Khamis, 3 Julai 2014

ADA APA DENGAN KURMA

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Majalah Kesihatan

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Hari ini kita akan membicarakan tentang kurma. Kurma memang sinonim dengan bulan Ramadhan. Sudah menjadi amalan turun-temurun bagi umat Islam di Malaysia, bahkan seluruh dunia untuk menjamah kurma dahulu ketika berbuka puasa sebelum menjamah makanan lain.  Amalan ini juga merupakan sunnah Nabi saw yang wajar kita teruskan.


Seingat saya, sewaktu saya kecil, dalam tahun 1980 an, kurma yang saya lihat ketika itu dibeli secara timbang, tidak berbungkus cantik seperti sekarang. Buah kurma dahulu agak melekit dan adakalanya berair. Alhamdulillah, kini buah kurma yang menjadi hidangan wajib ketika berbuka boleh juga ditemui masih melekat ditangkainya. 

Ada apa dengan kurma ?

1. Tahukah anda bahawa orang yang memakan kurma setiap hari tidak akan didekati jin?
2. Percayakah anda bahawa ekstrak kurma dapat mengubati kemandulan wanita?
3. Tahukah anda bahawa makanan dan ubat paling penting bagi para angkasawan adalah kurma?
4. Tahukah anda bahawa buah kurma lebih sihat daripada kaviar?
5. Tahukah anda bahawa sabut pokok kurma adalah pembersih yang paling baik bagi tubuh dan dapat melindunginya dari penyakit-penyakit kulit?
6. Tahukah anda bahawa apabila kurma direbus dan diminum seperti teh maka ia dapat menggembirakan hati yang sedih?
7. Tahukah anda bahawa setiap 100 gram kurma mengandungi 318 kalori, setara dengan 315 kalori yang terkandung dalam setiap 100 gram madu?
8. Tahukah anda bahawa sebutir kurma dapat membekalkan anda kalori yang cukup untuk aktiviti seharian dengan penuh semangat?
9. Tahukah anda bahawa makanan paling baik yang digunakan oleh askar perang adalah kurma, kerana kurma membekalkannya dengan kalori, menguatkannya dan menggiatkan kelenjar adrenal sehingga dia menjadi seorang yang berani dan tidak takut akan kematian?
10. Tahukah anda bahawa ada 1,450 jenis kurma di seluruh dunia?
11. Tahukah anda bahawa menurut kajian, kaum Arab Badwi, yang makan kurma secara teratur, mempunyai kadar kanser dan serangan jantung yang sangat rendah ?
12. Tahukah anda buah kurma kaya serat yang mencegah penyerapan kolesterol LDL dalam usus. Kandungan serat kurma juga membantu melindungi selaput lendir usus dan menyekat bahan kimia yang menyebabkan kanser usus besar.
13. Tahukah anda, sebagai makanan laksatif (laxative food), kurma bermanfaat melancarkan buang air besar dan mencegah sembelit ?
14. Tahukah anda kurma mengandung antioksidan yang dikenal sebagai tanin. Tanin diketahui bersifat anti infeksi, anti-inflamasi dan anti-hemoragik ?
15. Tahukah anda kurma adalah sumber vitamin A, yang dikenal memiliki sifat antioksidan dan sangat penting untuk kesihatan mata. Vitamin A juga diperlukan oleh kulit agar ianya tetap sihat. Pengambilan buah-buahan yang semulajadi kaya dengan vitamin A  diketahui membantu melindungi dari kanser paru-paru dan rongga mulut.
16. Tahukah anda kurma merupakan sumber zat besi yang sangat baik ? Besi adalah komponen dari hemoglobin di dalam sel darah merah.
17. Tahukah anda kalium dalam kurma adalah komponen penting dari sel dan cairan tubuh yang membantu mengendalikan denyut jantung dan tekanan darah, sehingga memberikan perlindungan terhadap penyakit jantung dan strok ?
18. Tahukah anda kurma kaya dengan vitamin K dan vitamin B-kompleks, iaitu  (vitamin B-6), niasin, asid pantotenat dan riboflavin ? Vitamin ini membantu tubuh dalam metabolisme karbohidrat, protin dan lemak. Vitamin K sangat penting dalam pembekuan darah  dan metabolisme tulang.

Sebenarnya ada banyak lagi khasiat-khasiat dan kebaikan yang boleh kita perolehi dari memakan kurma. Tidak ada satu pun ciptaan Illahi yang tidak bermanfaat buat kita. Betapa kasihnya Allah SWT kepada kita, hatta sebiji buah kurma pun mendatangkan pelbagai kebaikan dan manfaat buat kita.

 " Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"
- surah ar Rahman

Semoga bermanfaat.

"Erti hidup pada memberi".

Salam penuh keindahan.

Isnin, 30 Jun 2014

TIPS PENUH MANFAAT DARI SURAH AL-INSHIRAH

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Tanyalah Ustaz episod Anak Cemerlang Bahagian 1-TV9



Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

                       Hari ini 30 Jun 2014 bersamaan 2 Ramadhan 1435H. Sudah hampir 2 hari (ketika catatan ini ditulis) Ramadhan 1435H kita jalani. Selamat menjalani ibadah puasa bagi yang boleh berpuasa. Ini tidak bermakna bagi yang tidak boleh berpuasa (kerana uzur syarie) maka Ramadhan yang dilalui dibiarkan berlalu tanpa apa-apa pengisian yang bermanfaat. Perbanyakkan berzikir dan berdoa di hari-hari yang tidak mengizinkan kita berpuasa agar keberkatan Ramadhan terlimpah juga kepada diri kita.

Hari ini saya ingin berkongsi tips yang sangat bermanfaat yang diambil dari Surah Al-Insyirah, surah ke 94 di dalam al Quran yang mengandungi 8 ayat. Bagaimana kita boleh menggunakan surah ini dan mengamalkan membacanya agar hidup kita sentiasa dilapangkan Allah SWT. Ikuti tips danpanduan berikut :-




AYAT 1

Maksud : Bukankah kami telah melapangkan bagimu dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk ?

Tip : Baca ayat 1 ini dan tiupkan di telapak tangan, sapukan ke dada. Mintalah kepada Allah SWT agar melapangkan dada dari segala permasalahan dan supaya dada kita menjadi lapang, hati menjadi tenang dan jiwa menjadi tenteram.

AYAT 2

Maksud : Dan Kami telah meringankan daripada mu : bebanmu (menyiarkan Islam).

Tip : Baca ayat kedua ini dan tiupkan ke telapak tangan, kemuadian sapukan ke kedua-dua bahu sambil memohon kepada Allah SWT agar diringankan beban, masalah-masalah hutang dan seumpamanya.

AYAT 3

Maksud : Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya) ?

Tip : Baca ayat ketiga ini, tiupkan ke kedua-dua tapak tangan, kemudian sapukan ke kedua-dua pinggul sambil memohon kepada Allah SWT agar diberikan kesihatan tubuh badan, diringankan segala beban  diberikan ketenangan, diberikan wajah yang sentiasa tersenyum.

AYAT 4

Maksud : Dan Kami telah meninggikan bagimu : sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan).

Tip : Baca ayat keempat ini, tiupkan ke telapak tangan sebanyak 3 kali, sapukan ke muka dan dibawa terus ke belakang kepala seraya memohon kepada Allah SWT  agar meningkatkan darjat kita dan mohon juga kepada Allah SWT agar dengan usaha yang sedikit yang kita lakukan Allah SWT bantu selesaikan segera segala urusan dan permasalahan yang kita hadapi. Boleh juga memohon untuk dikurniakan wajah yang jelita bagi wanita dan tampan bagi lelaki (tips kecantikan mudah)

AYAT 5

Maksud : Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaan mu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

AYAT 6

Maksud : (sekali lagi ditegaskan) : bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

AYAT 7

Maksud : Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh, maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).

AYAT 8

Maksud : Dan kepada Tuhan mu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)


Semoga bermanfaat, wallahua'lam.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan Kareem.

-----------------------------------------------------------------------------------------

Pendaftaran setiap hari di Akademi Bekerja di Rumah. Bergabung bersama 750 blog.
Pilih mana-mana kelas/servis di bawah:

1. Kelas asas blog dan penulisan - online & offline
2. Kelas asas blog, fanpage dan mula bisnes} - online & offline
3. Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif
4. Kelas beriklan mudah.my
5. Kelas urus akaun wahm/soho, boleh pilih mana-mana kategori berikut, 2 trainer kewangan/akaun bertugas
-bengkel akaun sehari
-kelas akaun online - 19 Julai 2014, lokasi : Shah Alam.
-personal coahing 

 6. Pendaftaran pengurus online akademi
7. Kelas belajar borong telekung solat
8. Beriklan dengan kami di sini http://sohodirectory.blogspot.com/
9. Tempahan blog bisnes--> 3-5 hari siap
10. Kenali kami, baca lagi tentang akademi di sini ya http://akademibekerjadirumah.blogspot.com/

Untuk info tentang kelas-kelas online klik sini

Pakej Kelas Online
 
Bila sudah sedia, boleh hubungi saya.
 
Zuriati Zubir
email : zuriatizubir@gmail.com
Whatsapp/sms : 019-936 7898


Rabu, 25 Jun 2014

BATAL KE TAK BATAL

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

                             Hari ini 25 Jun 2014. Lebih kurang lagi 3 hari lagi sebelum semua umat Islam di dunia ini menjalani ibadah puasa. Perkongsian hari ini adalah perkongsiaan ilmu untuk menghadapi Ramadhan nanti. Walau agak remeh, tetapi ianya sering menjadi pertanyaan dan menimbulkan keadaan was-was di dalam hati umat Islam. Adalah lebih baik kita bersiap-sedia dengan membuat sedikit ulangkaji dan rujukan, agar ibadah puasa terjaga, dan hati kita tenang dalam menghadapinya.


Menurut Al Quran dan hadis yang sahih dari Nabi Muhammad saw, tiga perlakuan yang boleh membatalkan puasa ialah makan, minum dan melakukan hubungan seks. Keputusan Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morocco, pada 8 hingga 11 Safar 1418 bersamaan 14 hingga 17 Jun 1997 telah memutuskan bahawa apa-apa bahan yang dapat melalui rongga samada berbentuk pepejal atau cecair dalam apa jumlah sekalipun, ianya boleh mebatalkan puasa.

Ahli majlis / peserta seminar tersebut, telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA :

1. Ubat titis mata, titis telinga dan ubat cuci telinga.

2. Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (jantung).

3. Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).

4. Memasukkan teropong ke dalam saluran kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray.

5. Menampal, mencabut dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.

6. Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti glukos yang mengenyangkan).

7. Penderma atau penerima darah.

8. Oksigen dan gas bius.

9. Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jeli atau plaster berubat.

10. Mengambil sampel darah untuk ujian makmal.

11. Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.

12. Teropong dalam rongga perut (endoskopi) untuk mencari punca penyakit.

13. Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat TIADA bahan masuk ke dalam perut.

14. Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat ke dalamnya (contoh : IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim)

15. Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.


Pendapat dari majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA :

1. Ubat titis hidung, semburan hidung (inhalers) dan ubat sedut.

2. Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.

3. Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya.

4. Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut.

5. Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya ke dalam perut.


Semoga Allah SWT mengampunkan kesalahan dan kekhilafan kita dan menerima ibadah dan taubat kita dan menempatkan kita bersama golongan hamba-hambaNya yang bertaqwa. Aamiinn.


"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan Kareem dan semoga ibadah puasa anda menjadi ibadah yang berkualiti dan beroleh pahala berganda-ganda.

Jumaat, 20 Jun 2014

KEAJAIBAN TUBUH MANUSIA.SUBHANALLAH !

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Buku Pintar karangan H.M Iwan Gayo Sort



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Fakta-fakta menarik mengenai tubuh manusia yang wajar kita renungkan. Besar sungguh keajaiban yang diciptakan Allah SWT terhadap diri kita. Sungguh, "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan ?" surah Ar-Rahman



1. Manusia kehilangan 45 hingga 60 helai rambut setiap hari, tetapi kerana manusia memiliki 125,000 helai rambut baru setiap hari, maka sebagai manusia kita tidak menyedari hal tersebut.

 

2. Otak manusia mempunyai 10 million sel saraf, yang mempunyai kemampuan merakam lebih dari 86 juta bit  (lebih kurang 11juta huruf) / sehari atau jika dihitung memori manusia selama hidupnya mencapai 100 trillion bit  (sekitar 12.5 trillion huruf) Menakjubkan!

3. Sel darah merah di dalam tubuh manusia yang mempunyai masa hidup sekitar 4 bulan menempuh perjalanan sekitar 1,600 km di dalam tubuh kita sepanjang hayat kita.

4. Rangkaian saraf otak manusia yang kini baru sebahagian dipetakan oleh ahli kaji saraf, mempunyai daya kompleks 1,400 kali lebih kompleks jika dibandingkan dengan rangkaian telefon saat ini.

5. Setiap inci persegi tubuh manusia dihuni rata-rata oleh 32 juta bakteria sehingga bakteria yang ada di seluruh tubuh manusia mencapai 100 million bakteria atau 20 kali  berbanding dengan jumlah populasi manusia saat ini.

6. Jantung setiap hari menghabiskan tenaga yang besarnya cukup untuk mengangkat beban seberat hampir 1 tan ke ketinggian 13 meter. Maka sebagai contoh, jantung manusia yang telah berumur 50 tahun telah melakukan kerja yang sama dengan mengangkat beban 18,000 tan ke ketinggian 230 km atau boleh dikatakan berat itu sendiri beberapa kali lebih berat berbanding muatan terberat yang pernah ditempatkan di orbit bumi, Subhanallah.


7. Pada saat anda berbaring tubuh anda menuntut agar anda menghirup udara sekitar 8 quart (1 quart = 0.9463 Liter) tiap minit. Jika anda bangun dari tidur = 16 quart, berjalan 24 quart, berlari 50 quart. Bayangkan berapa liter banyaknya oksigen yang telah kita hirup setiap hari, bagaimana jika seluruh penduduk dunia? Bagaimana jika dijual? Subhanallah.

8. Pada saat ini juga di otak anda pada setiap ketika, kira-kira 100,000 reaksi kimia yang berlainan berlaku.

9. Impuls saraf dari saraf ke saraf di dalam otak berkelajuan sehingga 400km/jam.


"Erti hidup pada memberi"


Salam Jumaat yang penuh barakah.


Selasa, 17 Jun 2014

JOM UBAH. RAMADHAN PESTA MAKANAN.......UBAH KE PESTA IBADAH ! BAHAGIAN 2

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Kuliah oleh Dr Norhissam Mustafa
             CEO IPKIM ( Institut Pengurusan Kesihatan Islam Malaysia)        



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Alhamdulillah. Hari ini kita diketemukan lagi di ruangan ini untuk berkongsi pula tip-tip yang boleh dimanfaatkan sepanjang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan nanti, inshaAllah.



Antara tip-tip yang boleh dimanfaatkan :-

1. Sebelum ke masjid untuk berjemaah isyak dan seterusnya bertarawih, amalkan untuk meminum setengah cawan air yang dicampur dengan 3 biji kurma (buangkan bijinya terlebih dahulu), satu sudu teh madu lebah dan susu segar. Kisarkan kesemua bahan-bahan tadi untuk dijadikan segelas minuman sihat.

2. Lakukan solat tarawih secara berjemaah secara tenang, perlahan dan santai. Jangan gopoh dan jangan terkejar-kejar. Sebaiknya, solatlah bersama imam yang kita ketahui tenang, tertib dan santai semasa berjemaah.

3. Pastikan ambil makanan secara ringan semasa moreh (hidangan yang dihidangkan selepas solat tarawih atau di antara solat tarawih). Jangan ambil makanan selepas jam 10.30 malam kerana ia akan membawa kemudaratan yang besar kepada tubuh badan kita.  Ketika ini tenaga telah cukup penuh di dalam badan kita hasil dari penjanaan tenaga yang kita buat semasa solat tadi.

4. Aktiviti yang sepatutnya kita lakukan sebaik selesai solat tarawih dan solat witir adalah bertadarus al Quran sekurang-kurangnya satu helai. Mengapa ? Kerana tenaga yang telah cukup banyak terjana di dalam tubuh badan kita itu tadi akan membawa input yang terbaik ke dalam otak dan hati kita iaitu bacaan ayat-ayat suci, kalamullah, al Quranul karim. Jika pada ketika ini minda dan hati diberikan input yang tidak baik dan lalai serta lagha, maka minda akan merakam dan hati akan menerima perkara-perkara yang negatif ini sebagai pegangan. Bayangkan sekiranya perkara ini yang berlaku kepada diri kita,  maka apakah yang akan menjadi mainan minda dan hati, tentu sekali perkara yang melalaikan yang kita telah lakukan tadi. Ini tentunya akan merosakkan jiwa dan pemikiran kita kelak.

5. Tidurlah sebaiknya sebelum jam 12 tengah malam untuk merehatkan tubuh badan kita. Jangan memasang lampu semasa tidur kerana kadar kolesterol akan meningkat sebanyak 4 kali ganda dalam keadaan tidur dengan lampu yang terpasang.

6. Bangunlah pada jam 3 pagi dan lakukanlah qiamullail. Disunatkan untuk mengejutkan ahli keluarga dengan cara merenjiskan air sejuk dengan hujung jari ketika mengejutkan mereka. Mandilah dahulu sebelum berqiamullail.

7. Seelok-eloknya berqiamullail dengan menyempurnakan solat-solat sunat berikut iaitu solat sunat wuduk 2 rakaat, solat taubat 2 rakaat, solat tahajjud 2 rakaat, solat hajat 2 rakaat dan solat witir 3 rakaat.

8. Selepas melaksanakan qiamullail, dibolehkan untuk tidur tetapi ringankanlah seperempat. Pada ketika ini, spektrum warna di langit berwarna merah jambu iaitu di antara jam 3.00 pagi hingga 5.00 pagi. Pada waktu ini, Allah SWT menganugerahkan kesembuhan kepada banyak penyakit. Alangkah baiknya sekiranya kita berada dalam keadaan sedar dan jaga  dan terutama sekali sujud kepada Maha Pencipta kepada ketika ini dan secara tidak langsung dirawat secara alami dan diberikan kesembuhan kepada penyakit yang dihidapi, inshaAllah.



9. Bersahurlah dan disunatkan untuk mentaakhirkan atau melewatkan waktu sahur ini kerana ia adalah sunnah Nabi saw. Sebaik-baiknya sahur adalah seperlapanbelas dari makan malam  iaitu dari lebihan makan malam. Lewatkan sedikit masa untuk memasak makan malam untuk mengelakkan makanan cepat basi. Seeloknya makanan yang disukukan untuk sahur tidak dicampurkan garam dahulu. Letakkan garam semasa memanaskan makanan tersebut ketika waktu sahur.

10. Selesai sahur, lakukanlah solat subuh secara berjemaah. Lebih sempurna sekiranya dilakukan solat sunat sebelum subuh sebanyak 2 rakaat terlebih dahulu kemudian diikuti dengan solat subuh. Solat sunat sebelum subuh sebanyak 2 rakaat amat dituntut dilakukan.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya daripada Saidatina Aishah ra, isteri Rasulullah saw, bahawa Baginda telah bersabda:

"Solat dua rakaat (sebelum) solat subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya".

Dan diriwayatkan juga oleh Saidatina Aishah ra bahawa Rasulullah saw bersabda lagi berkenaan solat sunat dua rakaat ini :

"Dua rakaat ini lebih aku sukai daripada segala isi dunia".

Dan diriwayatkan lagi oleh Saidatina Aishah ra bahawa Rasulullah saw apabila di dalam perkara solat sunat, Baginda mengambil berat untuk mengerjakan solat sunat subuh lebih daripada yang lain-lain.

11. Jangan tidur selepas solat subuh. Tidur selepas solat subuh akan menyebabkan terjadi gangguan kepada hypothalamus yang boleh membawa kepada masalah kesihatan.

12. Tidur qailullah iaitu tidur sebelum solat zuhur iaitu kira-kira 1 jam sebelum waktu zuhur. Tidur 1 minit pada waktu ini menyamai dengan tenaga tidur 1 jam pada waktu selain dari qailullah. Qailullah ini juga nerupakan sunnah Rasulullah saw. Rasulullah saw pernah bersabda:

"Lakukanlah qailullah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani qailullah"  (Riwayat at-Tabrani)

Manakala Imam Al Ghazali pula pernah menyatakan di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin :
"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur yang sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari. Sebaik- baiknya hendaklah seseorang itu bangun daripada tidurnya sebelum gelincir matahari untuk menunaikan solat zuhur."
  
Bagaimana untuk melakukan qailullah ini? Tidurlah sebelum masuk waktu zuhur, dalam jangkamasa yang singkat, tidur apabila mata terasa mengantuk, berbaring mengadap kiblat, di atas pinggul kanan dan berdoa.

13. Cara untuk makan buah kurma ialah dengan memasukkan buah kurma ke dalam mulut, kemudian akhir sekali barulah dikeluarkan bijinya dari mulut. Jangan dikupas kulit luar kurma kerana 60% kebaikan berada pada selaput permukaan luar kurma.

14. Ibadah puasa adalah satu proses detoksifikasi kepada tubuh badan. Proses detoksifikasi ini berlaku apabila fungsi memproses makanan di dalam perut kita berehat selama 8 jam. Selain memperoleh ganjaran pahala kerana melaksanakan ibadah ini, kita juga beroleh manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan fizikal dan mental kita. 

15. Sebelum Ramadhan, berazamlah untuk berlatih meningkatkan ibadah dan mutu ibadah puasa kita. Rasulullah saw juga melakukan latihan pra Ramadhan sehinggakan dikatakan oleh saidatina Aisyah ra yang bermaksud :

" Saya tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan kecuali di bulan Ramadhan dan saya tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa lebih banyak dari bulan Syaaban."

Semoga anda semua beroleh manfaat dari perkongsian ini.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan yang produktif.





Isnin, 16 Jun 2014

JOM UBAH. RAMADHAN PESTA MAKANAN...UBAH KE PESTA IBADAH ! - BAHAGIAN 1

Teks : Zuriati Zubir
Foto : carian google
Sumber : Kuliah Oleh Dr Norhissam Mustafa,
              CEO IPKIM (Institut Pengurusan Kesihatan Islam Malaysia)



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

               Ramadhan semakin menampakkan dirinya. Tinggal 12 hari lagi sebelum kemunculan penuh Ramadhan. Perkongsian hari ini ialah berkenaan puasa dari sudut kesihatan.

Di zaman kegemilangan Islam dahulu, ibadah puasa adalah kemuncak kekuatan. Bulan Ramadhan adalah bulan berlangsungnya pesta ibadah. Banyak peristiwa besar berlaku di bulan Ramadhan, antaranya perang Badar. 

Namun kini keadaan berubah sebaliknya. Bulan Ramadhan dikaitkan dengan keletihan, kelemahan, mengantuk, kurangnya produktiviti dan selebihnya adalah pesta makanan.

Bulan Ramadhan sewajarnya dan sepatutnya dijadikan bulan kesihatan, bulan silaturrahim, musim perubahan, masa untuk menghilangkan ketagihan rokok, ketagihan perkara-perkara yang negatif, bulan di mana hati-hati insan adalah lembut, bulan keluasan rezeki, bulan memperbaiki institusi keluarga dan pelbagai lagi perkara-perkara yang positif.

Mengikut kajian, antara kesilapan-kesilapan yang dilakukan dalam menjalankan ibadah puasa adalah :-

1.  Menghimpunkan makan malam dengan berbuka puasa. 
     
Nabi Muhammad saw berbuka puasa hanya dengan 3 biji kurma (atau makanan yang tinggi kandungan potassiumnya seperti makanan bergula perang, BUKAN bergula putih) dan segelas air kosong.

Mengapa kurma ? Kerana hakikat sebenarnya berbuka puasa bukan untuk perut tetapi sebenarnya untuk memberi tenaga kepada hypothalamus . Hypothalamus adalah satu kawasan di otak di antara thalamus dan otak tengah, yang berfungsi sebagai pusat kawalan sistem saraf utama yang mengawal kitaran waktu tidur, suhu badan, selera makan dan sebagainya. Ia juga berperanan sebagai kelenjar endokrin yang menghasilkan hormon-hormon. 


Hypothalamus yang keletihan kerana berfungsi sepanjang hari akan tidak berfungsi dengan betul sekiranya makanan masuk dengan banyak semasa berbuka. Ia boleh membawa masalah yang serius kepada kesihatan. Cara untuk mengatasi : Elakkan untuk menghidangkan makan malam semasa kita berbuka puasa.

2. Window shopping ke bazar Ramadhan.

Perbuatan 'window shopping' ke bazar Ramadhan akan mengganggu fungsi kawalan hypothalamus. Ia akan mengakibatkan kita hilang perhitungan dan berakhir dengan tindakan kita membeli makanan yang sebenarnya tidak kita perlukan.

3. Melewatkan solat maghrib.

Makanan yang dimakan semasa berbuka puasa akan menghasilkan tenaga untuk diagihkan ke seluruh tubuh badan kita melalui sel-sel. Setiap 1 kilo berat mempunyai 10,000 trilion sel. Tenaga yang telah dihasilkan dari makanan yang dimakan semasa berbuka tadi perlu ditolak oleh tenaga yang digunakan semasa solat maghrib yang disegerakan.

4. Makan malam sebaik berbuka.

Lazimnya kita akan terus makan malam sebaik selepas berbuka puasa. Makan malam sepatutnya dibuat selepas kita selesai solat Maghrib. Ini adalah kerana selepas solat maghrib, sel-sel di dalam tubuh badan kita telah mendapat tenaga. Apabila kita makan selepas solat maghrib, kita akan secara automatik maka dengan secara baik, tidak gopoh dan tidak terkejar-kejar. Makanan yang dihidangkan pula hendaklah tidak lebih dari 5 hidangan. Ia mestilah terdiri daripada nasi, lauk, sayur, buah dan air sahaja.

5. Mandi dengan air panas selepas makan malam.

Selepas makan malam lebih kurang pada jam 7.30 malam ke atas, sekiranya kita ingin mandi adalah disarankan untuk kita mandi dengan menggunakan air sejuk. Kebiasaannya, kita akan mandi dengan menggunakan air panas pada waktu malam dan pagi kerana kononnya untuk mengelakkan paru-paru berair. Perkara ini tidak benar kerana dalilnya, kita disuruh untuk menyegerakan mandi hadas besar tanpa menunggu pagi. 

Esok, saya akan berikan pula sambungan kepada artikel ini dengan tip-tip yang bermanfaat melalui perkongsian kuliah dari Dr Norhissam ini untuk memastikan ibadah puasa yang dijalankan mencapai tahap yang maksimum.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadahan Karim.


 
    

Jumaat, 13 Jun 2014

PROJEK MENJAHIT - BUKU RESIT & BILIK MENJAHIT IDAMAN

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri & carian google


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

                Alhamdulillah. Buku resit khas untuk tempahan jahitan pakaian telah selamat sampai ke tangan saya hari ini. Tempahan dibuat melalui seorang sahabat yang juga sama-sama suka menjahit. Sahabat saya ini telah pun mengorak langkah lebih jauh. Beliau telah pun mempunyai label pakaian sendiri, Hedaia Boutique.

Saya rasa teruja dan seronok tatkala menerima resit ini. Ia seolah-olah menjadi inspirasi pula kepada saya untuk menjahit. Aktiviti menjahit pakaian saya agak menurun grafnya kebelakangan ini. Saya agak sebok dengan urusan-urusan lain. Kadangkala terasa digamit-gamit untuk menjahit apabila saya melintas di hadapan bilik nombor 2 di rumah saya yang dijadikan pejabat kedua saya. 


Buku resit ini agak menarik kerana di dalamnya dipaparkan semua maklumat berkenaan tempahan pelanggan sehingga kepada diagram bentuk tubuh manusia untuk dilakarkan paten pakaian yang ingin ditempah oleh pelanggan. Baiklah, saya siap sedia untuk menerima tempahan.

Bilik kedua di kediaman saya yang saya jadikan bilik untuk menjahit merangkap pejabat kedua dan juga tempat anak-anak saya membuat pelbagai eksperimen dan mengembangkan kreativiti ini agak ringkas susunan dan rekaletaknya. Jujurnya saya amat mendambakan rekaan bilik yang lebih indah sebagai lokasi untuk menjahit yang juga berfungsi sebagai pejabat kedua saya.


Mungkin bilik tersebut bakal berwarna semanis merah jambu terang seperti di atas, dilatari dengan perabot berwarna putih atau seperti gambar di bawah, dengan warna pastel agar bilik nampak luas dan lapang.


Saya juga sukakan warna biru seperti di bawah. Sungguh, saya agak terkeliru dalam membuat pilihan.


Apapun, saya perlu bermula dengan apa yang saya ada. InshaAllah, saya pasti, suatu hari nanti bilik kerja impian saya itu akan terealisasi jua. Aamiinn.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Pendaftaran setiap hari di Akademi Bekerja di Rumah. Bergabung bersama 750 blog.
Pilih mana-mana kelas/servis di bawah:

1. Kelas asas blog dan penulisan - online & offline
2. Kelas asas blog, fanpage dan mula bisnes} - online & offline
3. Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif
4. Kelas beriklan mudah.my
5. Kelas urus akaun wahm/soho, boleh pilih mana-mana kategori berikut, 2 trainer kewangan/akaun bertugas
-bengkel akaun sehari
-kelas akaun online - 16 Jun 2014
-personal coahing - 17 Jun 2014
6. Pendaftaran pengurus online akademi
7. Kelas belajar borong telekung solat
8. Beriklan dengan kami di sini http://sohodirectory.blogspot.com/
9. Tempahan blog bisnes--> 3-5 hari siap
10. Kenali kami, baca lagi tentang akademi di sini ya http://akademibekerjadirumah.blogspot.com/

Untuk info tentang kelas-kelas online klik sini

Pakej Kelas Online
 
Bila sudah sedia, boleh hubungi saya.
 
Zuriati Zubir
email : zuriatizubir@gmail.com
Whatsapp/sms : 019-936 7898