Jumaat, 10 Oktober 2014

DUNIA TERSEMBUNYI KU

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi sendiri


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Bidang jahitan sebenarnya amat dekat di hati saya. Selain emak saya dan saya yang menjahit secara sambilan, nenek saya serta tok lelaki saya juga pada suatu masa dahulu adalah sepasang suami isteri yang bekerja sebagai tukang jahit. Pada awalnya saya tidak langsung pandai menjahit pakaian, hatta menggunakan mesin jahit. Minat menjahit hanya timbul ketika saya berumur dalam lingkungan dua puluhan. Itupun setelah diajak beberapa rakan sekerja untuk belajar menjahit baju kurung di kelas menjahit yang tidak berapa jauh dari pejabat saya. Kami berjalan kaki sambil membawa beg yang berisi peralatan menjahit kami. Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan kelas menjahit dan berjaya membuat baju kurung sendiri, baju melayu untuk suami dan anak lelaki saya. 

Melihatkan kesungguhan saya belajar menjahit dan kemudiannya menjahit baju, emak saya telah meminjamkan mesin jahit Singernya kepada saya. Mesin ini sudah agak lama tetapi masih boleh digunakan. Pada asalnya mesin ini digunakan secara manual, kemudian emak saya menggantikan pengayuh kaki kepada motor elektrik. Sayangnya mesin ini telah rosak teruk semasa banjir besar yang melanda kediaman saya pada tahun 2001.

Saya kemudiannya meningkatkan lagi kemahiran jahitan saya dengan menghadiri kelas jahitan langsir pelbagai paten, jahitan cadar, gebar selesa, kusyen dan pelbagai lagi. Sekali lagi kerana kesungguhan dan minat saya, emak menghadiahkan saya sebuah mesin jahit lurus industri jenama Juki. Alhamdulillah, dengan kemahiran baru dan mesin baru tersebut saya dapat menjahit langsir untuk kedua-dua rumah emak dan emak mertua saya serta rumah bapa saudara. 

Masa berlalu, saya agak kesuntukan masa untuk menjahit. Tambahan pula anak saya semakin membesar dan telah mula bersekolah. Dek kerana kekangan masa saya terpaksa meninggalkan sementara keinginan menjahit saya dan membiarkan sahaja ianya dimamah oleh waktu. 


Keinginan dan peluang menjahit ini timbul semula setelah saya melalui beberapa fasa dalam hidup dan terkini saya pula yang mengajar menjahit pakaian. Jika difikirkan semula agak lucu. Tidak tergambar di fikiran saya bahawa satu hari nanti saya akan menjahit pakaian dan mengajar menjahit dalam masa yang sama. Saya bertemu semula dunia saya yang telah lama terkurung dan tersimpan. Menjahit memberikan kepuasan kepada perasaan saya. Siapa tahu, anda juga mungkin sama dengan saya. Saya doakan anda temui dunia anda yang lama terpendam tersebut.

Selamat mengeksplorasi diri.

"Erti hidup pada memberi"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan