Khamis, 12 Jun 2014

BUKU LOG TASKA SI IMAN

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi Sendiri


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Hari ini saya ingin berkongsi tentang sesuatu yang pada hemat saya amat baik untuk dijadikan amalan oleh pengusaha-pengusaha taska.





Buku Log Harian Kanak-Kanak Taska. Buku ini agak tebal, diberikan percuma oleh pengusaha taska tempat anak saya Nur Iman Muhammad ditempatkan. Pada mulanya saya agak skeptikal dengan buku ini. Tetapi, melihatkan komitmen dari pengasuh-pengasuh Iman, saya yakin inshaAllah, buku ini akan memberi manfaat kepada kedua ibubapa juga kepada pengasuh-pengasuh anak di taska atau pusat jagaan harian kanak-kanak.

Nur Iman Muhammad ditempatkan bersama kanak-kanak yang seusia dan sebaya dengannya iaitu 2 tahun hingga ke 3 tahun. Alhamdulillah, setakat ini Iman tidak banyak kerenahnya apabila ditinggalkan dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang di taska ini. 

Buku log ini adalah buku komunikasi dua hala selain dari perbualan seharian dan sapaan mesra antara ibubapa dan pengasuh. 


Saya amat suka dengan paparan '101 Ways To Praise A Child' yang diletakkan pada sebelah dalam kulit muka hadapan buku log ini. Ada 101 cara untuk kita memberi rangsangan dan pujian kepada permata hati kita. Perkara ini mungkin sering kita abaikan. Daripada kita menjerkah dan menengking anak kita, ada baiknya jika kita beri kata-kata perangsang seperti di atas kepada anak-anak kita agar perasaan mereka sentiasa positif dan emosi mereka tidak tercedera.


Maklumat bagi ruangan di atas diisikan oleh ibubapa. Apa yang dibawa oleh anak di dalam begnya, keadaan anak samada telah dibersihkan atau dimandikan sebelum dihantar ke taska, keadaan kesihatan anak dan fizikal anak sebelum dihantar, jam berapa tiba dan adakah anak kita lena atau tidak tidurnya pada malam sebelumnya.





Ini pula adalah mukasurat kedua ruangan catatan bagi pengasuh. Pasti ibubapa akan tersenyum melihat catatan yang membahagiakan seperti di atas. Setidak-tidaknya, hilang sedikit kegusaran dan rasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan anak kecil seharian di taska kerana tuntutan kerja.

 

Di kulit belakang buku log ini dicatatkan pula peranan ibubapa dan penjaga, taska institusi, di rumah, tempat kerja dan komuniti. Catatan ini amat berguna untuk dijadikan panduan buat kedua-dua belah pihak iatu ibubapa dan pihak taska. 

Alhamdulillah, saya tiada masalah untuk mengisi ruangan yang disediakan buat catatan kedua ibubapa sebelum menghantar anak ke taska di dalam buku log ini. Sebagai ibubapa, kita harus peka dan ambil peranan sama dalam memastikan anak-anak kita sentiasa dalam keadaan dan suasana yang baik dan kondusif untuk tumbesarannya baik tumbesaran fizikal mahupun mental. Sikap ambil peduli dan cakna dalam hal anak-anak ini mesti sentiasa ada bagi kedua ibubapa. Anak adalah anugerah dariNya. Kita tidak tahu sampai bila  anugerahNya ini akan dipinjamkan kepada kita. Hargailah anak-anak selama ia masih berada bersama kita.

Saya sarankan, buku log ini WAJIB ada di setiap taska atau tempat jagaan anak-anak.

"Erti hidup pada memberi."

Salam ceria penuh kebahagiaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan