Rabu, 4 Jun 2014

TIPS BERFIKIRAN POSITIF UNTUK LEBIH BAHAGIA DAN LEBIH SIHAT MINDA

Teks : Zuriati Zubir
Foto : Carian Google
Sumber : Dari Koleksi Bacaan

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wmt.

Apa perlunya berfikiran positif ?
Apa kaitannya dengan kehidupan ?
Mengapa kita perlu sentiasa berfikiran positif ? 

Kita ialah apa yang kita fikirkan. Pernahkah anda terfikir bahawa diri kita pada ketika ini ialah apa yang kita fikirkan. Kita adalah apa yang kita sentiasa bayangkan dan gambarkan di dalam minda kita.



Pemikiran menarik pemikiran yang sama. Pemikiran positif menarik pemikiran yang juga positif. Dengan ini, jika anda berfikiran positif tentang sesuatu, maka pemikiran positif lain akan hadir. Apabila anda mula putuskan untuk berfikiran positif, maka ia akan menjadi tabiat. Anda akan mula memilih pemikiran-pemikiran positif yang akhirnya akan menjadi tabiat semulajadi anda.

Apabila anda sudah memasuki wilayah kitaran berfikir positif, maka pemikiran-pemikiran positif itu menarik realiti positif ke dalam  dunia fizikal anda.

 
Tip Berfikiran POSITIF Untuk Lebih BAHAGIA dan Lebih SIHAT MINDA:-

1. Kenalpasti pemikiran negatif yang ada dalam diri anda sebelum ia menjadi akar umbi. Jika anda rasa mood anda kembali suram, berhentilah daripada berfikir perkara yang menyuramkan mood anda. Kawal emosi. Jangan biarkan emosi mengawal diri anda.

2.  Berkawan dengan orang yang berfikiran positif. Secara tidak langsung, anda juga akan berfikiran positif.

3. Orang yang berfikiran negatif akan menjangkiti orang lain. Jadi, jauhkan diri anda daripada orang yang selalu berfikiran negatif, bercakap perkara yang negatif umpamanya suka menyalahkan orang lain, sentiasa komplen itu dan ini, mengumpat dan mengeji, memaki hamun, berbicara dengan bahasa yang kesat dan kasar dan tidak bersyukur.

4. Bersenam dan makanlah makanan yang seimbang. Jika anda kelihatan hebat dari segi luaran sudah tentu dalaman anda juga hebat dan bagus.

5. Rajinkan diri untuk mengemas dan mengurus barang-barang anda. Anda harus dikelilingi oleh benda-benda yang anda suka dan membuatkan anda rasa hebat. Contohnya foto keluarga, buku kegemaran, pokok hiasan, gambar kesenian atau apa sahaja yang bermakna buat anda.

6. Jadilah sukarelawan dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan. Bukan sahaja anda menyedari tentang orang yang mempunyai masalah yang lebih besar daripada anda, anda juga akan melibatkan  emosi dan rohani  anda ketika membantu mereka.

7. Fokuskan kepada sentiasa berfikir secara positif. Ketika fikiran positif lebih banyak, dengan sendirinya fikiran negatif akan hilang (neuron dalam otak akan kembali ke asal dan tidak bersambung membentuk fikiran negatif).

8. Lakukan affirmasi positif setiap hari. Sebagai contoh : 
  •     Saya sentiasa berjaya dalam apa sahaja perkara yang saya lakukan.
  •     Setiap sel di dalam tubuh badan saya bergetar dengan tenaga positif.
  •     Saya sentiasa tenang dalam apa-apa situasi.
  •     Potensi diri saya tidak terbatas.
  •     Saya memancarkan kasih-sayang dan kebahagiaan setiap hari.
  •     Kehidupan saya dipenuhi dengan kecukupan dan limpahan rezeki.

9. Teruskan berfikiran positif. Memulakannya adalah mudah. Cuma mengekalkannya adalah cabaran. Jadikannya sebagai tabiat sehingga akhirnya menjadi sebahagian daripada hidup anda.

10. Berdoa sentiasa dan pohonlah kepadaNya agar sentiasa dikurniakan pemikiran yang positif.



Saya mendoakan anda semua sentiasa dalam lingkungan positif, sentiasa berfikiran positif, berjiwa positif, berperilaku positif dan menarik perkara-perkara yang positif di dalam hidup anda.


" Think positively..and the results will be positively positive". - Glenn Harms 


"Erti hidup pada memberi"

Salam positif tanpa batasan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan