Selasa, 17 Jun 2014

JOM UBAH. RAMADHAN PESTA MAKANAN.......UBAH KE PESTA IBADAH ! BAHAGIAN 2

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Kuliah oleh Dr Norhissam Mustafa
             CEO IPKIM ( Institut Pengurusan Kesihatan Islam Malaysia)        



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Alhamdulillah. Hari ini kita diketemukan lagi di ruangan ini untuk berkongsi pula tip-tip yang boleh dimanfaatkan sepanjang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan nanti, inshaAllah.



Antara tip-tip yang boleh dimanfaatkan :-

1. Sebelum ke masjid untuk berjemaah isyak dan seterusnya bertarawih, amalkan untuk meminum setengah cawan air yang dicampur dengan 3 biji kurma (buangkan bijinya terlebih dahulu), satu sudu teh madu lebah dan susu segar. Kisarkan kesemua bahan-bahan tadi untuk dijadikan segelas minuman sihat.

2. Lakukan solat tarawih secara berjemaah secara tenang, perlahan dan santai. Jangan gopoh dan jangan terkejar-kejar. Sebaiknya, solatlah bersama imam yang kita ketahui tenang, tertib dan santai semasa berjemaah.

3. Pastikan ambil makanan secara ringan semasa moreh (hidangan yang dihidangkan selepas solat tarawih atau di antara solat tarawih). Jangan ambil makanan selepas jam 10.30 malam kerana ia akan membawa kemudaratan yang besar kepada tubuh badan kita.  Ketika ini tenaga telah cukup penuh di dalam badan kita hasil dari penjanaan tenaga yang kita buat semasa solat tadi.

4. Aktiviti yang sepatutnya kita lakukan sebaik selesai solat tarawih dan solat witir adalah bertadarus al Quran sekurang-kurangnya satu helai. Mengapa ? Kerana tenaga yang telah cukup banyak terjana di dalam tubuh badan kita itu tadi akan membawa input yang terbaik ke dalam otak dan hati kita iaitu bacaan ayat-ayat suci, kalamullah, al Quranul karim. Jika pada ketika ini minda dan hati diberikan input yang tidak baik dan lalai serta lagha, maka minda akan merakam dan hati akan menerima perkara-perkara yang negatif ini sebagai pegangan. Bayangkan sekiranya perkara ini yang berlaku kepada diri kita,  maka apakah yang akan menjadi mainan minda dan hati, tentu sekali perkara yang melalaikan yang kita telah lakukan tadi. Ini tentunya akan merosakkan jiwa dan pemikiran kita kelak.

5. Tidurlah sebaiknya sebelum jam 12 tengah malam untuk merehatkan tubuh badan kita. Jangan memasang lampu semasa tidur kerana kadar kolesterol akan meningkat sebanyak 4 kali ganda dalam keadaan tidur dengan lampu yang terpasang.

6. Bangunlah pada jam 3 pagi dan lakukanlah qiamullail. Disunatkan untuk mengejutkan ahli keluarga dengan cara merenjiskan air sejuk dengan hujung jari ketika mengejutkan mereka. Mandilah dahulu sebelum berqiamullail.

7. Seelok-eloknya berqiamullail dengan menyempurnakan solat-solat sunat berikut iaitu solat sunat wuduk 2 rakaat, solat taubat 2 rakaat, solat tahajjud 2 rakaat, solat hajat 2 rakaat dan solat witir 3 rakaat.

8. Selepas melaksanakan qiamullail, dibolehkan untuk tidur tetapi ringankanlah seperempat. Pada ketika ini, spektrum warna di langit berwarna merah jambu iaitu di antara jam 3.00 pagi hingga 5.00 pagi. Pada waktu ini, Allah SWT menganugerahkan kesembuhan kepada banyak penyakit. Alangkah baiknya sekiranya kita berada dalam keadaan sedar dan jaga  dan terutama sekali sujud kepada Maha Pencipta kepada ketika ini dan secara tidak langsung dirawat secara alami dan diberikan kesembuhan kepada penyakit yang dihidapi, inshaAllah.



9. Bersahurlah dan disunatkan untuk mentaakhirkan atau melewatkan waktu sahur ini kerana ia adalah sunnah Nabi saw. Sebaik-baiknya sahur adalah seperlapanbelas dari makan malam  iaitu dari lebihan makan malam. Lewatkan sedikit masa untuk memasak makan malam untuk mengelakkan makanan cepat basi. Seeloknya makanan yang disukukan untuk sahur tidak dicampurkan garam dahulu. Letakkan garam semasa memanaskan makanan tersebut ketika waktu sahur.

10. Selesai sahur, lakukanlah solat subuh secara berjemaah. Lebih sempurna sekiranya dilakukan solat sunat sebelum subuh sebanyak 2 rakaat terlebih dahulu kemudian diikuti dengan solat subuh. Solat sunat sebelum subuh sebanyak 2 rakaat amat dituntut dilakukan.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya daripada Saidatina Aishah ra, isteri Rasulullah saw, bahawa Baginda telah bersabda:

"Solat dua rakaat (sebelum) solat subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya".

Dan diriwayatkan juga oleh Saidatina Aishah ra bahawa Rasulullah saw bersabda lagi berkenaan solat sunat dua rakaat ini :

"Dua rakaat ini lebih aku sukai daripada segala isi dunia".

Dan diriwayatkan lagi oleh Saidatina Aishah ra bahawa Rasulullah saw apabila di dalam perkara solat sunat, Baginda mengambil berat untuk mengerjakan solat sunat subuh lebih daripada yang lain-lain.

11. Jangan tidur selepas solat subuh. Tidur selepas solat subuh akan menyebabkan terjadi gangguan kepada hypothalamus yang boleh membawa kepada masalah kesihatan.

12. Tidur qailullah iaitu tidur sebelum solat zuhur iaitu kira-kira 1 jam sebelum waktu zuhur. Tidur 1 minit pada waktu ini menyamai dengan tenaga tidur 1 jam pada waktu selain dari qailullah. Qailullah ini juga nerupakan sunnah Rasulullah saw. Rasulullah saw pernah bersabda:

"Lakukanlah qailullah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani qailullah"  (Riwayat at-Tabrani)

Manakala Imam Al Ghazali pula pernah menyatakan di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin :
"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur yang sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari. Sebaik- baiknya hendaklah seseorang itu bangun daripada tidurnya sebelum gelincir matahari untuk menunaikan solat zuhur."
  
Bagaimana untuk melakukan qailullah ini? Tidurlah sebelum masuk waktu zuhur, dalam jangkamasa yang singkat, tidur apabila mata terasa mengantuk, berbaring mengadap kiblat, di atas pinggul kanan dan berdoa.

13. Cara untuk makan buah kurma ialah dengan memasukkan buah kurma ke dalam mulut, kemudian akhir sekali barulah dikeluarkan bijinya dari mulut. Jangan dikupas kulit luar kurma kerana 60% kebaikan berada pada selaput permukaan luar kurma.

14. Ibadah puasa adalah satu proses detoksifikasi kepada tubuh badan. Proses detoksifikasi ini berlaku apabila fungsi memproses makanan di dalam perut kita berehat selama 8 jam. Selain memperoleh ganjaran pahala kerana melaksanakan ibadah ini, kita juga beroleh manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan fizikal dan mental kita. 

15. Sebelum Ramadhan, berazamlah untuk berlatih meningkatkan ibadah dan mutu ibadah puasa kita. Rasulullah saw juga melakukan latihan pra Ramadhan sehinggakan dikatakan oleh saidatina Aisyah ra yang bermaksud :

" Saya tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan kecuali di bulan Ramadhan dan saya tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa lebih banyak dari bulan Syaaban."

Semoga anda semua beroleh manfaat dari perkongsian ini.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan yang produktif.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan