Khamis, 12 Jun 2014

BUKU LOG TASKA SI IMAN

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi Sendiri


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Hari ini saya ingin berkongsi tentang sesuatu yang pada hemat saya amat baik untuk dijadikan amalan oleh pengusaha-pengusaha taska.





Buku Log Harian Kanak-Kanak Taska. Buku ini agak tebal, diberikan percuma oleh pengusaha taska tempat anak saya Nur Iman Muhammad ditempatkan. Pada mulanya saya agak skeptikal dengan buku ini. Tetapi, melihatkan komitmen dari pengasuh-pengasuh Iman, saya yakin inshaAllah, buku ini akan memberi manfaat kepada kedua ibubapa juga kepada pengasuh-pengasuh anak di taska atau pusat jagaan harian kanak-kanak.

Nur Iman Muhammad ditempatkan bersama kanak-kanak yang seusia dan sebaya dengannya iaitu 2 tahun hingga ke 3 tahun. Alhamdulillah, setakat ini Iman tidak banyak kerenahnya apabila ditinggalkan dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang di taska ini. 

Buku log ini adalah buku komunikasi dua hala selain dari perbualan seharian dan sapaan mesra antara ibubapa dan pengasuh. 


Saya amat suka dengan paparan '101 Ways To Praise A Child' yang diletakkan pada sebelah dalam kulit muka hadapan buku log ini. Ada 101 cara untuk kita memberi rangsangan dan pujian kepada permata hati kita. Perkara ini mungkin sering kita abaikan. Daripada kita menjerkah dan menengking anak kita, ada baiknya jika kita beri kata-kata perangsang seperti di atas kepada anak-anak kita agar perasaan mereka sentiasa positif dan emosi mereka tidak tercedera.


Maklumat bagi ruangan di atas diisikan oleh ibubapa. Apa yang dibawa oleh anak di dalam begnya, keadaan anak samada telah dibersihkan atau dimandikan sebelum dihantar ke taska, keadaan kesihatan anak dan fizikal anak sebelum dihantar, jam berapa tiba dan adakah anak kita lena atau tidak tidurnya pada malam sebelumnya.





Ini pula adalah mukasurat kedua ruangan catatan bagi pengasuh. Pasti ibubapa akan tersenyum melihat catatan yang membahagiakan seperti di atas. Setidak-tidaknya, hilang sedikit kegusaran dan rasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan anak kecil seharian di taska kerana tuntutan kerja.

 

Di kulit belakang buku log ini dicatatkan pula peranan ibubapa dan penjaga, taska institusi, di rumah, tempat kerja dan komuniti. Catatan ini amat berguna untuk dijadikan panduan buat kedua-dua belah pihak iatu ibubapa dan pihak taska. 

Alhamdulillah, saya tiada masalah untuk mengisi ruangan yang disediakan buat catatan kedua ibubapa sebelum menghantar anak ke taska di dalam buku log ini. Sebagai ibubapa, kita harus peka dan ambil peranan sama dalam memastikan anak-anak kita sentiasa dalam keadaan dan suasana yang baik dan kondusif untuk tumbesarannya baik tumbesaran fizikal mahupun mental. Sikap ambil peduli dan cakna dalam hal anak-anak ini mesti sentiasa ada bagi kedua ibubapa. Anak adalah anugerah dariNya. Kita tidak tahu sampai bila  anugerahNya ini akan dipinjamkan kepada kita. Hargailah anak-anak selama ia masih berada bersama kita.

Saya sarankan, buku log ini WAJIB ada di setiap taska atau tempat jagaan anak-anak.

"Erti hidup pada memberi."

Salam ceria penuh kebahagiaan.


Rabu, 11 Jun 2014

SEJARAH MENTOL

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Sumber: http://ms.harunyahya.com/ms/Artikel/157448/



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.






Tahukah anda, mentol pijar telah dicipta oleh saintis genius Thomas Alva Edison yang berasal dari Ohio, Amerika Syarikat pada tahun 1879. Menariknya sebelum berjaya mencipta lampu mentol pijar tersebut terdapat lebih kurang 22 orang yang telah membuat percubaan untuk mencipta mentol terdahulu.

Thomas Alva Edison adalah orang pertama yang telah berjaya mencipta lampu mentol pijar yang boleh berfungsi dan mempatenkannya, yang seterusnya digunakan bagi tujuan komersial.

Mungkin ramai yang tidak tahu beliau bukanlah orang yang mula-mula mencipta lampu mentol pijar. Sebaliknya dia hanya membeli paten mentol pijar daripada orang yang mula-mula mencipta mentol pijar tersebut !

Mungkin fakta yang akan saya kemukakan ini lebih mengejutkan atau mungkin telah pun sedia diketahui. Thomas Alva Edison atau orang lain yang digembar-gemburkan oleh sejarawan barat sebagai pencipta atau penemu mentol lampu pijar sebenarnya bukanlah pencipta pertama mentol lampu pijar.   

Penggunaan mentol lampu telah wujud sejak zaman Mesir Purba lagi.  Penemuan pelbagai ukiran dan corak pada permukaan dinding Kuil Hathor di Kompleks Kuil Dendera Mesir, membongkar satu rahsia yang menarik mengenai masyarakat Mesir purba. Rekaan ukiran tersebut menunjukkan bahawa masyarakat Mesir purba mendapatkan sumber pencahayaan melalui penggunaan mentol dan lampu arka.

Pemeriksaan teliti terhadap gambar-gambar yang terdapat di Kuil Hathor menunjukkan bahawa penebat bervoltan tinggi telah diguna pakai, sama seperti yang ada pada masa kini; struktur ini disokong oleh tiang yang berbentuk segi empat bujur yang  menyerupai sebiji mentol (dipercayai telah digunakan sebagai penebat dan dikenali sebagai Djed Column). Ini merupakan penemuan yang menakjubkan kerana reka bentul mentol lampu yang kita gunakan pada hari ini mempunyai ciri yang serupa pada zaman Mesir purba.  

Walter Garn, seorang jurutera elektrik berbangsa Austria telah mengkaji ukiran yang terdapat pada permukaan dinding secara terperinci, dan menghasilkan semula penebat Djed Column, mentol dan pintalan wayar dan hasilnya, model yang dibina oleh beliau berfungsi dan memancarkan cahaya.

Dalam satu saluran dokumentari pada September 1996 oleh Amerika ABC, sistem pencahayaan ini telah diuji semula oleh para saintis di hadapan kamera dan kejayaan sekali lagi dicapai dan cahaya diperolehi. Secara asasnya, ini hanyalah mentol dan ia berfungsi melalui teknik yang dipaparkan pada lukisan dinding masyarakat Mesir purba, sehingga menghasilkan cahaya. 




Menarik bukan ? Mengapa saya paparkan fakta ini ? Ya, supaya anda dan diri saya juga lebih tahu dan celik sejarah. Bukan untuk dibanggakan, tetapi agar kita  lebih mengenal kemampuan diri dan faham bahawa Allah SWT menjadikan kita ini penuh dengan potensi dan pelbagai kepakaran dan kemahiran. Apa yang perlu kita lakukan ialah cari dan gali potensi tersebut di dalam diri kita dan keluarkan kehebatan diri kita yang sebenar. Siapa tahu mungkin selepas ini anda bakal menjadi pereka atau penemu ciptaan baru yang bermanfaat kepada masyarakat dan mencipta sejarah diri anda yang hebat, inshaAllah.

"Erti hidup pada memberi"

Salam mengenal diri.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------





Akademi Bekerja di Rumah (ABDR) kini membuka peluang kepada mereka ingin menempah blog melalui Pakej Tempahan Membuat Blog ABDR. Terbuka kepada semua terutama bagi usahawan-usahawan yang tidak dapat menghadiri kelas online yang kami tawarkan. Tawaran ini dibuka dengan harga promosi RM200 sahaja. Anda boleh memilih salah satu Pakej Blog berikut:

i.            Satu Blog untuk kegunaan Penulisan/Peribadi
            ATAU
ii.           Satu Blog untuk Bisnes

Hanya RM200 sahaja (JIMAT RM100)

Blog yang ditempah meliputi:
 Borang tempahan
Penambahan gajet - 5 Label
 Link fanpage/facebook
10 foto produk untuk dimasukkan ke dalam blog bersama keterangan produk.
***Bonus juga akan diberikan

Jika berminat hubungi saya:
Emel: zuriatizubir@gmail.com
SMS/whatsapp: 019-936 7898
Facebook: Zuriati Zubir




Selasa, 10 Jun 2014

NASI ARAB UNTUK ULANGTAHUN ARWAH ANAKANDA

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi Sendiri


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

              Hari ini 10hb Jun 2014 ialah hari ulangtahun anakanda sulung saya, Faris Naqiuddin. Arwah genap berusia 16 tahun pada hari ini sekiranya dia masih ada. Allah SWT lebih sayangkan beliau. Beliau pergi bertemu Illahi pada subuh hari Rabu, tanggal 6hb Jun 2007 hanya empat hari sebelum sambutan harijadinya yang ke 9 tahun.


Saya masih tidak dapat melupakan perbualan terakhir saya dengan arwah, sehari sebelum pemergiannya. Pada pagi 5 Jun 2007, saya menelefon arwah seperti biasa. Arwah memilih untuk tinggal bersama aki dan neneknya di kampung sepanjang cuti penggal persekolahan.

Saya menelefon arwah bertanyakan khabar dan bertanyakan apakah hadiah yang dihajati sempena harijadinya yang bakal disambut pada hari Ahad, 10hb Jun 2007. Arwah menjawab beliau hanya mahu diadakan jamuan makan buat rakan-rakannya sahaja. Saya membalas dengan berkata bahawa jamuan makan untuk rakan-rakan tetap akan diadakan seperti kebiasaan setiap tahun. Apabila saya bertanyakan semula hadiah apa yang diingini, arwah tetap menjawab beliau hanya mahukan diadakan jamuan makan buat rakan-rakannya. Walau berkali-kali saya tanyakan soalan yang sama, jawapan yang diberikan tetap serupa, mahu menjamu makan rakan-rakannya.

Sungguh, rupanya keinginan dan permintaan terakhirnya itu menjadi nyata kerana kami menjamu makan rakan-rakan, kenalannya, guru-guru serta saudara-maranya dengan kenduri arwah beliau. Sehingga kini setelah 7 tahun ketiadaannya, kami tetap mengadakan jamuan makan buat rakan-rakannya juga kini buat rakan-rakan kedua-dua adiknya yang tidak pernah pun ditemui oleh arwah. Kedua-kedua adiknya lahir ketika arwah telah tiada. Hanya pusaranya sahaja menjadi pengganti dan tanda beliau pernah wujud dan bertapak dalam hati dan kehidupan kami sekeluarga.

Sempena hari ulangtahun kelahirannya hari ini saya menyediakan nasi arab yang dimasak dengan penuh kasih dan sayang kerana nasi arab merupakan antara makanan kegemaran arwah. Nasi arab yang telah dimasak dan diletakkan di dalam bekas dengan kemas diserahkan kepada guru - guru taska dan tadika adik-adik arwah pada pagi ini sebagai meneruskan keinginan dan permintaan arwah untuk mengadakan jamuan sempena ulangtahun kelahirannya.



 
Walau telah tujuh tahun pemergian arwah kembali kepada Sang Pencipta, di hati tidak pernah pun melupakan dirinya. Ketika catatan ini dicoretkan, saya akui, bukan sahaja hati saya yang menangis, malah air mata saya tidak pernah kering dan turun membasahi pipi walau secekal mana pun hati saya dan setabah mana pun perasaan saya. Hati seorang ibu tetap tidak dapat menghilangkan walau secalit kenangan dan ingatan buat anak yang telah tiada. 

Al Fatihah buat arwah anakanda kesayangan Faris Naqiuddin..Umi tahu, Faris amat bahagia di sana bersama al Khaliq yang menciptakan kita semua.

"Erti hidup pada memberi"

Salam kasih abadi selamanya.
 



Isnin, 9 Jun 2014

KURSUS PENGAKTIFAN OTAK TENGAH

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Hari Sabtu yang lepas, pada 7hb Jun 2014 saya telah menghantar anakanda saya Nur Khadeejah Soleha ke Kursus Pengaktifan Otak Tengah. Kursus bermula seawal jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang.

Sesi kursus bermula dengan suasana yang agak terganggu. Sebenarnya emosi saya yang agak terganggu dek kerenah anakanda saya di permulaan kursus. Soleha tidak mahu melepaskan saya. Dia menangis tersesak-esak apabila saya mahu meninggalkannya di situ. Alhamdulillah, dengan bantuan dan kesabaran fasilitator, Dr Rahayu Yusuf dan Puan Magdalina Selamat, situasi berjaya dikawal. Soleha akhirnya akur, tinggal dan meneruskan kursus. 

Apa perlunya otak tengah diaktifkan ? Apa fungsi otak tengah dan apa dia otak tengah ? Pasti ramai yang belum mengetahui berkenaan peri pentingnya peranan otak tengah ini kepada seorang insan. Saya tidak akan membincangkan secara detail berkenaan anatomi otak, dan terma-terma bahagian otak dalam bahasa saintifiknya. Saya cuma akan memberikan sedikit sebanyak pengetahuan yang saya ada berkenaan dengan otak tengah ini, selebihnya anda boleh dapatinya dari carian di internet, atau boleh berhubung sendiri dengan Dr Genius Club, Puan Rahayu Yusuf melalui Puan Magdalina Selamat di blognya di sini.

Umum telah mengetahui bahawa otak terdiri daripada otak kiri dan kanan dan fungsi-fungsinya seperti diagram di bawah (bagi yang otak kanannya lebih dominan, diagram di bawah ini akan lebih mudah difahami :) :


atau bagi anda yang fungsi otak kirinya adalah dominan, mungkin diagram seperti di bawah ini lebih mudah difahami :




Apa pula peranan otak tengah ? Otak tengah merupakan jambatan penghubung bagi fungsi otak kiri dan kanan. Otak tengah berfungsi menyeimbangkan tugas-tugas yang dijalankan oleh otak kiri dan otak kanan. Mengaktifkan otak tengah akan memungkinkan otak kiri dan otak kanan berfungsi secara maksimum. Ketika otak tengah diaktifkan, seseorang itu akan memiliki laluan yang mudah kepada otak kiri dan otak kanannya. Keadaan ini akan memudahkan seseorang itu belajar, membaca dan menghafal dengan lebih cepat dan effisien. Selain daripada itu fokus seseorang akan menjadi lebih baik, lebih tenang dan perasaan lebih positif. Kesan-kesan yang baik dari pengaktifan otak tengah ini akan memungkinkan terbentuknya insan yang cemerlang kerana jiwa, perasaan dan perilakunya sentiasa positif, berfikiran seimbang selain kreatif dan genius. Jika dilihat dari sudut keagamaan, insan yang seimbang fikirannya, peranan otak kiri, kanan dan tengahnya akan membentuk insan yang khusyuk (fokus) dalam setiap apa yang dilakukannya terutama sekali di dalam solatnya. 

Solat yang dilakukan dengan betul, sempurna rukun-rukun, syarat-syarat dan sunatnya dan dalam keadaan yang penuh khusyuk, tenang dan tawaduk akan menjana insan yang bukan sahaja seimbang, genius, mantap fizikal dan rohani malah sempurna akhlak, sahsiah dan kehidupannya.


Otak tengah pada hakikatnya telah aktif semenjak seseorang lahir ke dunia. Otak tengah ini akan terus aktif dan terbuka dari lahir sehingga seseorang kanak-kanak itu berusia sekitar 5 tahun. Otak tengah akan mula tidur atau tidak aktif apabila seseorang kanak-kanak mencapai usia 6 tahun ke atas. 

Disebabkan keadaan inilah maka otak tengah ini perlu dibangunkan apabila anak-anak mencapai usia 6 tahun ke atas. Suatu yang menarik untuk diketahui iaitu gelombang otak yang sentiasa dipancarkan oleh anak-anak yang masih belum tidur fungsi otak tengahnya ini ialah gelombang yang rendah iaitu gelombang Alfa seperti dalam diagram di bawah :

 

Itulah jawapan kepada mengapa ibubapa sering kalah dan tunduk kepada kemahuan anak-anak kecil ini apabila mereka melancarkan kempen untuk mendapatkan sesuatu. Ibubapa pada ketika sedar akan sentiasa berada di dalam gelombang Beta atau gelombang stress yakni pada frekuensi yang lebih tinggi dari frekuensi yang dipancarkan oleh anak-anak kecil ini. Frekuensi yang tinggi akan sentiasa kalah atau tunduk kepada frekuensi yang lebih rendah. Anda pasti terperangkap di dalam situasi membeli barangan atau makanan untuk si kecil ini yang anda tidak mahu belikan pada asalnya, tetapi 'terbeli' juga pada akhirnya. Benar bukan ? Oleh itu, pastikan anda sentiasa di dalam keadaan tenang atau cuba bertenang dahulu sebelum memberikan apa-apa tindak balas kepada gesaan dan ancaman minda dari anak-anak anda. Rendahkan frekuensi gelombang otak anda atau samakan frekuensi otak anda dengan frekuensi otak anak-anak anda.



Mari uji anda adalah dominan otak kiri atau kanan. Cuba anda sebutkan warna yang dipaparkan di dalam diagram di bawah.





Jika anda dominan otak kiri, anda akan membaca menurut ejaan warna sebaliknya jika anda dominan otak kanan, anda akan menyebut warna pada ejaan perkataan yang dipaparkan. Menarik bukan ?

Tujuan mengaktifkan otak tengah ini bukanlah untuk melahirkan tukang ramal atau ahli magis yang boleh membaca dan mewarna dengan tepat walau dalam keadaan mata fizikalnya ditutup. Pengaktifan otak tengah ini lebih kepada melahirkan insan yang dapat menyeimbangkan peranan kedua-dua otak kiri dan kanannya, lebih fokus, lebih khusyuk dan sentiasa tenang.

Seseorang yang menggunakan hanya 5% sahaja daripada kemampuan otak mereka sudah dianggap dan dikategorikan sebagai genius. Bagaimana pula bagi yang menggunakan sepenuhnya kemampuan otak kiri, kanan dan otak tengahnya ? Subhanallah. Anda boleh fikirkan sendiri kesannya.

Kesimpulannya, saya amat sarankan anda semua untuk menghantar anak-anak anda ke Kursus Pengaktifan Otak Tengah ini kerana siapa tahu, permata hati anda itu sebenarnya memiliki satu kemampuan yang di luar jangkaan akal anda setelah diaktifkan otak tengahnya. Bayangkan potensi diri mereka apabila mereka membesar dengan penuh keseimbangan fizikal dan mental, bukan sahaja mereka bakal cemerlang di dunia malah cemerlang juga di akhirat. InshaAllah.

"Erti hidup pada memberi"

Salam penuh ketenangan, ceria dan positif.
 



Jumaat, 6 Jun 2014

TRANSFORMASI DIRI MENJADI INSAN TERBILANG

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Koleksi Nota Dari Bengkel dan Kursus Dihadiri


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Agak besar bunyi tajuk entri hari ini. Input yang saya bakal kongsikan berkenaan dengan tajuk hari ini saya perolehi dari bengkel dan kursus untuk meningkatkan potensi dan membaik tambah nilai diri yang telah saya hadiri.




Transformasi dalam bahasa yang mudah adalah ubah atau mengubah. Konsep transformasi ini telah lama diterapkan di dalam agama kita sejak 1,400 tahun dahulu iaitu HIJRAH.


Antara kriteria sifat orang yang sentiasa mentransformasikan diri ialah sentiasa bersyukur. Bersyukur atas segala yang diperolehi, dinikmati, dirasai, dikecapi dan dimiliki. Apakah KPI atau petunjuk kepada orang yang bersyukur ?
Berikut dinyatakan 5 KPI orang yang bersyukur :-

1) Sentiasa MENDOAKAN ORANG LAIN. Antaranya :
    - keluarga
    - jiran-jiran
    - guru-guru
    - guru-guru anak kita

2) Sentiasa UCAP TERIMA KASIH kepada orang. Sudahkah kita mengucapkan terima kasih kepada ibu yang melahirkan kita ?

3) Sentiasa MAAF dan MEMAAFKAN.
    Sebelum kita tidur, maafkan semua orang. 
    Contoh : "Ya Allah, maafkan semua orang dalam dunia ini".     
    InshaAllah, orang lain juga akan memaafkan kesalahan kita kepada mereka.

"Cara terbaik untuk ingatkan orang, ingatkan diri sendiri".

"Cara terbaik untuk berjaya, tolong orang untuk berjaya"

4) Buat terbaik.

Orang yang terbaik akan sentiasa buat yang TERBAIK.

Petua untuk diamalkan : 

  • Bagi orang lelaki : JANGAN BUANG AIR KECIL BERDIRI. Perbuatan ini selain ditegah agama juga sebenarnya kurang sopan dan menyamai perbuatan syaitan. Dikatakan juga menurut kitab, kencing berdiri akan menutup pintu rezeki.
  • Bagi orang perempuan : Lepas buang air kecil, urut dari pusat ke bawah 3 kali untuk toskan air kencing, untuk mengelakkan UTI (Urinary Tract Infection) atau jangkitan pada pundi kencing.
  • Sarapan terbaik adalah memakan buah-buahan dahulu sebelum memakan makanan lain. Nabi saw berbuka puasa dengan buah kurma dahulu sebelum memakan makanan lain. Ini menunjukkan pentingnya mengutamakan buah-buahan dahulu. Amalan sunnah ini seharusnya diamalkan oleh orang islam. Ubah cara lama anda jika anda antara orang yang mengamalkan memakan buah-buahan selepas anda memakan nasi atau makanan berat yang lain.
  • Setiap kali pergi ke tempat kerja atau menuju ke tempat kerja hendaklah memasang niat. Contoh " Sahaja aku pergi kerja pada hari ini kerana Allah taala".
  • Cara minum Nabi SAW : 1) Baca basmallah. 2) Teguk air pertama, berhenti. 3) Teguk air kedua, tahan 7 saat, baru ditelan air tersebut. 4) Teguk kali ketiga, tahan kemudian telan air tersebut.
 5) Sentiasa MEMBANTU ORANG LAIN TANPA BERKIRA.
   
     Sabda Nabi saw, :
     "Orang yang terbaik di antara kamu ialah orang yang paling banyak bermanfaat kepada orang lain."

    "Orang yang dua hari berturut-turut tidak berubah pasti menuju ke arah kegagalan"   


BAGAIMANA UNTUK MELAKUKAN TRANSFORMASI INI ?

1) Mengenal diri sendiri.

    Kenali diri anda untuk mudah melakukan transformasi diri.

    Adakah anda orang yang sentiasa dibelenggu masalah ?

    Antara kemungkinan punca masalah yang anda hadapi ialah :
    i) Hati yang tidak bersih.
    ii) Fikiran yang negatif.
    iii) Amalan yang tidak betul.
    iv) Masalah metafizikal.
    v) Ujian dari Allah SWT.

2) Doa yang berterusan.
   
    Pohonlah kepada Allah SWT supaya dikekalkan pada diri kita sifat baik dan suka berterima kasih setiap
    masa.
  
3) Iklankan pada diri kita.
    - Lihat, ingat.
       Bila ingat, naik semangat.
    - Letakkan di atas meja - apa yang kita mahu & lihat hari-hari.
      Sebagai contoh, tuliskan di atas sekeping kertas,
 "Jadikan saya jutawan beriman menjelang 2015".  
      Letakkan di atas meja di sudut yang mudah untuk dilihat dan lihatlah iklan tersebut setiap hari.
    - Beritahu orang tersayang tentang iklan kita itu.
    - Dorong orang lain untuk berubah sama.
    - Ubah persekitaran anda.  

'Setiap masalah atau cabaran yang kita hadapi adalah didikan Allah SWT untuk menjadikan kita orang yang lebih hebat.'

Namun begitu, ingatlah bahawa kita boleh memohon apa yang kita mahu, tetapi Allah SWT akan memperkenankan apa yang PERLU dan BAIK untuk kita sahaja. Bersyukurlah sentiasa atas setiap kurniaanNya.

'Jika kita berubah dalaman dan luaran, Allah SWT akan mengubah semua orang dan semua makhluk di sekitar kita'.

Bagaimana untuk cuci dalaman/ hati kita ?

SOLAT TAUBAT 2 RAKAAT tiap-tiap malam. 

Kenapa susah untuk berubah. Antara penyebabnya :

1) Tidak nampak keperluan untuk berubah.
2) Akal yang jahil.
3) Hati yang keras.
4) Nafsu yang liar.
5) Persekitaran yang tidak kondusif.
6) Iman yang lemah.
7) Getaran yang sumbang.
8) Hidup yang tidak seimbang.
9) Gagal bertemu titik untuk berubah.
10) Tidak kenal diri yang sebenar.

TRANSFORMASI MELALUI RUTIN FITRAH. Bagaimana ? :-
 
1) Solat dan doa.
    Lakukan solat sebelum dan selepas solat fardhu. Solat Qabliyah dan solat Ba'diyah.
 
2) Maafkan semua orang sebelum tidur.
    Apabila kita memaafkan semua orang, hati akan menjadi bersih. 
    Hati yang bersih akan menjadi tenang. 
    Apabila hati menjadi tenang, tubuh badan akan menjadi sihat.
    Hhidayah Allah SWT akan turun mencurah-curah kepada kita.
    Doa mudah makbul dan semua makhluk Allah akan sayang kepada kita.
 
3) Berwuduk sebelum tidur dan baca doa sebelum tidur.
 
 
 
4) Tidur mengiring ke kanan.
 
5) Bangun tidur, senyum dan berdoa.
 
    i) Doa bangun tidur.
 
 
    ii) Doa buka 12 pintu-pintu kebaikan.
 
 
    iii) Doa buang sifat negatif dan buang hutang.
 
 
 
6) Buang air kecil dengan betul.
 
7) Buang air besar dengan sempurna. 
    Ikut cara Rasulullah saw: 
 
    i) Tutup kepala sebelum masuk ke dalam tandas. 
 
    ii) Baca doa sebelum masuk tandas. 
 
 
    iii) langkah kaki kiri dahulu masuk ke dalam tandas.
 
    iv) beratkan badan ke kiri dengan ampu badan lebih ke kiri. 
 
    v) sambil tangan kiri menekan-nekan perut sebelah kiri.  
 
    vi) apabila selesai urusan di dalam tandas, keluar dari tandas dan baca doa keluar tandas.
 
 
 
8) Sarapan dimulakan dengan memakan buah-buahan terlebih dahulu.
 
9) Sebelum masuk ke dalam rumah/ pejabat baca bismillah sebanyak 3 kali.
    Beri salam dan masuk ke dalam rumah/pejabat dengan mendahulukan kaki kanan.
 
10) Semua perkara didahulukan dengan sebelah kanan, contohnya, pakai jam di tangan kanan.
 
'Segala kebaikan yang kamu perolehi adalah daripada sisi Allah, dan segala keburukan yang menimpa mu itu dari kesalahan dirimu sendiri" -An Nisa :79

 

Mari mulakan transformasi diri. Mulakan hari ini dan mulakan sekarang. Lakukan yang terbaik sentiasa dan betulkan yang salah serta lakukan yang betul sentiasa. 

Saya doakan anda berjaya dalam usaha transformasi diri. Sesungguhnya apa yang kita usahakan akan kita dapati hasilnya akhirnya.

'Erti hidup pada memberi"

Salam transformasi ke arah kecemerlangan diri dan kehidupan.




Rabu, 4 Jun 2014

TIPS BERFIKIRAN POSITIF UNTUK LEBIH BAHAGIA DAN LEBIH SIHAT MINDA

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Dari Koleksi Bacaan

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Apa perlunya berfikiran positif ?
Apa kaitannya dengan kehidupan ?
Mengapa kita perlu sentiasa berfikiran positif ? 

Kita ialah apa yang kita fikirkan. Pernahkah anda terfikir bahawa diri kita pada ketika ini ialah apa yang kita fikirkan. Kita adalah apa yang kita sentiasa bayangkan dan gambarkan di dalam minda kita.



Pemikiran menarik pemikiran yang sama. Pemikiran positif menarik pemikiran yang juga positif. Dengan ini, jika anda berfikiran positif tentang sesuatu, maka pemikiran positif lain akan hadir. Apabila anda mula putuskan untuk berfikiran positif, maka ia akan menjadi tabiat. Anda akan mula memilih pemikiran-pemikiran positif yang akhirnya akan menjadi tabiat semulajadi anda.

Apabila anda sudah memasuki wilayah kitaran berfikir positif, maka pemikiran-pemikiran positif itu menarik realiti positif ke dalam  dunia fizikal anda.

 
Tip Berfikiran POSITIF Untuk Lebih BAHAGIA dan Lebih SIHAT MINDA:-

1. Kenalpasti pemikiran negatif yang ada dalam diri anda sebelum ia menjadi akar umbi. Jika anda rasa mood anda kembali suram, berhentilah daripada berfikir perkara yang menyuramkan mood anda. Kawal emosi. Jangan biarkan emosi mengawal diri anda.

2.  Berkawan dengan orang yang berfikiran positif. Secara tidak langsung, anda juga akan berfikiran positif.

3. Orang yang berfikiran negatif akan menjangkiti orang lain. Jadi, jauhkan diri anda daripada orang yang selalu berfikiran negatif, bercakap perkara yang negatif umpamanya suka menyalahkan orang lain, sentiasa komplen itu dan ini, mengumpat dan mengeji, memaki hamun, berbicara dengan bahasa yang kesat dan kasar dan tidak bersyukur.

4. Bersenam dan makanlah makanan yang seimbang. Jika anda kelihatan hebat dari segi luaran sudah tentu dalaman anda juga hebat dan bagus.

5. Rajinkan diri untuk mengemas dan mengurus barang-barang anda. Anda harus dikelilingi oleh benda-benda yang anda suka dan membuatkan anda rasa hebat. Contohnya foto keluarga, buku kegemaran, pokok hiasan, gambar kesenian atau apa sahaja yang bermakna buat anda.

6. Jadilah sukarelawan dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan. Bukan sahaja anda menyedari tentang orang yang mempunyai masalah yang lebih besar daripada anda, anda juga akan melibatkan  emosi dan rohani  anda ketika membantu mereka.

7. Fokuskan kepada sentiasa berfikir secara positif. Ketika fikiran positif lebih banyak, dengan sendirinya fikiran negatif akan hilang (neuron dalam otak akan kembali ke asal dan tidak bersambung membentuk fikiran negatif).

8. Lakukan affirmasi positif setiap hari. Sebagai contoh : 
  •     Saya sentiasa berjaya dalam apa sahaja perkara yang saya lakukan.
  •     Setiap sel di dalam tubuh badan saya bergetar dengan tenaga positif.
  •     Saya sentiasa tenang dalam apa-apa situasi.
  •     Potensi diri saya tidak terbatas.
  •     Saya memancarkan kasih-sayang dan kebahagiaan setiap hari.
  •     Kehidupan saya dipenuhi dengan kecukupan dan limpahan rezeki.

9. Teruskan berfikiran positif. Memulakannya adalah mudah. Cuma mengekalkannya adalah cabaran. Jadikannya sebagai tabiat sehingga akhirnya menjadi sebahagian daripada hidup anda.

10. Berdoa sentiasa dan pohonlah kepadaNya agar sentiasa dikurniakan pemikiran yang positif.



Saya mendoakan anda semua sentiasa dalam lingkungan positif, sentiasa berfikiran positif, berjiwa positif, berperilaku positif dan menarik perkara-perkara yang positif di dalam hidup anda.


" Think positively..and the results will be positively positive". - Glenn Harms 


"Erti hidup pada memberi"

Salam positif tanpa batasan.




Selasa, 3 Jun 2014

TIPS KAYA BERJAYA

Teks : Zuriati binti Zubir
Foto : Carian Google

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

            Perkongsian hari ini ringkas sahaja, tetapi amat padat. Tips yang saya paparkan ini adalah perkongsian Ustaz Zahazan Mohamed seorang penceramah dan ilmuan agama yang sarat ilmu dan petah bicaranya dengan Haji Ali Hassan Mohd Hassan (Pengarah Urusan Al-Ikhsan Sport).

Ustaz Zahazan Mohamed dalam satu kesempatan telah bertemu empat mata, berbicara dan bersoal jawab dengan Pengarah Urusan Al-Ikhsan Sport, Haji Ali Hassan berkenaan dengan ilmu perniagaan dan bagaimana Al-Ikhsan Sport mencapai kejayaan dalam perniagaan sektor barangan sukan.


Berikut tips yang diberikan oleh Haji Ali Hassan :-

1.  MASA adalah faktor utama dalam usaha mencapai matlamat. Anda perlu menjadualkan masa anda atau anda tidak akan  mencapai apa-apa.

2. PERCAYA kepada ALLAH SWT. Keajaiban malah perkara-perkara yang mustahil akan berlaku kepada diri anda !  

3.  Berfikiran BESAR.  Anda perlu berasa YAKIN DIRI sentiasa.

4.  Orang yang hanya 'meniru' atau copy orang lain tidak akan menjadi pemimpin.

5. Pesanan kepada ketua/ Boss/ Majikan - Jika NIAT kita berbisnes kerana ingin menegakkan agama ALLAH SWT, ALLAH SWT pasti akan menghantar orang (pekerja) yang paling berkelayakkan untuk sama-sama mengusahakan niat tersebut, seterusnya menjadikan kita orang yang berjaya di dunia dan akhirat.  

6.  IKHLAS kepada ALLAH SWT, ALLAH SWT akan berganda-ganda ikhlas kepada kita.

7.  We are nothing ! ALLAH SWT is everything.

8.  Kalau kita rajin bersedekah, ALLAH SWT akan banyakkan lagi rezeki kita kerana kita merupakan laluan untuk rezeki tersebut diluaskan kepada hambaNya yang lain.

9.  HORMATI ibu dan bapa, ALLAH SWT pasti akan memurahkan rezeki kita.






'Utamakan saat ini kerana kita mampu melakukan apa jua hal dalam saat ini. Bukan saat lepas atau saat akan datang. Saat lepas hanyalah ilusi, saat akan datang adalah fantasi...saat ini adalah realiti.'


"Erti hidup pada memberi".

Salam penuh kasih sayang.