Khamis, 17 Julai 2014

ADA APA DENGAN PUASA ?

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Koleksi bacaan, Majalah Al Islam.



Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

" Rasulullah saw bersabda, " Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan Ar-Ryyan. Orang-orang yang berpuasa masuk melalui pintu itu pada hari kiamat, tidak seorang pun masuk melalui pintu itu selain mereka. Dikatakan, "Mana orang-orang yang berpuasa?" Maka mereka berdiri. Tidak ada seorang pun yang masuk melewati pintu itu selain mereka. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup dan tidak ada seorang pun yang masuk (lagi) melaluinya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Hari ini 19 Ramadhan 1435H. Bermakna hanya berbaki 10 hari lagi sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya. Alangkah indahnya jika kita tergolong di dalam golongan yang masuk melalui pintu Ar-Ryyan itu. Betapa bahagianya, betapa riangnya, betapa indahnya saat itu. Bagaimanakah puasa kita Ramadhan kali ini ? Adakah sama seperti tahun-tahun sebelum ini atau lebih parah lagi, puasa kita sama sahaja seperti puasa kita ketika di bangku sekolah rendah atau sekolah menengah. Layakkah kita melepasi pintu Ar-Ryyan ?

Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik kita lalui. Semoga sepanjang kita berada di madrasah Ramadhan ini, qalbu kita kembali suci, jiwa kita kembali kepada fitrah. Semoga segala amalan baik yang kita kerjakan sepanjang Ramadhan ini diterima Allah SWT sebagai amalan yang terpuji dan diangkat ke Illiyin sebagai catatan yang baik belaka. Aamiinn.



Ada apa dengan puasa ?

Mari kita tinjau antara kebaikan berpuasa yang dilihat dari sudut sains. Mengapa sains? Kerana kita hidup di zaman sains dan teknologi. Manusia di zaman ini inginkan sandaran kepada jawapan sesuatu pertanyaan. Manusia di zaman ini sering mahukan jawapan yang logik yang boleh diterima akal dan boleh diproses di dalam fikirannya. Tetapi, di dalam soal agama, logik akal tidak boleh selalu digunakan kerana ada beberapa perkara yang melangkaui logik akal seperti peristiwa perjalanan Nabi Muhammad saw Israk ke Baitul Maqdis dan Mikraj ke Sidratul Muntaha hanya dalam satu malam.

Baiklah, antara kebaikan berpuasa kepada manusia menurut kajian sains ialah :-

1) MEMBUNUH DAN MENYINGKIRKAN VIRUS

Menurut saintis, menahan diri daripada makan dan minum untuk satu jangka masa tertentu memberi peluang kepada sistem imun praktis menguatkan fungsinya. Ia juga untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh tubuh kerana pengambilan makanan berlebihan. Dan apabila puasa bermula sel dalam badan akan menyingkirkan semua timbunan toksik yang dikumpulkan sepanjang tahun. Hasilnya, kita akan lebih bertenaga, selesa dan kuat berbanding sebelumnya.

2) MENYEMBUHKAN DIABETES DAN MENGURANGKAN GEJALA SERANGAN JANTUNG

Kajian yang disiarkan di The American Magazine of Clinical Nutrition Science membuktikan puasa sekali-sekala sangat penting untuk merawat diabetes, jantung dan arteri. Ada satu lagi kajian yang disiarkan dalam The American Society of Animal Science, menunjukkan puasa berkala boleh meningkatkan kecekapan hormon Adiponectin. hormon tersebut terlibat dalam mengawal pengambilan gula tubuh dan metabolisme asid lemak kepada mamalia. Ia memainkan peranan untuk meningkatkan respons tisu terhadap insulin dengan mengawal pengambilan dan pemusnahan glukos dalam badan.

3) MENGURANGKAN PELUANG PERTUMBUHAN TUMOR

Pengkaji dari Grenoble Universiti, Perancis dalam satu kajian yang dilakukan mendapati puasa yang diamalkan secara berkala berperanan menurunkan peratusan  pertumbuhan lymphoid tumors. Menakjubkan! Hanya dengan berpuasa pertumbuhan tumor boleh dibantutkan hingga kosong peratus. Sementara itu dalam satu kajian yang lain pula, puasa boleh meningkatkan peluang hidup kepada pesakit yang mengalami kecederaan hati yang mana kecederaan tersebut berkemungkinan menjadi tumor pada masa akan datang.

4) AWET MUDA

Awet muda tanpa perlu suntikan botox yang membahayakan dan supplemen yang mencecah ratusan ringgit. Puasa bukan sekadar menyembuhkan penyakit kronik juga melambatkan proses penuaan sel otak.  Proses penuaan sel otak yang dilambatkan secara tidak langsung akan menjauhkan penyakit Alzheimer atau sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak di mana daya ingatan seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri. Alzheimer digolongkan ke dalam salah satu daripada jenis nyanyuk (dementia) yang dicirikan dengan melemahkan pertuturan, kewarasan, ingatan, pertimbangan, perubahan personaliti dan tingkah laku yang tidak terkawal. Oleh yang demikian, bersyukurlah kepada Allah SWT atas perintahNya yang ketiga ini di dalam Rukun Islam yang sewajarnya dilakukan oleh semua umat manusia.

5) MENGURANGKAN KEMUNGKINAN PERTUMBUHAN KANSER

Saintis dari California University, membuktikan puasa adalah perkara penting untuk menghentikan sel kanser daripada membahagi dan berkembang. Ini adalah berita baik bagi pengidap kanser. Menurut kajian mereka juga berpuasa adalah lebih berkesan daripada berdiet. 

6) MENCEGAH OBESITI

Kini, semua doktor di seluruh dunia percaya menahan diri daripada makanan adalah cara paling mudah dan murah untuk mengatasi obesiti. Jadi, tidak mustahillah jika dengan berpuasa hasrat untuk mengurangkan masalah obesiti akan tercapai. Di bulan Ramadhan inilah masanya untuk melaraskan ritma tubuh dan menyingkirkan lemak berlebihan. Berilah kesempatan kepada tubuh badan untuk menyusun semula tugas hormon dan sel darah supaya ia boleh menjalankan kerjanya untuk menguruskan sistem badan dan mengurangkan berat berlebihan. Puasa sesungguhnya menyihatkan!

7) MENYEMBUHKAN SAKIT SENDI

Ketika ini negara-negara barat sudah memanfaatkan terapi puasa untuk meyembuhkan artritis dan sakit belakang. Hasilnya amat positif. Puasa adalah proses 'ajaib', yang kelihatannya seperti tiada apa-apa tetapi kebolehannya untuk mengurus fungsi daripada sistem yang berbeza di dalam tubuh  amatlah hebat. Paling penting ia merawat kesakitan yang disebabkan pengecutan disc yang berkaitan masalah tulang belakang, leher atau kaki.

Senarai di atas hanya menyatakan 7 di antara kebaikan dan fadhilat berpuasa. Hakikatnya, tidak terhitung manfaat berpuasa kepada manusia. Betapa kasihnya Allah SWT kepada makhlukNya. Syukur Ya Allah. Alhamdulillah.

"Erti hidup pada memberi."

Salam Ramadhan Kareem.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan