ni jugak nak habis." Yang dimaksudkan kufur di sini bukan kufur I'tiqad tetapi bererti tidak mengiktiraf kebaikan di sini bermaksud tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh suami.

Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang suami yang kurang kefahaman.
Rasulullah saw berkata, "Tidakkah pernah engkau jumpa, seorang isteri, jika seumur hidup engkau, engkau berbuat baik kepadanya, tetapi di suatu ketika, disebabkan dia tidak mendapat sesuatu yang dia kehendaki, maka dia akan berkata ,"Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak".
(Terjemahan langsung dari bahasa Arab).

[Dalam masyarakat kita kata-kata di atas mungkin boleh dikaitkan dengan
perkataan seperti berikut:

"Selama hidup dengan awak, apa yang saya dapat?".Tak guna sesen pun".


Rasulullah saw menyambung lagi , "Mana-mana isteri yang berkata, "Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak", maka akan gugur pahala-pahala amalannya." Saranan Rasulullah saw yang seterusnya ialah menyuruh kaum wanita banyak beristighfar dan bersedekah, kerana ia dapat menyelamatkan kita dari 2 perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka seperti yang disebutkan tadi.

Fadhilat beristighfar:


a. Sabda Rasulullah saw : 'Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70 kali sehari, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk).' Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah saw menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendiri melakukannya lebih dari 100 kali sehari. Adalah diingatkan untuk mencapai sasaran ini, eloklah kita menjadualkan amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.

b .Sabda Rasulullah saw : 'Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita.'

c. Istighfar juga memurahkan rezeki. Jangan dianggap rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit atau harta benda. Tetapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak. Sedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Sedekah juga termasuk: 


1. Tuturkata/percakapan yang baik. Yang paling utama ialah terhadap keluarga sendiri. Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak menambat hati suami. Diriwayatkan, Saidatina Khadijah ra, isteri Rasulullah saw yang pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang hayat baginda saw, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga baginda sering menyebut nama beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu di kalangan isteri-isteri baginda.



Diriwayatkan juga, Jibril as setiap kali selepas memberi wahyu kepada Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah. Suatu hari Rasulullah saw telah bertanya beliau, dan jawab Jibril, 'Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tuturkatanya'.

2. Memberi salam. 


3. Memaniskan wajah.

Juga terutamanya kepada ahli keluarga. Rasulullah saw pernah bersabda, "Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah." Terdapat juga suatu syair Arab yang berbunyi :

'Nak buat baik, sangatlah mudah, Maniskan wajah, lembutkan lidah.' 


Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah saw marilah kita bertafakur dan bermuhasabah diri kita. Sekiranya terdapat sifat-sifat buruk yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka itu, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang. 





Semoga bermanfaat.


"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan Kareem

Khamis, 10 Julai 2014

CARA MEMBELI WAKTU



Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Koleksi bacaan


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Waktu, masa, saat, kala, tempoh adalah sama dari segi maksudnya. Setiap manusia diberikan waktu atau masa yang sama setiap hari iaitu 24 jam. Apapun pekerjaan atau perkara yang dilakukan, waktu yang kita miliki sehari hanyalah 24 jam.  Dari pengemis hinggalah Perdana Menteri, waktu yang dimiliki sehari terbatas kepada 24 jam sahaja. Tidak pernah lebih dan tidak pernah kurang.

Tetapi, tahukah anda bahawa waktu boleh dibeli ? Waktu boleh ditambah ? Bagaimana cara membeli waktu ?

 SUBHANALLAH - "Membaca Quran menambah waktu ?"



Ada seorang ulama berguru kepada seorang guru. Selang beberapa lama, saat dia ingin melanjutkan belajar ke guru lain, gurunya berpesan :

"Jangan tinggalkan membaca Al Quran, semakin banyak baca Al Quran, urusanmu semakin mudah"

Dan muridnya pun melakukannya. Dia membaca Al Quran 3 juz sehari. Dia menambahkan hingga 10 juz sehari. Dan urusannya semakin mudah.
 
Allah SWT yang mengurus semua urusannya. Waktu pun semakin berkah.

Apa yang dimaksud dengan berkah waktu?

Iaitu boleh melakukan banyak hal dalam waktu sedikit.

Itulah berkah Al Quran. Al Qur’an membuat kita mudah mengefektifkan penggunaan waktu. Bukan kita yang mengatur waktu kita, tetapi Allah SWT.

Padahal teorinya orang yang membaca Al Quran akan menghabiskan banyak waktu, lalu mengurangi kegiatan lain, tetapi Allah SWT yang membuat waktunya itu menjadi berkah. Hingga menjadi begitu efektif. Hidup pun efektif. Dan Allah SWT akan mencurahkan banyak berkah dan kebaikan pada kita kerana Al Quran. Salah satu berkahnya adalah membuka pintu kebaikan, membuka kesempatan untuk amal soleh berikutnya. Salah satu balasan bagi amal baik yang kita lakukan adalah kesempatan untuk melakukan amal baik yang lain.


Di bulan Ramadhan yang mulia ini, perbanyakkanlah membaca al Quran, selain dari pelbagai fadhilat yang boleh kita perolehi juga waktu yang ditambah dan berkah, membaca al Quran di dalam bulan Ramadhan juga akan dilipatgandakan pahalanya, inshaAllah.

Bagaimana untuk khatam al Quran dalam sebulan bulan Ramadhan ini? Ikuti panduan berikut :


Bagi al Quran resam Uthmani, setiap juzuk al Quran terdapat 20 muka surat. Bermakna, bagi 30 juzuk al Quran terdapat 600 muka surat.

Bagi wanita yang uzur, tolakkan hari yang anda uzur tersebut dari sebulan Ramadhan, kemudian lakukan seperti berikut :-

Contoh : Hari uzur = 8 hari.

30 hari (sebulan Ramadhan) - 8 hari
Baki = 22 hari.

8 hari  X 20 muka surat = 160 muka surat

Baki 22 hari (boleh berpuasa dan membaca al Quran).

Mengikut kiraan bagi 30 hari penuh, sehari perlu membaca 20 mukasurat,
160 mukasurat dibahagikan dengan 22 hari, kita akan dapat lebih kurang 7.3 mukasurat sehari.
tambahkan 20 mukasurat sehari debgan 7.3 muka surat, anda akan memperolehi 27.3 muka surat sehari yang perlu dibaca.

Bahagikan pula dengan 5 kali waktu solat fardhu, anda perlu membaca lebih kurang 5 setengah muka surat setiap kali sebelum atau selepas solat fardhu. 



Semoga bermanfaat.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan Kareem.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Anda ada produk? Iklan produk anda di Soho Directory. Dapatkan pakej iklan serendah RM50. Lihat maklumat tentang pakej di sini.

Hubungi saya, Zuriati Zubir melalui:

Emel: 
zuriatizubir@gmail.com
SMS/whatsapp: 019 936 7898
Facebook: Zuriati Zubir