Khamis, 17 Julai 2014

ADA APA DENGAN PUASA ?

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Koleksi bacaan, Majalah Al Islam.



Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

" Rasulullah saw bersabda, " Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan Ar-Ryyan. Orang-orang yang berpuasa masuk melalui pintu itu pada hari kiamat, tidak seorang pun masuk melalui pintu itu selain mereka. Dikatakan, "Mana orang-orang yang berpuasa?" Maka mereka berdiri. Tidak ada seorang pun yang masuk melewati pintu itu selain mereka. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup dan tidak ada seorang pun yang masuk (lagi) melaluinya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Hari ini 19 Ramadhan 1435H. Bermakna hanya berbaki 10 hari lagi sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya. Alangkah indahnya jika kita tergolong di dalam golongan yang masuk melalui pintu Ar-Ryyan itu. Betapa bahagianya, betapa riangnya, betapa indahnya saat itu. Bagaimanakah puasa kita Ramadhan kali ini ? Adakah sama seperti tahun-tahun sebelum ini atau lebih parah lagi, puasa kita sama sahaja seperti puasa kita ketika di bangku sekolah rendah atau sekolah menengah. Layakkah kita melepasi pintu Ar-Ryyan ?

Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik kita lalui. Semoga sepanjang kita berada di madrasah Ramadhan ini, qalbu kita kembali suci, jiwa kita kembali kepada fitrah. Semoga segala amalan baik yang kita kerjakan sepanjang Ramadhan ini diterima Allah SWT sebagai amalan yang terpuji dan diangkat ke Illiyin sebagai catatan yang baik belaka. Aamiinn.



Ada apa dengan puasa ?

Mari kita tinjau antara kebaikan berpuasa yang dilihat dari sudut sains. Mengapa sains? Kerana kita hidup di zaman sains dan teknologi. Manusia di zaman ini inginkan sandaran kepada jawapan sesuatu pertanyaan. Manusia di zaman ini sering mahukan jawapan yang logik yang boleh diterima akal dan boleh diproses di dalam fikirannya. Tetapi, di dalam soal agama, logik akal tidak boleh selalu digunakan kerana ada beberapa perkara yang melangkaui logik akal seperti peristiwa perjalanan Nabi Muhammad saw Israk ke Baitul Maqdis dan Mikraj ke Sidratul Muntaha hanya dalam satu malam.

Baiklah, antara kebaikan berpuasa kepada manusia menurut kajian sains ialah :-

1) MEMBUNUH DAN MENYINGKIRKAN VIRUS

Menurut saintis, menahan diri daripada makan dan minum untuk satu jangka masa tertentu memberi peluang kepada sistem imun praktis menguatkan fungsinya. Ia juga untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh tubuh kerana pengambilan makanan berlebihan. Dan apabila puasa bermula sel dalam badan akan menyingkirkan semua timbunan toksik yang dikumpulkan sepanjang tahun. Hasilnya, kita akan lebih bertenaga, selesa dan kuat berbanding sebelumnya.

2) MENYEMBUHKAN DIABETES DAN MENGURANGKAN GEJALA SERANGAN JANTUNG

Kajian yang disiarkan di The American Magazine of Clinical Nutrition Science membuktikan puasa sekali-sekala sangat penting untuk merawat diabetes, jantung dan arteri. Ada satu lagi kajian yang disiarkan dalam The American Society of Animal Science, menunjukkan puasa berkala boleh meningkatkan kecekapan hormon Adiponectin. hormon tersebut terlibat dalam mengawal pengambilan gula tubuh dan metabolisme asid lemak kepada mamalia. Ia memainkan peranan untuk meningkatkan respons tisu terhadap insulin dengan mengawal pengambilan dan pemusnahan glukos dalam badan.

3) MENGURANGKAN PELUANG PERTUMBUHAN TUMOR

Pengkaji dari Grenoble Universiti, Perancis dalam satu kajian yang dilakukan mendapati puasa yang diamalkan secara berkala berperanan menurunkan peratusan  pertumbuhan lymphoid tumors. Menakjubkan! Hanya dengan berpuasa pertumbuhan tumor boleh dibantutkan hingga kosong peratus. Sementara itu dalam satu kajian yang lain pula, puasa boleh meningkatkan peluang hidup kepada pesakit yang mengalami kecederaan hati yang mana kecederaan tersebut berkemungkinan menjadi tumor pada masa akan datang.

4) AWET MUDA

Awet muda tanpa perlu suntikan botox yang membahayakan dan supplemen yang mencecah ratusan ringgit. Puasa bukan sekadar menyembuhkan penyakit kronik juga melambatkan proses penuaan sel otak.  Proses penuaan sel otak yang dilambatkan secara tidak langsung akan menjauhkan penyakit Alzheimer atau sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak di mana daya ingatan seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri. Alzheimer digolongkan ke dalam salah satu daripada jenis nyanyuk (dementia) yang dicirikan dengan melemahkan pertuturan, kewarasan, ingatan, pertimbangan, perubahan personaliti dan tingkah laku yang tidak terkawal. Oleh yang demikian, bersyukurlah kepada Allah SWT atas perintahNya yang ketiga ini di dalam Rukun Islam yang sewajarnya dilakukan oleh semua umat manusia.

5) MENGURANGKAN KEMUNGKINAN PERTUMBUHAN KANSER

Saintis dari California University, membuktikan puasa adalah perkara penting untuk menghentikan sel kanser daripada membahagi dan berkembang. Ini adalah berita baik bagi pengidap kanser. Menurut kajian mereka juga berpuasa adalah lebih berkesan daripada berdiet. 

6) MENCEGAH OBESITI

Kini, semua doktor di seluruh dunia percaya menahan diri daripada makanan adalah cara paling mudah dan murah untuk mengatasi obesiti. Jadi, tidak mustahillah jika dengan berpuasa hasrat untuk mengurangkan masalah obesiti akan tercapai. Di bulan Ramadhan inilah masanya untuk melaraskan ritma tubuh dan menyingkirkan lemak berlebihan. Berilah kesempatan kepada tubuh badan untuk menyusun semula tugas hormon dan sel darah supaya ia boleh menjalankan kerjanya untuk menguruskan sistem badan dan mengurangkan berat berlebihan. Puasa sesungguhnya menyihatkan!

7) MENYEMBUHKAN SAKIT SENDI

Ketika ini negara-negara barat sudah memanfaatkan terapi puasa untuk meyembuhkan artritis dan sakit belakang. Hasilnya amat positif. Puasa adalah proses 'ajaib', yang kelihatannya seperti tiada apa-apa tetapi kebolehannya untuk mengurus fungsi daripada sistem yang berbeza di dalam tubuh  amatlah hebat. Paling penting ia merawat kesakitan yang disebabkan pengecutan disc yang berkaitan masalah tulang belakang, leher atau kaki.

Senarai di atas hanya menyatakan 7 di antara kebaikan dan fadhilat berpuasa. Hakikatnya, tidak terhitung manfaat berpuasa kepada manusia. Betapa kasihnya Allah SWT kepada makhlukNya. Syukur Ya Allah. Alhamdulillah.

"Erti hidup pada memberi."

Salam Ramadhan Kareem.




Isnin, 14 Julai 2014

PETUA MENCUCI HATI

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Petua Mencuci Hati oleh Datuk Dr Haji Fadzilah Kamsah 


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.
Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu, dibawah ini ada beberapa cara
bagaimana hendak mencuci hati, diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah. Bagaimana untuk mencuci hati :-





1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan.  Semasa berdoa turut katakan: "Ya Allah, jadikan hatiku bersih."
       
2.  Selawat ke atas Nabi Muhammad saw paling minima 100 kali sebelum tidur. Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa di-ampunkan, otak kita akan tenang, rezeki akan bertambah murah, orang lain akan sayangkan kita dan selawat kepada Nabi akan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, solat taubat dapat mencuci hati dan menenangkan minda.
       
4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, Al-Quran juga menjadi penyembuh, penenang, dan terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" (surah al-Ikhlas) sebanyak 3 kali.

5. Bermaaf-maafan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan apakah kesalahan yang kita lakukan kepada kawan kita tersebut.
       
6. Bisikkan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, mengutuk diri sendiri dan merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. Katakan lah: "Aku sebenarnya.. ....(perkara yang elok-elok belaka).

7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata. Katakan didalam hati: "Ya Allah, cuci otak aku, cuci hatiku. Esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif." Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya - CUBALAH!!).

8. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa, kita akan terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa).

10.    Kekalkan wuduk.
 
11.    Bersedekah.

12.    Belanja orang makan.

13.   Jaga makanan - jangan makan makanan yang syubhat (was-was, tidak pasti samada halal atau tidak).

14.   Berkawan dengan ulama.

15.   Berkawan dengan orang miskin (menginsafi) .

16.   Pesan pada orang, jadi baik.

17.   Menjaga pancaindera (mata, telinga, mulut... dan sebagainya). Jangan dengar orang   mengumpat.





Tazkirah Ramadhan

Di riwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah saw sedang duduk bersama para sahabat. Kemudian datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid dengan menangis. Apabila Rasulullah saw melihat pemuda itu menangis, maka baginda pun berkata, "Wahai orang muda, kenapa kamu menangis?"

Maka berkata orang muda itu, "Ya Rasulullah saw, ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya." Lalu Rasulullah saw memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a. mendapati ayah orang muda itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam. Maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah saw, "Ya Rasulullah saw kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam."

Kemudian Rasulullah saw dan para sahabat pun pergi ke rumah orang muda itu dan baginda pun berdoa kepada Allah swt. Kemudian mayat itu pun bertukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah saw dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut. Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam. Maka Rasulullah saw pun bertanya kepada  pemuda itu, "Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dahulu?"

Berkata orang muda itu, "Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat." Kemudian Rasulullah saw bersabda, "Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Dihari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah S.W.T seperti babi hutan yang hitam."

Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyanginya, tiba-tiba kain kafan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kafan itu, mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat. Lalu mereka cuba membunuh ular itu.
Apabila mereka cuba untuk membunuh ular itu, maka berkata ular tersebut,
"Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, mengapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah S.W.T yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat."
Lalu para sahabat bertanya, "Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?" Berkata ular, "Dia telah melakukan tiga kesalahan, di antaranya;
1. Apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang.
2. Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.
3. Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama. Maka inilah balasannya".

Semoga bermanfaat.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan Kareem.

Jumaat, 11 Julai 2014

UNTUK WANITA : 2 TABIAT BAWA KE NERAKA

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Koleksi bacaan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Sebagai peringatan untuk para wanita dipaparkan suatu peristiwa di zaman Rasulullah saw ketika di suatu Eid, di mana seorang wakil telah dilantik dari kaum wanita untuk bertemu dengan Rasulullah saw untuk meminta baginda saw memberi ucapan khusus untuk kaum wanita. Baginda bersetuju dan menyuruh mereka berkumpul di Baabun Nisaa'. Setelah kaum wanita berkumpul, Bilal pergi memanggil Rasulullah saw. Baginda pun pergi ke sana, dan memberi salam dan tazkirah seperti berikut:

'Assalamualaikum, wahai kumpulan/kaum wanita. Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka'.


Seorang wanita lalu bangun bertanya, "Apakah yang menyebabkan yang demikian ?" Adakah sebab kami ini kufur ?" Rasulullah saw menjawab, "Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada 2 tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk/menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami.'


Kemudian baginda saw mengingatkan supaya :
1. Banyak beristighfar
2. Banyak bersedekah. 


Keterangan:
Yang dimaksudkan dengan mengutuk/menyumpah ialah seperti contoh di bawah:

Contoh 1

Katakan kita lama menunggu bas. Tetapi bas masih tidak kunjung tiba, akibat geram dan marah kita mungkin berkata, "Driver bas ni dah mampus agaknya." Perkataan mampus itu termasuk dalam erti kata menyumpah. Lisan wanita memang terlalu cepat menyumpah. Kadang-kadang pakaian, perkakas rumah, hatta suami pun kena sumpah.

Contoh 2

Tengah memasak gas habis. Kita mungkin berkata "Celaka punya gas. Masa ni jugak nak habis." Yang dimaksudkan kufur di sini bukan kufur I'tiqad tetapi bererti tidak mengiktiraf kebaikan di sini bermaksud tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh suami.

Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang suami yang kurang kefahaman.
Rasulullah saw berkata, "Tidakkah pernah engkau jumpa, seorang isteri, jika seumur hidup engkau, engkau berbuat baik kepadanya, tetapi di suatu ketika, disebabkan dia tidak mendapat sesuatu yang dia kehendaki, maka dia akan berkata ,"Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak".
(Terjemahan langsung dari bahasa Arab).

[Dalam masyarakat kita kata-kata di atas mungkin boleh dikaitkan dengan
perkataan seperti berikut:

"Selama hidup dengan awak, apa yang saya dapat?".Tak guna sesen pun".


Rasulullah saw menyambung lagi , "Mana-mana isteri yang berkata, "Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak", maka akan gugur pahala-pahala amalannya." Saranan Rasulullah saw yang seterusnya ialah menyuruh kaum wanita banyak beristighfar dan bersedekah, kerana ia dapat menyelamatkan kita dari 2 perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka seperti yang disebutkan tadi.

Fadhilat beristighfar:


a. Sabda Rasulullah saw : 'Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70 kali sehari, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk).' Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah saw menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendiri melakukannya lebih dari 100 kali sehari. Adalah diingatkan untuk mencapai sasaran ini, eloklah kita menjadualkan amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.

b .Sabda Rasulullah saw : 'Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita.'

c. Istighfar juga memurahkan rezeki. Jangan dianggap rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit atau harta benda. Tetapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak. Sedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Sedekah juga termasuk: 


1. Tuturkata/percakapan yang baik. Yang paling utama ialah terhadap keluarga sendiri. Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak menambat hati suami. Diriwayatkan, Saidatina Khadijah ra, isteri Rasulullah saw yang pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang hayat baginda saw, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga baginda sering menyebut nama beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu di kalangan isteri-isteri baginda.



Diriwayatkan juga, Jibril as setiap kali selepas memberi wahyu kepada Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah. Suatu hari Rasulullah saw telah bertanya beliau, dan jawab Jibril, 'Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tuturkatanya'.

2. Memberi salam. 


3. Memaniskan wajah.

Juga terutamanya kepada ahli keluarga. Rasulullah saw pernah bersabda, "Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah." Terdapat juga suatu syair Arab yang berbunyi :

'Nak buat baik, sangatlah mudah, Maniskan wajah, lembutkan lidah.' 


Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah saw marilah kita bertafakur dan bermuhasabah diri kita. Sekiranya terdapat sifat-sifat buruk yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka itu, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang. 





Semoga bermanfaat.


"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan Kareem

Khamis, 10 Julai 2014

CARA MEMBELI WAKTU



Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Koleksi bacaan


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Waktu, masa, saat, kala, tempoh adalah sama dari segi maksudnya. Setiap manusia diberikan waktu atau masa yang sama setiap hari iaitu 24 jam. Apapun pekerjaan atau perkara yang dilakukan, waktu yang kita miliki sehari hanyalah 24 jam.  Dari pengemis hinggalah Perdana Menteri, waktu yang dimiliki sehari terbatas kepada 24 jam sahaja. Tidak pernah lebih dan tidak pernah kurang.

Tetapi, tahukah anda bahawa waktu boleh dibeli ? Waktu boleh ditambah ? Bagaimana cara membeli waktu ?

 SUBHANALLAH - "Membaca Quran menambah waktu ?"



Ada seorang ulama berguru kepada seorang guru. Selang beberapa lama, saat dia ingin melanjutkan belajar ke guru lain, gurunya berpesan :

"Jangan tinggalkan membaca Al Quran, semakin banyak baca Al Quran, urusanmu semakin mudah"

Dan muridnya pun melakukannya. Dia membaca Al Quran 3 juz sehari. Dia menambahkan hingga 10 juz sehari. Dan urusannya semakin mudah.
 
Allah SWT yang mengurus semua urusannya. Waktu pun semakin berkah.

Apa yang dimaksud dengan berkah waktu?

Iaitu boleh melakukan banyak hal dalam waktu sedikit.

Itulah berkah Al Quran. Al Qur’an membuat kita mudah mengefektifkan penggunaan waktu. Bukan kita yang mengatur waktu kita, tetapi Allah SWT.

Padahal teorinya orang yang membaca Al Quran akan menghabiskan banyak waktu, lalu mengurangi kegiatan lain, tetapi Allah SWT yang membuat waktunya itu menjadi berkah. Hingga menjadi begitu efektif. Hidup pun efektif. Dan Allah SWT akan mencurahkan banyak berkah dan kebaikan pada kita kerana Al Quran. Salah satu berkahnya adalah membuka pintu kebaikan, membuka kesempatan untuk amal soleh berikutnya. Salah satu balasan bagi amal baik yang kita lakukan adalah kesempatan untuk melakukan amal baik yang lain.


Di bulan Ramadhan yang mulia ini, perbanyakkanlah membaca al Quran, selain dari pelbagai fadhilat yang boleh kita perolehi juga waktu yang ditambah dan berkah, membaca al Quran di dalam bulan Ramadhan juga akan dilipatgandakan pahalanya, inshaAllah.

Bagaimana untuk khatam al Quran dalam sebulan bulan Ramadhan ini? Ikuti panduan berikut :


Bagi al Quran resam Uthmani, setiap juzuk al Quran terdapat 20 muka surat. Bermakna, bagi 30 juzuk al Quran terdapat 600 muka surat.

Bagi wanita yang uzur, tolakkan hari yang anda uzur tersebut dari sebulan Ramadhan, kemudian lakukan seperti berikut :-

Contoh : Hari uzur = 8 hari.

30 hari (sebulan Ramadhan) - 8 hari
Baki = 22 hari.

8 hari  X 20 muka surat = 160 muka surat

Baki 22 hari (boleh berpuasa dan membaca al Quran).

Mengikut kiraan bagi 30 hari penuh, sehari perlu membaca 20 mukasurat,
160 mukasurat dibahagikan dengan 22 hari, kita akan dapat lebih kurang 7.3 mukasurat sehari.
tambahkan 20 mukasurat sehari debgan 7.3 muka surat, anda akan memperolehi 27.3 muka surat sehari yang perlu dibaca.

Bahagikan pula dengan 5 kali waktu solat fardhu, anda perlu membaca lebih kurang 5 setengah muka surat setiap kali sebelum atau selepas solat fardhu. 



Semoga bermanfaat.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan Kareem.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Anda ada produk? Iklan produk anda di Soho Directory. Dapatkan pakej iklan serendah RM50. Lihat maklumat tentang pakej di sini.

Hubungi saya, Zuriati Zubir melalui:

Emel: 
zuriatizubir@gmail.com
SMS/whatsapp: 019 936 7898
Facebook: Zuriati Zubir
 


 

Rabu, 9 Julai 2014

MINDA MISKIN VS MINDA KAYA

Teks : Zuriati binti Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Aqif Azizan, Write To Wealth; Secrets Of The Millionaire Mind, T Harv Eker


 Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Rasulullah saw bersabda :

"Sesungguhnya Allah berfirman : Aku akan mengikut prasangka hambaKu dan Aku akan sentiasa menyertainya apabila mereka berdoa kepadaKu."

Prasangka adalah salah satu daya fikiran manusia. Jika seseorang memikirkan hal yang baik-baik, maka Allah pun akan mengikuti prasangka hambaNya itu. Dia akan mewujudkan prasangka baikNya itu dalam kehidupannya.

Ketahuilah, apa yang diterima oleh minda berkenaan perkataan yang membentuk makna atau nilai akan melahirkan tindakan tanpa sedar. - Magis Sebuah Fikiran, Shahrein Remeli.

Seperti semua hukum alam, ada kesempurnaan dalam hukum ini (hukum tarikan). Anda menciptakan kehidupan dengan pemikiran-pemikiran anda. Kerana anda selalu berfikir dan anda selalu mencipta. Tetapi apa yang anda fokus, maka itulah yang akan muncul dalam kehidupan anda. -Rhonda Byrne

Fikiran lahir dari minda. Minda bagaimanakah yang anda miliki? Minda miskin atau minda kaya?




Cara kita berfikir terhadap wang banyak mempengaruhi masa hadapan kewangan kita. Oliver Emberton, pengasas Silktide menjelaskan secara terperinci tentang cara berfikir terhadap kewangan.

1) Minda Miskin - Dapat duit belanja beli utiliti

Majoriti manusia menggunakan duit yang diperolehi untuk belanja membeli utiliti seperti makanan, hiburan dan sebagainya.

2) Minda Kaya - Duit beranakkan duit.

Si minda kaya pula menggunakan duit untuk beranakkan lagi duit mereka.

3) Minda Miskin - Mindset loteri mindset minda miskin kewangan

Kenapa perkara ini berlaku? Sebab mindset pemenang loteri adalah belanja ke arah utiliti.

4) Minda Miskin - Mindset loteri. 

Contoh : Beli rumah besar, kereta mewah dan tambah jumlah kredit (pinjaman) untuk beli banyak barang untuk kepuasan diri yang bersifat sementara.

Fakta : pemenang loteri jatuh muflis kurang dari 5 tahun.

Pemenang-pemenang loteri yang menang sehingga multi-juta ringgit, mereka akan hilang semua duit itu dalam tempoh kurang 5 tahun.

5) Tabiat kewangan menentukan masa depan kita.

Perbezaan satu tabiat kewangan akan membezakan seseorang. Orang yang kaya akan terus kaya, yang miskin akan terus miskin. Semua ini dipengaruhi oleh bagaimana kita membelanjakan wang yang ada pada kita.


6) Minda Kaya - Bagaimana duit boleh buat duit.

Cara berfikir si minda kaya – Apabila dapat duit, penting untuk fikirkan bagaimana duit sedia ada boleh buat lebih banyak duit.

Cerita tauladan : Kisah bakal bilionair yang celik duit.

Semasa kecil, Warren Buffet (billionair) dan rakannya telah membeli mesin pinball dengan harga $25. Dalam masa beberapa bulan, mereka berjaya jadikan mesin itu sebagai sumber pendapatan mewah.

7) Minda Kaya - Boleh tangguhkan kepuasan.

Si minda kaya berjaya dan luar biasa mampu menangguhkan kepuasan, untuk memaksimumkan pulangan.

8) Minda Kaya - Bangunkan kemahiran yang bersifat compounding/berganda.

Si Minda Kaya sentiasa membangunkan kemahiran yang bersifat compunding/berganda. Contohnya, menjadi pemimpin dalam organisasi. kemahiran ini dapat mengembangkan duit poket bisnes.

 

Berikut pula adalah 17 perbezaan sikap & cara pemikiran ORANG KAYA berbanding ORANG MISKIN. Ianya dipetik dari buku "Secrets Of The Millionaire Mind" karangan T. Harv Eker.


1. Orang kaya percaya: "Saya menentukan hidup saya." Orang miskin percaya : "Kehidupan saya sudah ditentukan, saya tidak boleh buat apa-apa."

 2. Orang kaya berusaha untuk menang/berjaya. Orang miskin berusaha untuk tidak kalah/tidak gagal.

 3. Orang kaya komited dan berusaha sungguh-sungguh untuk menjadi kaya. Orang miskin hanya 'mahu' menjadi kaya.

 4. Orang kaya berfikir besar. Orang miskin berfikir kecil-kecilan.

 5. Orang kaya memberi tumpuan kepada peluang. Orang miskin fokus kepada halangan.

 6. Orang kaya mengagumi orang lain yang kaya & berjaya. Orang miskin membenci orang kaya & berjaya, dan menganggap mereka adalah golongan yang jahat, menipu, sombong dan sebagainya.

 7. Orang kaya bergaul dengan orang yang positif dan berjaya. Orang miskin bergaul dengan orang yang negatif atau yang gagal/tidak berjaya.

 8. Orang kaya bersedia untuk mempromosikan diri mereka dan kelebihan diri mereka. Orang miskin berfikir negatif tentang jualan dan promosi.

 9. Orang kaya menganggap diri mereka lebih besar daripada masalah yang dihadapi. Orang miskin pula, menganggap diri mereka adalah lebih kecil daripada masalah mereka.

 10. Orang kaya sentiasa rasa bersyukur dan sering berterima kasih. Orang miskin selalu lupa/kurang bersyukur dan lupa/kurang berterima kasih.

 11. Orang kaya memilih untuk mendapatkan bayaran berdasarkan result/hasil. Orang miskin memilih untuk mendapatkan bayaran berdasarkan masa.

12. Orang kaya berfikir "kedua-duanya". Contoh : saya boleh kaya DAN beriman. Orang miskin berfikir "sama ada / atau". Contoh : mesti pilih antara kaya ATAU beriman!

 13. Orang kaya fokus pada jumlah nilai bersih mereka (aset-liabiliti = nilai bersih). Orang miskin memberi tumpuan kepada jumlah gaji mereka.

 14. Orang kaya menguruskan wang mereka dengan baik. Orang miskin tidak ambil kisah tentang pengurusan wang mereka.

15. Orang kaya memastikan wang mereka bekerja keras untuk mereka. Orang miskin bekerja keras untuk mendapatkan wang.

16. Orang kaya bertindak walaupun takut. Orang miskin membiarkan ketakutan menghalang mereka.

 17. Orang kaya sentiasa belajar dan mengembangkan ilmu. Orang miskin fikir mereka sudah tahu semuanya.

Bagaimanakan minda anda? Adakah minda anda tergolong di dalam minda KAYA atau minda MISKIN?

Anda sendiri yang menentukannya.

"Erti hidup pada memberi".

Salam Ramadhan Kareem.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

1. Pendaftaran Bengkel Offline Asas Akaun masih dibuka
Tarikh: 19.07.2014, Sabtu
Lokasi: Shah Alam
Tempat- 2nd Floor PKNS Bizpoint Shah Alam
Masa: 8.30pg -4.30ptg.

Promo kelas-kelas lain
2. Pendaftaran untuk kelas-kelas berikut dibuka setiap hari:
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog, fanpage dan mula bisnes
3. Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif
4. Kelas beriklan mudah.my
5. Kelas urus akaun wahm/soho, boleh pilih mana-mana kategori berikut, 2 trainer kewangan/akaun bertugas
-bengkel akaun sehari 19.07.2014, Shah Alam
-kelas akaun online
-personal coahing
6. Pendaftaran pengurus online akademi
7. Kelas belajar borong telekung solat
8. Kelas Bisnes Makanan Sunnah
9. Kelas mula bisnes projek raya
10. Beriklan dengan kami di sini http://sohodirectory.blogspot.com/
11. Tempahan blog bisnes --> 5-7 hari siap
Kenali kami, baca lagi tentang akademi di sini ya http://akademibekerjadirumah.blogspot.com/

Bila sudah sedia, boleh hubungi saya.
Zuriati Zubir
http://zuriatizubir.blogspot.com/
PM/Whatsapp : 019 - 936 7898

Selasa, 8 Julai 2014

MANA MAK ?

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt.

Satu perkongsian. Baca dan renungkanlah, di manakah ibu kita di hati kita ?


Jam 6:30 petang. Mak berdiri di depan pintu. Wajah mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama. Ayah baru balik dari sawah. Ayah tanya mak, "Along mana?" Mak jawab, "ada di dapur tolong siapkan makan". Ayah tanya mak lagi, "Angah mana ?" Mak jawab, "Angah mandi, baru balik main bola". Ayah tanya mak, "Ateh mana ?" Mak jawab, "Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam". Ayah tanya lagi, "Adik dah balik?" Mak jawab, "Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari adik".

Mak jawab soalan ayah dengan penuh yakin.Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak mak dan bagaimana keadaan anak-anak mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian. Jam 6:30 petang. 

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari. Ayah tanya Along, "mana mak?" Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, "tak tahu." Ayah tanya Angah, "mana mak?" Angah menonton tv. Angah jawab, "mana Angah tahu." Ayah tanya Ateh, "mana mak?" Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah. Ayah tanya Ateh lagi, "mana mak?" Ateh menjawab, "entah". Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada ayah. Ayah tanya Alang, "mana mak?" Alang tidak jawab. Alang hanya menggoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan Facebook. Ayah tahu yang ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu. 

Tidak ada siapa tahu di mana mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana mak. Mata dan hati anak-anak mak tidak pada mak. Hanya mata dan hati ayah yang mencari-cari di mana mak. Tidak ada anak-anak mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "mana mak?".

Tiba-tiba adik bongsu bersuara, "mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!"

Tersentap hati ayah mendengar kata-kata adik. Dulu anak-anak mak akan berlari mendakap mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya, "mana mak ?" apabila mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "mana mak?" apabila dapat nombor satu dalam peperiksaan di sekolah atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak mak tidak bertanya, "mana mak?". Semakin anak-anak mak besar, soalan "mana mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak mak.

Ayah berdiri di depan pintu menunggu mak. Ayah resah menunggu mak kerana sudah senja sebegini mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi mak, mak akan bawa sesuatu untuk  anak-anak mak apabila pulang daripada berjalan.

Sampai di halaman rumah mak berhenti di hadapan deretan kereta anak-anak mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir mak diketap rapat. Senyum tertahan, hanya ayah yang faham. Sekarang mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak mak kecil dahulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak mak akan menepis tangan mak  kalau mak lakukannya. 

Lima buah kereta milik anak-anak mak berbaris megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tak tahupun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan mak. Mak belum merasa naik kereta anak mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak beri salam. Salam mak tidak berjawab, terketar-ketar lutut mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin mak masuk ke dalam rumah. Lutut mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kuih koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak mak. Mak Uda tahu anak-anak mak suka makan kuih koci dan mak malu untuk meminta bawa balik kuih koci. Namun raut wajah mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kuih koci dari Mak Uda tadi , mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kuih koci kamu ni".

Sekurang-kurangnya itulah bayangan mak. Mak bayangkan anak-anak mak sedang gembira menikmati kuih koci sebagaimana masa anak-anak mak kecil dulu. Mereka berebut dan mak jadi hakim pembuat keputusan muktamad. Seringkali mak akan beri bahagian mak supaya anak-anak mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala mak.

Ayah suruh mak tukar baju. Ayah iring mak ke dapur. Mak ajak anak-anak mak makan kuih koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada mak. Mata dan hati anak-anak mak sudah bukan pada mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu mak sudah tidak boleh mengharapkan anak -anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak mak akan makan bersama. Setiap hari mak berharap begitu. Hanya ayah yang duduk bersama mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak mak. 

Ayah tanya mak kenapa mak tidak telefon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telefon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telefon anak-anak mak yang mak tak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati mak agar salah seorang anak-anak mak akan menjemput mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telefon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, " Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak kita kat bahu mereka."

Mak faham buah hati mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat mak di hati anak-anak mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata mak jatuh ke pinggan. kuih koci masih belum diusik oleh anak-anak mak.

Beberapa tahun kemudian Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, "mana mak?"  Hanya Adik yang jawab, "mak dah taka ada." Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat mak waktu mak sakit.

Kini mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak mak lagi.

Dalam esakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan mak tidak boleh berdiri bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa mak semasa anak-anak mak kecil  dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telefon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak mak adalah untuk orang lain bukan untuk mak.

Hati anak-anak mak bukan milik mak lagi. Hanya hati mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak mak..

Mak tidak sempat merasa di angkat di atas bahu anak-anak mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara mak yang akan menjawab soalan ayah.

"Mana Along?", "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak mak sentiasa di hati mak tetapi hati anak-anak mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur mak, ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, "Mana mak?".

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang.  Hati ayah hancur teringat hajat mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala lumpur tu. Saya akan buat kuih koci buat bekal...."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh. 

Terketar-ketar ayah bersuara, "mana mak?".

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah sepuluh tahun mak pergi namun soalan "mana mak?" masih sering keluar dari mulut ayah  sehingga ke akhir usia.


KETAHUILAH SEMUA 4 PERKARA BERIKUT JIKA DI PANDANG SAHAJA KITA AKAN MENDAPAT PAHALA :

Diterangkan dalam sebuah Hadis Rasulullah saw. Hanya dengan memandang empat perkara ini iaitu :
1. Wajah ibubapa
2. Al-Quran
3. Lautan
4. Ka'abah

kita sudah mendapat pahala. Hanya dengan memandang empat perkara ini termasuklah wajah ibu, wajah bapa pun dikira ibadah. Pandanglah wajah ibu dan bapa kita yang telah tua dengan pandangan kasih dan sayang, bukan pandagan sinis, geram, dendam, benci dan meluat.

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: “Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat wajah ibu bapa, melihat al-Quran dan melihat lautan.” - (Riwayat Abu Nuaim) dan ditambah dengan “Melihat Ka’abah”. (Riwayat Abu Daud).

Bilakah kali terakhir anda menghubungi ibu dan bapa ? bilakah kali terakhir anda memandang wajah ibubapa dengan penuh kasih dan sayang...?

"Erti hidup pada memberi"

Salam Ramadhan Kareem.
--------------------------------------------------------------------------------------------------

Pendaftaran setiap hari di Akademi Bekerja di Rumah. Bergabung bersama 750 blog.
Pilih mana-mana kelas/servis di bawah:

1. Kelas asas blog dan penulisan - online & offline
2. Kelas asas blog, fanpage dan mula bisnes} - online & offline
3. Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif
4. Kelas beriklan mudah.my
5. Kelas urus akaun wahm/soho, boleh pilih mana-mana kategori berikut, 2 trainer kewangan/akaun bertugas
-bengkel akaun sehari
-kelas akaun online - 19 Julai 2014, lokasi : Shah Alam.
-personal coahing 

 6. Pendaftaran pengurus online akademi
7. Kelas belajar borong telekung solat
8. Beriklan dengan kami di sini http://sohodirectory.blogspot.com/
9. Tempahan blog bisnes--> 3-5 hari siap
10. Kenali kami, baca lagi tentang akademi di sini ya http://akademibekerjadirumah.blogspot.com/

Untuk info tentang kelas-kelas online klik sini

Pakej Kelas Online
 
Bila sudah sedia, boleh hubungi saya.
 
Zuriati Zubir
email : zuriatizubir@gmail.com
Whatsapp/sms : 019-936 7898

Khamis, 3 Julai 2014

ADA APA DENGAN KURMA

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Majalah Kesihatan

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Hari ini kita akan membicarakan tentang kurma. Kurma memang sinonim dengan bulan Ramadhan. Sudah menjadi amalan turun-temurun bagi umat Islam di Malaysia, bahkan seluruh dunia untuk menjamah kurma dahulu ketika berbuka puasa sebelum menjamah makanan lain.  Amalan ini juga merupakan sunnah Nabi saw yang wajar kita teruskan.


Seingat saya, sewaktu saya kecil, dalam tahun 1980 an, kurma yang saya lihat ketika itu dibeli secara timbang, tidak berbungkus cantik seperti sekarang. Buah kurma dahulu agak melekit dan adakalanya berair. Alhamdulillah, kini buah kurma yang menjadi hidangan wajib ketika berbuka boleh juga ditemui masih melekat ditangkainya. 

Ada apa dengan kurma ?

1. Tahukah anda bahawa orang yang memakan kurma setiap hari tidak akan didekati jin?
2. Percayakah anda bahawa ekstrak kurma dapat mengubati kemandulan wanita?
3. Tahukah anda bahawa makanan dan ubat paling penting bagi para angkasawan adalah kurma?
4. Tahukah anda bahawa buah kurma lebih sihat daripada kaviar?
5. Tahukah anda bahawa sabut pokok kurma adalah pembersih yang paling baik bagi tubuh dan dapat melindunginya dari penyakit-penyakit kulit?
6. Tahukah anda bahawa apabila kurma direbus dan diminum seperti teh maka ia dapat menggembirakan hati yang sedih?
7. Tahukah anda bahawa setiap 100 gram kurma mengandungi 318 kalori, setara dengan 315 kalori yang terkandung dalam setiap 100 gram madu?
8. Tahukah anda bahawa sebutir kurma dapat membekalkan anda kalori yang cukup untuk aktiviti seharian dengan penuh semangat?
9. Tahukah anda bahawa makanan paling baik yang digunakan oleh askar perang adalah kurma, kerana kurma membekalkannya dengan kalori, menguatkannya dan menggiatkan kelenjar adrenal sehingga dia menjadi seorang yang berani dan tidak takut akan kematian?
10. Tahukah anda bahawa ada 1,450 jenis kurma di seluruh dunia?
11. Tahukah anda bahawa menurut kajian, kaum Arab Badwi, yang makan kurma secara teratur, mempunyai kadar kanser dan serangan jantung yang sangat rendah ?
12. Tahukah anda buah kurma kaya serat yang mencegah penyerapan kolesterol LDL dalam usus. Kandungan serat kurma juga membantu melindungi selaput lendir usus dan menyekat bahan kimia yang menyebabkan kanser usus besar.
13. Tahukah anda, sebagai makanan laksatif (laxative food), kurma bermanfaat melancarkan buang air besar dan mencegah sembelit ?
14. Tahukah anda kurma mengandung antioksidan yang dikenal sebagai tanin. Tanin diketahui bersifat anti infeksi, anti-inflamasi dan anti-hemoragik ?
15. Tahukah anda kurma adalah sumber vitamin A, yang dikenal memiliki sifat antioksidan dan sangat penting untuk kesihatan mata. Vitamin A juga diperlukan oleh kulit agar ianya tetap sihat. Pengambilan buah-buahan yang semulajadi kaya dengan vitamin A  diketahui membantu melindungi dari kanser paru-paru dan rongga mulut.
16. Tahukah anda kurma merupakan sumber zat besi yang sangat baik ? Besi adalah komponen dari hemoglobin di dalam sel darah merah.
17. Tahukah anda kalium dalam kurma adalah komponen penting dari sel dan cairan tubuh yang membantu mengendalikan denyut jantung dan tekanan darah, sehingga memberikan perlindungan terhadap penyakit jantung dan strok ?
18. Tahukah anda kurma kaya dengan vitamin K dan vitamin B-kompleks, iaitu  (vitamin B-6), niasin, asid pantotenat dan riboflavin ? Vitamin ini membantu tubuh dalam metabolisme karbohidrat, protin dan lemak. Vitamin K sangat penting dalam pembekuan darah  dan metabolisme tulang.

Sebenarnya ada banyak lagi khasiat-khasiat dan kebaikan yang boleh kita perolehi dari memakan kurma. Tidak ada satu pun ciptaan Illahi yang tidak bermanfaat buat kita. Betapa kasihnya Allah SWT kepada kita, hatta sebiji buah kurma pun mendatangkan pelbagai kebaikan dan manfaat buat kita.

 " Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"
- surah ar Rahman

Semoga bermanfaat.

"Erti hidup pada memberi".

Salam penuh keindahan.