Jumaat, 15 Ogos 2014

SERONOKNYA MENGENAL TOKOH ISLAM

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wmt

Memang seronok membaca buku ini, "101 Info Seronoknya Mengenal Tokoh Islam". Buku ini ditulis oleh saudara Ridwan Abqary. Ilustrasi yang dipaparkan juga cantik dan menarik perhatian, karya Kharisma. Buku ini saya dan suami belikan buat anakanda saya Nur Khadeejah Soleha yang akan mencapai usia 6 tahun pada bulan November nanti. Oleh kerana beliau sudah boleh membaca dan menunjukkan minat untuk membaca, maka saya dan suami membelikan beberapa buah buku buatnya termasuklah buku 101 Info Seronoknya Mengenal Tokoh Islam ini.



Antara yang dipaparkan di dalam buku edaran PTS Publications & Distributions Sdn Bhd ini adalah info-info yang mungkin kita sendiri sebagai muslim yang dewasa tidak sedar dan tidak mengetahui akan kewujudannya. Melalui buku ini, banyak yang boleh kita pelajari dan banyak pengetahuan yang dapat kita tambah khususnya berkenaan dengan tokoh-tokoh dan ilmuan Islam.

Saya selitkan sedikit antara fakta yang boleh kita dapati di dalam buku ini :-

1)  Apakah ada tercatat dalam sejarah berkenaan ilmuwan dan pencipta dalam kalangan orang Islam?

Sudah tentu ada. Orang Islam adalah bangsa yang pintar. Sejak zaman dahulu hingga kini, ramai ilmuwan dan pencipta yang berasal daripada kalangan orang Islam. Nabi Muhammad saw sendiri adalah seorang ilmuwan dan pencipta yang terkenal di dunia.

2) Apakah yang dicipta oleh Nabi Muhammad saw?

Baginda adalah pencipta konsep pengurusan perniagaan moden. Sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul, beliau adalah peniaga yang berjaya. Baginda sudah menceburi bidang perniagaan sejak kecil. Sedangkan negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika baru mengenal konsep ini pada abad ke-9.

3) Apakah rahsia kejayaan Nabi Muhammad saw dalam bidang perniagaan?

Baginda sentiasa menerapkan sifat jujur dan amanah. Oleh kerana itu, baginda digelar sebagai al-Amin, iaitu orang yang dipercayai dan amanah oleh kawan-kawannya. Baginda sentiasa membina hubungan baik dengan pelanggannya. Baginda juga sering mendapat banyak keuntungan dan tidak pernah rugi.

Begitulah antara yang terkandung di dalam buku ini. Anda akan berkenal-kenalan dengan ramai lagi tokoh-tokoh Islam yang lain, antaranya Ibnu Al-Haitham, Muhammad Al-Karaji, Ibnu Bajjah, Az-Zahrawi, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al-Khawarizmi, Al-Biruni, Abu Al-Wafa, Al-Farghani, Ibnu Majid, Jabir bin Hayyan, Ibnu Rusyd, Al-Jazari, Umar Khayyam, Al-Kindi dan ramai lagi.

Dengan pelaburan kecil berjumlah RM9.50, banyak ilmu dapat dicedok dari sebuah buku yang ringkas ini. Sebagai seorang Islam, amat wajar bagi kita mengenali dan mengetahui siapakah tokoh-tokoh hebat ini dan apakah sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan dunia.

Selamat membaca.

"Erti hidup pada memberi"

Salam Jumaat penuh barakah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan