Selasa, 10 Jun 2014

NASI ARAB UNTUK ULANGTAHUN ARWAH ANAKANDA

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Koleksi Sendiri


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

              Hari ini 10hb Jun 2014 ialah hari ulangtahun anakanda sulung saya, Faris Naqiuddin. Arwah genap berusia 16 tahun pada hari ini sekiranya dia masih ada. Allah SWT lebih sayangkan beliau. Beliau pergi bertemu Illahi pada subuh hari Rabu, tanggal 6hb Jun 2007 hanya empat hari sebelum sambutan harijadinya yang ke 9 tahun.


Saya masih tidak dapat melupakan perbualan terakhir saya dengan arwah, sehari sebelum pemergiannya. Pada pagi 5 Jun 2007, saya menelefon arwah seperti biasa. Arwah memilih untuk tinggal bersama aki dan neneknya di kampung sepanjang cuti penggal persekolahan.

Saya menelefon arwah bertanyakan khabar dan bertanyakan apakah hadiah yang dihajati sempena harijadinya yang bakal disambut pada hari Ahad, 10hb Jun 2007. Arwah menjawab beliau hanya mahu diadakan jamuan makan buat rakan-rakannya sahaja. Saya membalas dengan berkata bahawa jamuan makan untuk rakan-rakan tetap akan diadakan seperti kebiasaan setiap tahun. Apabila saya bertanyakan semula hadiah apa yang diingini, arwah tetap menjawab beliau hanya mahukan diadakan jamuan makan buat rakan-rakannya. Walau berkali-kali saya tanyakan soalan yang sama, jawapan yang diberikan tetap serupa, mahu menjamu makan rakan-rakannya.

Sungguh, rupanya keinginan dan permintaan terakhirnya itu menjadi nyata kerana kami menjamu makan rakan-rakan, kenalannya, guru-guru serta saudara-maranya dengan kenduri arwah beliau. Sehingga kini setelah 7 tahun ketiadaannya, kami tetap mengadakan jamuan makan buat rakan-rakannya juga kini buat rakan-rakan kedua-dua adiknya yang tidak pernah pun ditemui oleh arwah. Kedua-kedua adiknya lahir ketika arwah telah tiada. Hanya pusaranya sahaja menjadi pengganti dan tanda beliau pernah wujud dan bertapak dalam hati dan kehidupan kami sekeluarga.

Sempena hari ulangtahun kelahirannya hari ini saya menyediakan nasi arab yang dimasak dengan penuh kasih dan sayang kerana nasi arab merupakan antara makanan kegemaran arwah. Nasi arab yang telah dimasak dan diletakkan di dalam bekas dengan kemas diserahkan kepada guru - guru taska dan tadika adik-adik arwah pada pagi ini sebagai meneruskan keinginan dan permintaan arwah untuk mengadakan jamuan sempena ulangtahun kelahirannya.



 
Walau telah tujuh tahun pemergian arwah kembali kepada Sang Pencipta, di hati tidak pernah pun melupakan dirinya. Ketika catatan ini dicoretkan, saya akui, bukan sahaja hati saya yang menangis, malah air mata saya tidak pernah kering dan turun membasahi pipi walau secekal mana pun hati saya dan setabah mana pun perasaan saya. Hati seorang ibu tetap tidak dapat menghilangkan walau secalit kenangan dan ingatan buat anak yang telah tiada. 

Al Fatihah buat arwah anakanda kesayangan Faris Naqiuddin..Umi tahu, Faris amat bahagia di sana bersama al Khaliq yang menciptakan kita semua.

"Erti hidup pada memberi"

Salam kasih abadi selamanya.
 



2 ulasan: