Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Assalamualaikum wmt.
Foto : Carian Google
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wmt.
Hari ini 25 Jun 2014. Lebih kurang lagi 3 hari lagi sebelum semua umat Islam di dunia ini menjalani ibadah puasa. Perkongsian hari ini adalah perkongsiaan ilmu untuk menghadapi Ramadhan nanti. Walau agak remeh, tetapi ianya sering menjadi pertanyaan dan menimbulkan keadaan was-was di dalam hati umat Islam. Adalah lebih baik kita bersiap-sedia dengan membuat sedikit ulangkaji dan rujukan, agar ibadah puasa terjaga, dan hati kita tenang dalam menghadapinya.
Menurut Al Quran dan hadis yang sahih dari Nabi Muhammad saw, tiga perlakuan yang boleh membatalkan puasa ialah makan, minum dan melakukan hubungan seks. Keputusan Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca,
Morocco, pada 8 hingga 11 Safar 1418 bersamaan 14 hingga 17 Jun 1997 telah memutuskan bahawa apa-apa bahan yang dapat melalui rongga samada berbentuk pepejal atau cecair dalam apa jumlah sekalipun, ianya boleh mebatalkan puasa.
Ahli majlis / peserta seminar tersebut, telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA :
1. Ubat titis mata, titis telinga dan ubat cuci telinga.
2. Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (jantung).
3. Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).
4. Memasukkan teropong ke dalam saluran kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray.
5. Menampal, mencabut dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
6. Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti glukos yang mengenyangkan).
7. Penderma atau penerima darah.
8. Oksigen dan gas bius.
9. Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jeli atau plaster berubat.
10. Mengambil sampel darah untuk ujian makmal.
11. Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.
12. Teropong dalam rongga perut (endoskopi) untuk mencari punca penyakit.
13. Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat TIADA bahan masuk ke dalam perut.
14. Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat ke dalamnya (contoh : IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim)
15. Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.
Pendapat dari majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA :
1. Ubat titis hidung, semburan hidung (inhalers) dan ubat sedut.
2. Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.
3. Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya.
4. Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut.
5. Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya ke dalam perut.
Semoga Allah SWT mengampunkan kesalahan dan kekhilafan kita dan menerima ibadah dan taubat kita dan menempatkan kita bersama golongan hamba-hambaNya yang bertaqwa. Aamiinn.
"Erti hidup pada memberi"
Salam Ramadhan Kareem dan semoga ibadah puasa anda menjadi ibadah yang berkualiti dan beroleh pahala berganda-ganda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan