Isnin, 12 Mei 2014

Bismillahirrahmanirrahiim.

Dengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Salam dan selawat kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad saw, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Assalamualaikum warahmatullah.

Salam perkenalan dan salam ukhwah. Nama saya Zuriati binti Zubir. Dilahirkan 40 tahun dahulu pada tanggal 9 April 1974 di Daerah Bentong, Pahang Darul Makmur. Bersekolah sehingga tingkatan 3 di Sekolah Menengah Rendah Jenis Kebangsaan Ketari, Bentong. Kemudian melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4 hingga tingkatan 5 dan mengambil SPM di Sekolah Menengah Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), Kuantan, Pahang. Seterusnya saya melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di Institut Teknologi MARA (ITM), Shah Alam, Selangor pada tahun 1993 dan memperoleh Diploma Analisa Pelaburan dari ITM pada Disember 1995. Hasrat hati ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di luar negara terpaksa saya kuburkan kerana pada ketika itu keadaan ekonomi negara dan keluarga yang tidak berapa memberangsangkan walaupun saya telah lulus peperiksaan Bahasa Inggeris untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Saya memulakan kerjaya saya yang pertama di sebuah syarikat yang menyediakan kelas belajar komputer dan menjual peralatan yang berkaitan dengan komputer pada tahun 1996. Tugas saya adalah membantu Pengurus kedai komputer menjaga kedai, membuat catatan jual beli, mengurus kelas-kelas komputer dan yang berkaitan. Walaupun gaji yang diperolehi pada ketika itu tidak mencecah empat angka, tetapi pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi di syarikat komputer tersebut amat berguna dan bermanfaat kepada saya.

Kerjaya saya yang kedua dan hingga kini ialah di sebuah syarikat pengurusan amanah saham negeri di daerah Kuantan, Pahang. Saya bermula sebagai Eksekutif Pelaburan. Kerjaya saya pada ketika itu berkaitan dengan pelaburan yang dijalankan oleh syarikat tersebut di Bursa Saham, penempatan dana di syarikat-syarikat kewangan dan firma brokerage. Menganalisa data-data syarikat yang berpotensi untuk dibeli sahamnya, membuat analisa teknikal dan bacaan teknikal pergerakan saham syarikat yang dipilih juga pelbagai lagi yang berkaitan dengan penyelenggaraan  laporan-laporan kewangan, syarikat dan sebagainya.

Bermula pada tahun 1999 saya telah ditukarkan ke bahagian Projek Khas - Dokumentasi Syarikat di mana saya ditugaskan untuk menyiapkan Manual Kerja bagi setiap Jabatan di syarikat. Tugas saya sebagai Eksekutif Khas (Dokumentasi) adalah merangka, membina, menyediakan prosidur kerja, carta aliran kerja dan perincian kerja dalam bentuk bertulis dan dijadikan Manual Kerja untuk panduan semua kakitangan di setiap jabatan. Tugas ini agak mencabar pada mulanya kerana saya hilang arah dan tidak tahu bagaimana untuk bermula. Alhamdulillah, dengan rahmat dan hidayah Allah SWT, pelbagai bantuan dititipkan kepada saya melalui insan-insan yang baik budi yang akhirnya memungkinkan saya untuk menyudahkan kesemua Manual Kerja seperti yang diarahkan.

Saya dilantik sebagai Eksekutif Pentadbiran bermula pada tahun 2002 sehingga kini. Tugas saya berkaitan dengan hal-ehwal pentadbiran syarikat seperti pembelian stok barangan pejabat, aset syarikat, penyelenggaraan harian, bulanan dan tahunan dan segala yang berkaitan dengan syarikat seperti kenderaan syarikat, keselamatan dan keselesaan kakitangan, penyelenggaraan premis kerja dan bangunan pejabat termasuk tandas, bilik minum dan surau kakitangan, peralatan pejabat, kelengkapan pejabat dan pelbagai lagi. Alhamdulillah, saya masih mampu melaksanakan kesemua tugasan yang diamanahkan kepada saya hingga kini. Alhamdulillah juga kerana di syarikat inilah saya bertemu jodoh dengan suami tercinta, Mohd Khairul Azmi bin Mohd Taib dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Perniagaan adalah sunnah Nabi saw. Nabi saw adalah seorang ahli perniagaan yang sangat berjaya sebelum Baginda dilantik sebagai Rasulullah saw. Sebagai umat Nabi saw, saya juga tidak mahu ketinggalan dalam melaksanakan sunnah Nabi saw dalam kehidupan seharian saya. Saya bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan secara sampingan. Karton pertama sabun samak Taharah yang saya dapatkan daripada pengeluar dan pengilangnya sendiri habis dijual dalam masa sehari. Satu karton ada seratus biji sabun. Saya terinspirasi dan terdorong untuk terus berniaga impak dari kejayaan dalam usaha perniagaan saya tersebut. Alhamdulillah, sehingga kini saya masih menjual sabun samak Taharah ini.

Pelbagai perniagaan saya jalankan disamping berniaga sabun samak ini. Saya juga ada menjual kain tudung pelbagai corak dan fesyen, kain pasang, pemasaran pelbagai tingkat (MLM), projek penanaman serai, produk kecantikan, penganjuran seminar-seminar dan majlis-majlis ilmu. Antaranya, penganjuran Bengkel Kuasa Minda bersama Prof Dr Muhaya Muhamad, Bengkel Mukmin Profesional bersama Ustaz Pahrol Juoi, Bengkel Transformasi Diri Menjadi Warga Kerja Terbilang bersama Datuk Dr Fadzillah Kamsah, Bengkel Perlatihan Solat Khusyuk dan banyak lagi. Terkini, dengan hampir menjelmanya Ramadhan dan Aidil Fitri, saya menjual kuih-kuih raya dan sebelum raya yang berkualiti premium dan sememangnya sedap.

Saya tidak pandai berniaga semasa saya belajar di ITM atau semasa saya bersekolah. Saya terkenang pada zaman pengajian saya di ITM dahulu, saya membeli sebatang gincu bibir dari rakan sekolej pada harga RM5.00 sebatang. Walhal, gincu tersebut boleh didapatkan secara percuma dari stokis jualan sekiranya kita mendaftar sebagai agen jualan. Minat di dalam bisnes ini saya pupuk dan lebih-lebih lagi ia menjadi segar dan tumbuh apabila saya meniatkan menjalankan perniagaan kerana mengikut sunnah Nabi saw. Indahnya terasa apabila kita kaitkan ia dengan kepuasan rohani selain dari kepuasan dan imbuhan material.   

Selain membaca dan mentelaah, minat saya juga tertumpah kepada bidang jahitan pakaian dan langsir, sulaman, hiasan dalaman, memasak dan apa-apa yang berkaitan dengan meningkatkan kemahiran dan produktiviti dan juga potensi dan keupayaan diri serta otak seperti kemahiran menggunakan otak tengah dan kanan, motivasi diri dan juga ilmu yang berkaitan dengan spiritual dan keagamaan, seni, kraftangan dan lukisan. Saya juga minat berkebun, menanam pokok bunga dan pokok herba.

Saya berkemahiran dalam pengurusan acara samada seminar, bengkel-bengkel dan kursus-kursus pelatihan sehari, menjahit pakaian wanita seperti baju kurung, blaus, jubah moden, jubah tradisional, jubah menyusu, dress potongan princess, dress potongan empire, seluar palazo dan menjahit tudung (saya ada mengambil tempahan jahitan bagi jenis-jenis pakaian yang dinyatakan). Saya juga mahir menjahit langsir potongan biasa, royal scallop, box pleat dan lain-lain. Saya mahir membuat kertas kerja, memasak nasi arab, membuat kuih batik dan juga menggubah bunga. Saya seronok melakukan semua perkara ini kerana semuanya adalah minat dan kecenderungan saya.

Kitab Al-Quran adalah bahan bacaan utama saya. Saya akan memastikan saya membaca Al Quran walaupun satu wakaf samada di waktu pagi, tengahari atau malam. Al Quran adalah sumber kekuatan rohani dan jasmani. Kata ulama, sekiranya kita ingin mendengar bicara Allah SWT, bacalah Al Quran. Sekiranya kita ingin Allah SWT mendengar bicara dan keluh kesah kita, solatlah. Selain Al Quran saya juga suka membaca buku-buku keagamaan, buku-buku yang menyentuh tentang meningkatkan kefahaman dalam agama, nilai diri, buku-buku motivasi, majalah-majalah seperti Al Islam, Nur, Impiana, Dapur, langganan email daripada Brian Tracy, Dharma Rose, Productive Muslim.com dan juga bahan bacaan yang boleh meningkatkan taraf pemikiran, pengetahuan dalam bisnes, pengurusan hidup, psaikologi, pembangunan minda anak-anak, bacaan dari beberapa blog, kisah misteri dan juga dakwah. Dugaan buat saya, pada tahun 2001 dan penghujung tahun 2013 rumah saya dilanda musibah banjir. Banyak koleksi buku-buku dan bahan-bahan bacaan ilmiah dan pelbagai koleksi majalah rosak dan musnah. Kini, saya masih tetap meneruskan mengumpul buku-buku dan bahan bacaan untuk koleksi dan rujukan saya. 

Alhamdulillah, pada tahun 2014 ini saya ditemukan dengan Puan Aishah Hussein, puan Masayu Ahmad dan warga Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) di alam maya dalam penerokaan saya mencari dan menambahbaik ilmu berkaitan blog dan bisnes secara dalam talian. Semoga ini menjadi titik tolak kepada saya untuk mencapai tujuan dan matlamat dalam menyeimbangkan kehidupan dunia dan akhirat, memberi sumbangan serba sedikit dari segi ilmu dan kemahiran yang dimiliki kepada yang memerlukan dan mencapai puncak segala tujuan iaitu mencari redha Illahi dalam meneruskan saki baki kehidupan di dunia ini, insyaAllah. Amiin.

"Erti hidup pada memberi"

Salam penuh kasih sayang.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan